Hudud: Ilmu keluarkan surat rasmi untuk Umno Johor
5 Julai 2012
Pengerusinya, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, surat rasmi itu menyatakan sebulat suara menyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat mengenai perlaksanaan hukum hudud di Johor.
Menurutnya, dalam surat tersebut, Ilmu menyuarakan pendapat dan cadangan berhubung proses perlaksanaan hukum hudud di negeri itu.
“Sekiranya segala usul, pendapat dan cadangan diterima, kami dengan sukarela melibatkan diri tampil membantu melicinkan proses perlaksanaan hukum hudud di Johor,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang tindakan mengenai isu yang hangat diperkatakan ini.
“Kuasa hanya berada di pihak mereka, kami sebagai pihak yang menyokong hanya mengeluarkan pandangan sahaja dan tidak ada hak atas sebarang keputusan.
“Selain itu, kami juga akan membuat hebahan mengenai surat rasmi yang dikeluarkan ini di facebook, twitter dan sebagainya sebagai tontonan masyarakat umum,” katanya.
Beliau sebelum ini, mengingatkan agar Umno Johor tidak terlalu gopoh untuk melaksanakan hukum hudud kerana dikhuatiri ia akan berhenti separuh jalan.
“Di samping itu, pelbagai aspek perlu dilihat dengan menghimpunkan pakarpakar yang arif mengenai hukum hudud dalam melontar pandangan agar hukum ini benar-benar dapat dilaksanakan seperti yang dicadangkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment