Monday, November 14, 2011

jangan campur tangan

Campur tangan kelirukan waris
Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : November 12, 2011
Campur tangan kelirukan waris
KUALA LUMPUR - “Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (Mas) adalah tertakluk di bawah kerajaan Wilayah Persekutuan, campur tangan Kerajaan Negeri Selangor hanya akan mengelirukan keadaan yang menjurus kepada kegagalan usaha kerajaan membangunkan Kampung Baru”.

Demikian tegas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menganggap isu bidang kuasa terhadap Mas hanya berunsur politik.

Menurutnya, soal kuasa sudah tidak timbul kerana Mas tertakluk di bawah kerajaan Wilayah Persekutuan (Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar) yang dipengerusikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, sama seperti dalam perlembagaan Mas sendiri.

“Yang penting, kuasa perancangan adalah di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), manakala kuasa bagi urusan tanah adalah di bawah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

“Mas dan keanggotaannya juga bersama dengan kita, jadi saya tidak melihat mengapa Kerajaan Negeri Selangor perlu campur tangan,” katanya pada Sidang Media ketika menghadiri Majlis Korban Bomba dan Penyelamat, Peringkat Wilayah Persekutuan di Balai Bomba dan Penyelamatan Pantai, di sini, Selasa lalu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) yang menyatakan Menteri Besar Selangor mempunyai kuasa membuat rombakan ahli Jawatankuasa Mas di bawah enakmen sedia ada dan menolak kenyataan beliau sebelum ini berhubung Mas yang tertakluk di bawah kerajaan Wilayah Persekutuan.

Raja Nong Chik berkata, kenyataan yang dikeluarkan itu hanya akan mengelirukan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru dengan niat untuk mengurangkan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, usaha kerajaan membangunkan Kampung Baru tiada kaitan dengan politik, hanya semata-mata membantu pemilik dan pewaris tanah orang Melayu di kawasan itu memiliki nilai tanah yang sama dengan kawasan sekelilingnya.

“Tanpa penglibatan kerajaan, sukar untuk Kampung Baru dibangunkan,” katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan, kerajaan akan bantu pemilik dan pewaris membangun Kampung Baru dengan keizinan mereka dan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) akan bertindak sebagai pemudah cara.

“Kita tidak mahu Kampung Baru yang dilabel ikon Melayu masih pada tahap sedia ada apabila kawasan sekeliling bertambah maju menjelang 2020 nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment