Melayu; Segala Jawapannya Di Sini
Siapa Melayu? Melayu Pendatang? Kebangsaan Melayu rasis dan asobiyyah?
POLEMIK ISU MELAYU: 1. Siapa Melayu sebenar? 2. Melayu Pendatang? 3.
Memperjuangkan hak Melayu adalah perkauman sempit dan rasis? 4. Semangat
kebangsaan Melayu adalah bersifat 'asobiyyah jahiliyyah?
SIRI 1: SIAPA ITU ORANG MELAYU?
Definisi orang Melayu terbahagi kepada tiga iaitu
(1) etnik atau suku,
(2) bangsa dan
(3) ras atau rumpun.
(1) Etnik atau suku Melayu seperti mana penakrifan dalam konteks
Indonesia — Suku Melayu ialah penduduk pribumi Indonesia yang ketiga
teramai selepas Suku Jawa dan Suku Sunda. Mereka banyak mendiami kawasan
pesisiran timur Sumatera, Kepulauan Riau-Lingga dan Kalimantan Barat.
Walaupun suku Melayu hanya mewakili hanya 3.4% penduduk Indonesia, namun
Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara tersebut dan dikenali sebagai
Bahasa Indonesia.
Populasi suku atau etnik Melayu paling ramai di dunia berada di Malaysia
diikuti di Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei. Subetnik Melayu
di Malaysia terdiri daripada Melayu Kedah, Melayu Kelantan, Melayu
Terengganu, Melayu Perak, Melayu Johor, Melayu Sarawak dan sebagainya.
Sementara di Selatan Thailand pula orang Melayu terdiri antaranya dari
Melayu Pattani dan Melayu Satun.
(2) Bangsa Melayu seperti mana penakrifan dalam konteks Malaysia — Dalam
Perlembagaan Malaysia (Perkara 160), Melayu ditakrifkan sebagai orang
yang menganuti agama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu, menurut adat
Melayu. Sebelum kemerdekaan Tanah Melayu, bangsa Melayu terdiri daripada
suku dan keturunan yang dibahagikan kepada Melayu Anak Jati (suku atau
subetnik-subetnik Melayu Semenanjung seperti Melayu Kelantan, Melayu
Kedah, Melayu Perak, Melayu Terengganu dan lain-lain), Melayu Anak
Dagang (subetnik Melayu Sumatera, suku atau etnik Jawa, Sunda,
Minangkabau, Bugis, Banjar dan lain-lain) dan Melayu Peranakan (kacukan
Melayu-India, Melayu-Cina, Melayu-Arab, Melayu-Turki dan lain-lain).
Di samping itu, keturunan lain yang bukan dari rumpun Melayu turut
diterima sebagai orang Melayu (bukan kaum pendatang) sekiranya mereka
beragama Islam serta berasimilasi dengan bahasa dan budaya Melayu.
Mereka ini telah meninggalkan sebahagian besar adat resam keturunana
mereka dan membuang identiti tanah asal mereka serta taat setia dengan
Tanah Melayu dan politik nasionalisme Melayu. Contohnya keturunan
Hadramaut, Kerala, Peshawar dan Istanbul. Suku atau etnik dari rumpun
Melayu seperti Kadazan-Dusun, Bajau, Iban, Melanau, Kedayan dan
sebagainya di Sabah dan Sarawak yang beragama Islam juga merupakan
bangsa Melayu.
(3) Ras atau rumpun Melayu seperti mana penakrifan ahli sejarah, ahli
antropologi, ahli arkeologi dan pakar genetik — Ia adalah istilah yang
diguna pakai oleh penyelidik dan UNESCO merujuk kepada penduduk asal di
Semenanjung dan Gugusan Kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Alam
Melayu atau the Malay World. Ia adalah konsepsi budaya yang tidak
menjadikan agama Islam sebagai salah satu takrifan Melayu seperti orang
Filipina, etnik Batak atau Bali dan penduduk asal di Pulau Taiwan
dikategorikan sebagai “rumpun Melayu”.
Salah satu unsur persamaan mereka ialah bertutur dalam bahasa dari
cabang atau rumpun bahasa induk Austronesia atau Melayu-Polinesia.
Kumpulan-kumpulan yang tergolong dalam ras atau rumpun Melayu itu
termasuklah penduduk pribumi Pulau Taiwan yang bukan dari bangsa Han
(China), etnik Cham dan beberapa suku bangsa asal-pribumi di Semenanjung
Indo-China (Vietnam dan Kemboja), etnik keturunan Melayu Patani di
Thailand, seluruh penduduk asal di Malaysia, Filipina, Indonesia,
Singapura dan Brunei serta suku bangsa Merina di Pulau Malagasi
(Madagascar). Saudara terdekat kepada rumpun atau ras Melayu itu ialah
bangsa Polinesia yang tersebar secara meluas di Kepulauan Pasifik
sehingga ke Pulau Hawaii, New Zealand, dan lain-lain lagi, dipercayai
berasal dari Alam Melayu dan mempunyai akar bahasa yang sama, iaitu
Austronesia.
BERSAMBUNG...
No comments:
Post a Comment