PTPTN jelas bantu rakyat miskin
BERA 10 Julai - Mahasiswa dan ibu bapa perlu rasional dan tidak terpengaruh dengan cadangan pembangkang kononnya mahu menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).Ketua Pemuda UMNO Bera, Datuk Azizan Che Omar berkata, gesaan itu hanyalah gimik politik pembangkang untuk meraih undi simpati rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Katanya, jika PTPTN dihapuskan kesan paling teruk akan ditanggung oleh masyarakat Melayu dan bumiputera yang tinggal di kampung tradisonal, tanah rancangan Felda, nelayan dan sebagainya.
"Ada segelintir ibu bapa dan mahasiswa menyokong penghapusan PTPTN dengan membabi buta tanpa memikirkan risiko terhadap generasi baru yang memerlukan pembiayaan pendidikan.
"Sikap bermuka-muka ini tanpa merujuk kepada pengurusan PTPTN akan lebih memburukkan keadaan apabila mereka dieksploitasi bagi tujuan politik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) PTPTN kepada 1,133 pelajar membabitkan RM1.7 juta di UiTM Cawangan Pahang, dekat sini kelmarin.
Hadir sama, Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said dan Rektor UiTM Cawanagn Pahang, Prof. Madya Datuk Dr. Hilmi Ab. Rahman.
Tegas beliau, pembangkang ghairah menghapuskan pinjaman tersebut dengan cadangan pendidikan percuma kepada rakyat tanpa mengambil kira kos yang perlu ditanggung kerajaan.
"Jika desakan segelintir rakyat untuk menghapuskan PTPTN, ia bermakna rakyat terpaksa membayar 100 peratus cukai pendapatan," katanya.
Pada masa sama, beliau memuji usaha PTPTN mengadakan taklimat di 35 lokasi di seluruh negara membabitkan penerima dan ibu bapa bagi menyampaikan informasi tepat kepada pelanggan mereka.
No comments:
Post a Comment