Buka tudung jika mahu kerja
SAYA sudah lama berhasrat untuk memberi pendapat dalam ruangan akhbar keramat ini namun sering tidak kesampaian oleh kekangan masa dan tugas. Kejadian yang menimpa anak saudara saya baru-baru ini memaksa saya menyuarakan pendapat demi keadilan semua pihak.
Anak saudara saya berkelulusan Diploma Kejururawatan daripada salah sebuah kolej tempatan. Pada 14 Mei 2013, beliau telah menghadiri temu duga di salah sebuah hospital di Kuantan.
Semasa ditemu duga, beliau diberitahu bahawa kelulusan, kelayakan dan pengalaman yang ada padanya adalah menepati syarat untuk diterima sebagai kakitangan jururawat di hospital berkenaan. Tetapi beliau hanya akan diterima bekerja di situ sekiranya bersetuju untuk membuka tudung! Anak saudara saya merayu agar dibenarkan memakai serkup/skaf hitam namun tetap tidak dilayan.
Terdapat 11 calon bertudung yang ditemu duga dan hanya calon yang bersetuju mengorbankan pegangan akidah dengan membuka tudung diterima untuk bekerja di situ. Akhirnya, anak saudara saya menolak tawaran tersebut walaupun beliau amat memerlukan pekerjaan kerana sudah hampir setahun menganggur.
Saya terpaku, terkejut dan tertanya-tanya, benarkah kita berada di Malaysia? Sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam? Mengapa wanita Islam diperlakukan begini? Syarat yang ditetapkan begitu kejam!
Jika sebelum ini saya biasa mendengar syarat Bahasa Mandarin untuk bekerja di sesebuah syarikat tetapi rupa-rupanya ada syarat-syarat lain yang secara terang-terangan bertentangan dengan hak asasi seorang Islam.
Saya berharap perkara ini disiasat dan janganlah biarkan 'cacing naik ke mata' kerana jika dibiarkan akhirnya anak-anak Melayu akan merempat di negara sendiri atau terpaksa menggadaikan maruah diri dan pegangan agama demi sesuap nasi!
MOKTEH BEKENG,
Kajang, Selangor
No comments:
Post a Comment