Saturday, November 26, 2011

selagi berkuasa robohlah ha rakyat

Restoran 25 tahun akan diroboh


Rosseli Samsudin menunjukkan bekas tapak meter elektrik yang telah ditanggalkan oleh MBSA kelmarin.


SHAH ALAM 25 Nov. - Selepas 25 tahun mengusahakan restoran, Mohd. Rosseli Samsudin, 47, akhirnya terpaksa berputih mata apabila premisnya yang telah dibina dengan pelaburan yang sehingga kini mencecah RM300,000 itu diarah untuk dirobohkan semalam.
Restoran Nurul Tom Yam yang terletak di Jalan Kerjaya, Batu Tiga Lama di sini, diarah untuk dirobohkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Petaling atas alasan dibina tanpa izin di atas tanah lesen pendudukan sementara (TOL).
Mohd. Rosseli mendakwa, sebelum ini operasi restoran tersebut berjalan lancar dan dia mendapat kebenaran memperbaharui TOL daripada PTD Petaling serta memperoleh lesen perniagaan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) setiap tahun dan lesen terakhir diperbaharui pada 2007 dan tamat pada 2010.
Bagaimanapun dakwanya, pada 2011, secara tiba-tiba permohonan beliau untuk memperbaharui TOL tidak dibenarkan walaupun selepas rayuan dibuat beberapa kali dan ini menyebabkan MBSA tidak dapat mengeluarkan lesen perniagaan.
Kata beliau lagi, ekoran kegagalan memperbaharui TOL dan lesen menyebabkan perniagaannya terpaksa dijalankan secara tidak sah dan beliau telah menerima dua notis untuk menutup perniagaan pada Mac dan Mei lalu serta meroboh restorannya pada Selasa lalu dengan pelbagai alasan.
"Semua ini berlaku selepas pertukaran pemerintahan kerajaan negeri pada 2008, dan saya kesal kerana inilah satu-satunya punca pendapatan saya dan keluarga selain 25 pekerja yang terdiri daripada adik-beradik dan saudara-mara.
"Saya mengaku telah menerima tiga notis termasuk notis untuk meroboh pada Selasa lalu. Tetapi tidakkah pihak yang berkenaan terutama kerajaan negeri tiada budi bicara dengan mengambil kira prestasi perniagaan saya sebelum ini.
"Di manakah keadilan kerajaan negeri yang selama ini memperjuangkan hak rakyat sedangkan selama ini saya juga banyak menyumbang untuk masyarakat setempat yang dalam kesusahan termasuk semasa banjir besar melanda Shah Alam sebelum ini," ujarnya kepada pemberita di sini petang ini.
Sehubungan itu, Mohd. Rosseli meminta kerajaan negeri agar tidak menganaktirikan dirinya hanya kerana perbezaan politik sedangkan banyak lagi perniagaan yang didirikan secara tidak sah, tetapi kerana mereka daripada parti yang sama, perniagaan tidak terjejas.
Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya, Datuk Yahaya Bujang mendakwa, apa yang berlaku terhadap Mohd. Rosseli ini memang disebabkan perbezaan politik apatah lagi Mohd. Rosseli merupakan ahli jawatankuasa UMNO Bahagiannya.
"Memang dia jadi mangsa politik. Kalau tidak kenapa selama 25 tahun ini perniagaannya tidak menimbulkan masalah tetapi sekarang baru nak diroboh.
"Saya minta Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco yang terlibat agar bersikap profesional dalam hal yang melibatkan rezeki rakyat. Bukankah mereka yang sepatutnya membantu peniaga seperti Mohd. Rosseli bukannya menindas," tegas beliau.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan berusaha membantu Mohd. Rosseli mencari tapak baru untuk memulakan semula perniagaannya.

No comments:

Post a Comment