Patutkah suami serah semua gaji pada isteri?
Kucing Hitam
BARU-BARU ini, kawan Bro menceritakan bagaimana ada kawannya yang datang ke pejabat macam budak-budak pergi sekolah. Bukan kerana cara penampilan mereka tetapi ia berkaitan dengan duit poket yang dibawa.
Jika budak-budak hendak pergi sekolah ibu bapa mereka akan beri antara RM2 hingga RM10 sehari, si suami yang pergi bekerja pula si isteri akan bekalkan antara RM20 hingga RM50. Maknanya, semua duit si suami berada di bawah kawalan si isteri yang mahu menjadi ‘menteri kewangan’ tidak bertauliah.
Setiap bulan dapat sahaja gaji, si suami harus menyerahkan semuanya kepada si isteri dan si suami tidak boleh menyentuh duit si isteri, dalam kata mudah ‘duit aku, duit aku, duit kau, duit aku’, begitulah perangai si isteri.
Bro sebenarnya tidak faham kenapala dalam sebuah rumah tangga boleh wujud kawalan kewangan seperti itu, sepatutnya si isteri tidak boleh melayan si suami seperti anak-anak pergi sekolah. Bro tidak boleh bayangkan apa perasaan si suami yang dilayan sedemikian rupa tetapi Bro yakin mesti di dalam hati mereka ada wujud perasaan tidak puas hati.
Tetapi masalahnya, si suami yang mengalami nasib berkenaan baik-baik belaka dan mereka malas nak bising-bising, maklumlah perempuan ni kalau nak mengamuk satu kampung boleh terbakar. Cuma Bro tertanya-tanya wajarkah sebahagian isteri bersikap demikian kepada suami mereka.
Bro tidak kisah si isteri berbuat demikian kalau si suami lupa tanggungjawab termasuk tidak beri duit belanja untuk anak-anak dan urusan rumah yang lain tetapi kalau si suami itu baik buat apa si isteri hendak mengambil kesempatan.
Apa yang penting dalam sebuah rumah tangga apabila si suami menjalankan tanggungjawabnya memastikan makan minum isteri dan anak-anak mencukupi maka terserahlah kepada si suami hendak buat apa pun dengan lebihan gajinya, asalkan dia tidak melakukan perbuatan yang melanggar perintah Allah SWT sudahlah.
Namun apa yang Bro lihat dan diberitahu, ramai suami yang menerima nasib sedemikian kerana mereka terlalu baik, mereka tidak mahu gaduh-gaduh dengan si isteri atau ada antaranya terlalu sayang si isteri tetapi Bro nak suami-suami macam ini berfikir wajarkah mereka dilihat tunduk kepada isteri.
Bro tak mahu cakap hukum dari segi agama, cuma Bro nak beritahu kepada si isteri bahawa apa yang mereka lakukan dengan mengawal duit suami dengan niat untuk tunjuk kuasa tidak akan memberi jaminan kepada sebuah rumah tangga bahagia.
Maruah
Ia kerana Bro percaya sedikit sebanyak si suami mesti mempunyai perasaan tidak puas hati dan rasa diri terkongkong, paling buruk mungkin si suami berasa maruahnya dicabar. Bro kasihan kepada suami yang ke pejabat dengan duit cukup-cukup sahaja.
Si suami mungkin teringin nak beli barang atau hendak makan sesuatu mengikut seleranya tetapi oleh kerana duit yang dibekalkan oleh si isteri maka tidak tercapailah hajatnya. Mungkin si isteri berbangga kerana ramai orang akan puji kerana dia pandai mengawal kewangan suami tetapi perempuan kena ingat perbuatan itu tidak ada faedah pun.
Bro sebenarnya menyampah dengan sikap perempuan seumpama ini, kalau Bro jumpa perempuan seperti itu biarlah cantik macam puteri dari kayangan sekali pun, Bro tak akan layan. Ini kerana duit gaji suami adalah seratus-peratus hak dia, si isteri tidak berhak sama sekali untuk memaksa si suami menyerahkan semua duit berkenaan.
Seperti mana Bro kata yang penting si suami jalankan tanggungjawabnya kepada keluarga, selagi itu dilakukan apa hal si isteri nak pandai-pandai nak kawal semua duit suami!
Bro memang akui ada perempuan atau isteri yang pandai menguruskan kewangan tetapi ada sesetengah perempuan yang kawal duit suami ini pemboros, belanja ikut suka hati sahaja.
Oleh itu tidak payahlah perempuan hendak mendakwa semua pandai jaga duit sehinggakan gaji suami pun mereka nak kawal.
Berilah kebebasan kepada suami kerana suami yang diam dan tidak berkata-kata tidak bermakna dia merelakan apa yang berlaku.
Mungkin si suami tidak mahu kecoh-kecoh tetapi Bro yakin di hati kecil mereka pasti ada perasaan marah yang membuak-buak cuma ia tidak dizahirkan bagi menjaga keharmonian rumah tangga.
Justeru kepada perempuan-perempuan yang masih mahu menjadi ‘menteri kewangan’ tidak bertauliah ni, bawa-bawalah bertaubat. Berbincanglah dengan suami baik-baik bagaimana hendak menguruskan kewangan.
Tidak perlulah layan suami macam anak-anak sekolah kerana apa pun berlaku martabat dan maruah seorang suami harus dijaga.
Bro bukannya hendak mencetuskan perbalahan dalam rumah tangga, Bro hanya beri nasihat kerana Bro meluat tengok perempuan yang bukannya nak menjadi ratu tetapi batu kerikil dalam hati si suami.
- JUMPA LAGI.
No comments:
Post a Comment