Monday, June 2, 2014

berlapang dada dgn keputusan negatif

Kisah Salman al-Farisi pinang gadis Ansar

Dalam kehidupan ini, cinta dan kasih sayang lumrah manusia. Perasaan itu suatu anugerah Allah yang dapat meneruskan impian hingga ke jenjang pelamin. Syukur kerana segala hajat dan niat akhirnya tercapai dengan izin Allah.

Namun, tidak kurang juga yang terkandas di pertengahan jalan dan diselubungi rasa kecewa. Sesetengahnya gagal membendung perasaan itu dan bertindak nekad untuk melakukan perbuatan negatif yang memudaratkan diri.


Perasaan kecewa sehingga menyusul dengan tindakan memudaratkan ditegah dalam Islam. Kita seharusnya menerima segala kemungkinan sebagai suratan takdir dengan hati yang lapang dan penuh reda. Mari kita ikuti satu kisah sahabat membabitkan Salman al-Farisi yang mengenali seorang wanita Muslimah solehah daripada kaum Ansar dan berhajat memperisterikannya. Sahsiah wanita itu begitu memikat hatinya. Bagaimanapun, jauh di lubuk hatinya timbul rasa sangsi sama ada beliau layak untuk meminang wanita berkenaan atau sebaliknya. Hal ini memandangkan beliau bukanlah penduduk asal Madinah. Beliau sedar hakikat itu. Namun, gelojak hatinya begitu ingin menikahi wanita Ansar berkenaan, lalu beliau berfikir cara menunaikan hasrat itu.


Timbul di benak fikirannya yang beliau memerlukan orang lain sebagai jurubicara yang mempunyai latar belakang dan tahu adat tradisi penduduk Madinah. Akhirnya Salman memilih sahabat karibnya, Abu Darda sebagai pengantara. Abu Darda adalah sahabat Ansar dipersaudarakan dengannya. Salman tanpa segan silu kemudian meluahkan hasrat terpendam kepada sahabatnya itu dan ia disambut gembira.


Kata Abu Darda: “Maha Suci Allah dan segala puji bagi Allah.” Mereka berdua berpelukan kerana gembira dengan berita itu. Selepas itu, segala persiapan dilakukan dan mereka berdua berangkat ke rumah gadis yang ingin dipinang Salman. Tiba di rumah gadis berkenaan, berkatalah Abu Darda selaku jurubicara Salman: “Saya Abu Darda dan ini adalah saudaraku, Salman al-Farisi yang berasal dari Parsi. Allah memuliakannya dengan Islam dan beliau juga memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya. “Beliau memiliki kedudukan utama di sisi Rasulullah SAW sehingga baginda menganggapnya sebagai sebahagian daripada ahli keluarganya. “Saya datang untuk mewakili saudaraku ini melamar anak gadis tuan bagi dipersuntingkannya.” Begitulah teratur dan beradabnya Abu Darda mengatur tutur bicara. Kemudian si ayah gadis itu pula membalas bicara: “Kami sangat berbesar hati menerima anak berdua, sahabat Rasulullah SAW yang mulia. “Kami juga berasa begitu bertuah jika bermenantukan seorang sahabat Rasulullah SAW yang utama. “Namun, jawapannya saya serahkan sepenuhnya kepada anak gadis kami.” Selepas mereka berbincang di sebalik tirai, si ibu gadis itu mengatakan keputusan anaknya. Kata ibu gadis itu: “Maafkan kami kerana terpaksa berterus terang, tetapi kerana anak berdua yang datang, maka dengan mengharapkan reda Allah saya menjawab bahawa anak gadis kami menolak pinangan Salman. “Namun, jika yang melamar anak gadis kami ialah Abu Darda anak gadis kami tidak menolaknya.” Dalam situasi beginilah kita akan dapat satu gambaran budi sahsiah terpuji yang cukup luhur pada diri Salman. Meskipun dia sangat terkejut dengan jawapan berterus terang itu, sikap berlapang dada nyata begitu tinggi dimiliki sahabat Rasulullah SAW ini.


Kata Salman: “Allahuakbar. Semua mahar dan nafkah yang kusediakan ini akan aku serahkan kepada Abu Darda, malah aku sendiri yang akan menjadi saksi pernikahan kalian berdua nanti.” Demikian sekelumit kisah yang terjadi dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW. Dalam keadaan yang begitu genting yang pada sesetengah pihak pasti akan mencetuskan impak negatif, tetapi pada mereka menerima sesuatu takdir Allah menjadi sikap peribadi.

Pengajaran di sebalik kisah itu ialah kita seharusnya bersikap reda dan bersedia menerima apa-apa saja takdir dalam kehidupan ini dengan hati yang tabah. Ini kerana setiap perkara yang berlaku ke atas diri kita ada hikmah yang terselit bersamanya. Jangan cepat bertindak terburu-buru, mengikut nafsu dan emosi kerana akibatnya juga buruk. Hasan al-Basri ada satu nasihat kepada kita apabila dirundung rasa kecewa dalam hidup. Kata beliau: “Janganlah kamu membenci musibah yang menimpa, mungkin ada keuntungan di sebalik perkara yang kamu benci, mungkin ada kerugian di sebalik perkara yang kamu cintai.” Malah, Allah ada berfirman yang bermaksud: “...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 216) Penulis Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

 http://helmdahl.blogspot.com/
Anda mungkin juga meminati:

No comments:

Post a Comment