Monday, July 9, 2012

tohmahan

ARKIB : 06/07/2012

Tohmahan kepada FGV nyata meleset

Seorang peneroka Felda Bukit Goh, Md. Kassim Md. Amin melihat berita mengenai penyenaraian Felda Global Ventures Holdings di Pasaran Utama Bursa Malaysia di Kuantan, baru-baru ini.
SEBELUM Felda Global Ventures Holdings (FGV) disenaraikan pada 28 Jun lalu, terlalu banyak dakwaan dan tohmahan dibuat ke atas usaha murni kerajaan itu termasuk meramalkan ia akan gagal.
Banyak 'analisis' dibuat pihak tertentu yang berkepentingan politik kononnya saham FGV akan menerima nasib sama dengan terbitan saham Facebook iaitu nilai saham FGV akan jatuh ke tahap lebih rendah daripada nilai tawaran.
Setelah seminggu dilancarkan, ternyata 'analisis' tukang ramal berkenaan bukan sahaja tidak benar malah jauh meleset.
Pandangan yang dikemukakan mereka kepada masa depan FGV sebenarnya mungkin didorong kepada rasa cemburu terhadap usaha kerajaan dalam melonjakkan Felda sebagai konglomerat perladangan utama dunia.
Fakta yang dikemukakan pihak ini mungkin hanyalah bertujuan untuk menakut-nakutkan para pemegang saham termasuk para peneroka tentang masa depan FGV.
Sepatutnya, jika tidak mahu menyokong usaha baik kerajaan sekali pun kerana perbezaan politik, adalah lebih baik mengunci mulut daripada berkokok menimbulkan kebimbangan yang tidak munasabah.
Sedangkan tanpa perlu bersekolah tinggi sekalipun, semua tahu sawit adalah komoditi penting dunia ketika ini dan ia boleh dilihat daripada harga sawit yang menunjukkan peningkatan saban tahun.
Dari situ sahaja cukup menggambarkan saham dalam sektor perladangan sawit adalah pelaburan yang boleh diharapkan untuk membawa pulangan kepada pelabur.
Sebab itu, dilaporkan banyak pihak dari luar negara termasuk pelabur Asia Barat berminat dengan saham FGV. Malah FGV sendiri terlebih langganan sebanyak 17 kali.
Jadi, kenapa ada pihak dalam negara sendiri seperti kurang senang apabila FGV berjaya?
Menerusi Rakan Pahang, saya menyeru kepada peneroka yang hampir separuh daripadanya berada di negeri ini supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang dakwaan yang dikhabarkan kepada mereka.
Sebaliknya, mereka harus bijak menilai di samping tidak mengenepikan maklumat daripada sumber sahih terutama pengurusan Felda di tanah rancangan masing-masing.
Kenapa pada peringkat ini mereka harus membiarkan terpengaruh dengan pihak berkepentingan politik yang pastinya melihat usaha baik kerajaan adalah satu perkara negatif kepada usaha untuk mendapat undi peneroka.

No comments:

Post a Comment