Penerokawati turut bantah Himpunan Oren
KUALA KRAU 13 Julai - Golongan penerokawati Felda Wilayah Jengka menentang keras Himpunan Oren Selamatkan Felda anjuran Pas esok kerana tidak relevan dengan situasi semasa malah menjejaskan kredibiliti Felda sebagai konglomerat berjaya di mata dunia.
Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Jengka 21, Sharifah Zaleha Syed Abu Bakar justeru mengingatkan warga peneroka tidak terpedaya dengan 'lakonan' parti pembangkang yang kononnya untuk menyelamatkan Felda.
"Pembangkang telah cuba memperbodohkan masyarakat peneroka yang majoritinya telah celik akal dan tidak mudah dibuai dengan kata-kata manis pembangkang," katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyertai perhimpunan aman membantah Himpunan Oren di Felda Jengka 21, dekat sini hari ini.
Rakannya, Azmah Nipah, 61, berkata, tindak-tanduk parti pembangkang yang berterusan menentang apa juga program atau projek yang dilaksanakan Felda dan kerajaan hanya mengundang kemarahan peneroka.
"Pembangkang khususnya Pas sanggup mengerahkan ahli parti untuk mengadakan Himpunan Oren yang kononnya untuk menyelamatkan Felda sedangkan agensi itu telah berkembang maju ke peringkat global," katanya.
Penerokawati Felda Jengka 10, Jaharah Kadir, 55, mengingatkan rakan peneroka menginsafi diri yang telah banyak terhutang budi dengan Felda sehingga kini mampu hidup senang dengan rumah besar, ada kereta dan anak belajar dengan sempurna.
"Jika dahulu di kampung hidup daif dan kemudian dipilih menjadi peneroka Felda berpendapatan sekitar RM200 sebulan tetapi kini pendapatan mencecah sehingga RM4,000-RM5,000 sebulan," jelasnya.
Pengerusi GPW Felda Jengka 10, Aminah Minan, menyifatkan Pas sudah hilang arah kerana ternyata pemimpinnya seolah-olah mendesak warga Felda menyokong perjuangan sumbang mereka itu.
"Penyenaraian FGV telah dijadikan senjata terakhir parti itu untuk menyerang kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.
Pengerusi GPW Felda Jengka 1, Hasnah Mat Lazim berkata, perhimpunan warga Felda di seluruh rancangan masing-masing menentang Himpunan Oren tajaan Pas membuktikan jerat untuk mempengaruhi warga Felda telah gagal.
Tegasnya, waktu ini seluruh warga Felda patut bersatu dan berpadu kerana masih banyak lagi tanggungjawab besar untuk membina sebuah tamadun bangsa yang kukuh dan bermaruah.
No comments:
Post a Comment