UMNO muncul parti terkuat
Menurutnya, jumlah kerusi yang dimenangi oleh UMNO sebagai parti tunggal adalah sebanyak 88 kerusi manakala jumlah kerusi yang dimenangi oleh tiga parti pembangkang hanya lebih satu kerusi iaitu 89 kerusi.
Selain itu katanya, berlaku peningkatan dari segi jumlah kerusi yang dimenangi oleh UMNO pada pilihan raya kali ini berbanding PRU-12, iaitu daripada 79 kerusi kepada 88 kerusi.
"Selain itu kita juga mengambil kira kemenangan Barisan Nasional (BN) di Perak dan Kedah memandangkan kita kalah di dua negeri ini pada PRU-12 lalu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
Mesyuarat MT yang turut dihadiri oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga Naib Presiden, Ketua-ketua sayap serta ahli-ahli MT itu merupakan mesyuarat MT kali pertama selepas PRU-13.
Najib berkata, UMNO juga mendapat pertambahan undi sebanyak 30 peratus pada pilihan raya umum baru-baru ini berbanding PRU-12.
"Walaupun sukar untuk menentukan secara tepat sebab sebahagian kawasan itu bercampuran, hasil kajian kita mendapati UMNO menerima peningkatan dari segi jumlah undi sebanyak 30 peratus berbanding PRU-12," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, UMNO akan terus berjuang dan dalam masa sama berusaha memantapkan lagi kekuatan parti tersebut sebagai parti terbesar bagi orang Melayu di negara ini.
Sehubungan itu katanya, mesyuarat MT bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang dipengerusikan oleh Muhyiddin untuk mengkaji semula pentadbiran di ibu pejabat.
"Antaranya mewujudkan bidang pengkhususan sepenuh masa dalam beberapa bidang seperti penyelidikan, latihan, media sosial dan penerangan. Kita mahu mewujudkan tenaga sepenuh masa yang profesional dan berdedikasi dalam menguruskan bidang-bidang tersebut.
"Tujuannya ialah untuk memastikan setiap arahan serta keputusan parti dilaksanakan dengan lebih berkesan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment