Thursday, June 12, 2014

sewa tapak ramadan 13 ribu

ewa tapak Bazar Ramadan di Melaka RM13,400 sebulan


MELAKA 11 Jun - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) digesa mengkaji semula kadar sewa tapak Bazar Ramadan Mega di Jalan Hang Tuah dekat sini yang dikatakan mencecah sehingga RM13,400 bagi tempoh sebulan.
Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, kadar sewaan tapak yang dikenakan itu dianggap terlalu mahal dan membebankan peniaga termasuk pengguna.
Menurutnya, tindakan menaikkan harga yang melampau sehingga mencecah RM446 sehari itu sememangnya tidak selaras dengan dasar kerajaan untuk memperkasakan ekonomi orang Melayu.
"Kami juga meminta MBMB mengadakan pembahagian semula tapak-tapak berkenaan supaya tidak diberikan sewenang-wenangnya kepada pihak berkepentingan," katanya dalam sidang akhbar di Jalan Hang Tuah di sini hari ini.
Perkara tersebut sudah dijangkakan ekoran sambutan orang ramai sejak bazar itu diperkenalkan oleh Ketua Menteri, Datuk Idris Haron.
Sementara itu, sebuah portal mendedahkan tapak bazar tersebut telah diagih-agihkan kepada orang tertentu termasuk sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sehingga menyebabkan kadar sewa mencecah sehingga RM13,400.
Mengulas lanjut, Mohd. Ridzuan berkata, MBMB di bawah kerajaan negeri sepatutnya membela para peniaga kecil dan sederhana, bukannya menekan mereka dengan kadar sewa yang keterlaluan.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga begitu prihatin terhadap nasib para peniaga dengan mewujudkan skim mikro bazaar Ramadan melalui penyediaan dana sebanyak RM45 juta bagi membantu mereka.
"Oleh itu, kita sepatutnya mengikut dasar kerajaan yang diperkenalkan Perdana Menteri bukannya menindas golongan peniaga hingga memberi kesan kepada pengguna," tegasnya.
Katanya, Ikhlas tidak teragak-agak akan membawa isu tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuat siasatan lanjut.
"Kami mewakili kira-kira 50 peniaga bazaar Ramadan juga memberi tempoh seminggu kepada MBMB untuk menyelesaikan isu tersebut sebelum membuat laporan polis serta menghantar memorandum kepada Perdana Menteri," ujarnya.
Tambahnya, kadar sewaan sepatutnya yang dikenakan hanya sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan dan bukannya RM13,400 malah ada tapak yang telah dibeli kemudian dijual semula kepada peniaga lain hingga mencecah RM17,400, ujarnya.
Jelasnya, masalah kadar sewa yang keterlaluan itu seterusnya akan menyebabkan peniaga menaikkan harga barang dan menimbulkan rungutan di kalangan para pengguna.

No comments:

Post a Comment