Wednesday, June 5, 2013

sudah2 lah minta maaf

Hentikan meminta maaf

SAYA tidak faham mengapa kerajaan, terutamanya Perdana Menteri, begitu apologetik dan merendah diri dalam semua ucapan beliau pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Walaupun sesebuah parti menang dengan kelebihan satu kerusi, ia masih boleh dianggap satu kemenangan. BN hanya kekurangan 15 kerusi lagi untuk mendapat majoriti dua pertiga.
Jika tsunami Cina tidak berlaku dan jika gabungan MCA, Gerakan, MIC dan PPP hanya menghasilkan setengah daripada 68 kerusi Parlimen yang ditandingi mereka (iaitu 34 kerusi), majoriti dua pertiga akan menjadi mudah dicapai.
Satu faktor jelas yang boleh memujuk Barisan Nasional (BN) untuk berasa gembira dan tidak sedih ialah fakta bahawa pihak pembangkang telah berjaya mendapatkan 88 kerusi di Parlimen menerusi kempen tidak benar melalui media sosial.
Sekarang kita telah mendapati bahawa berita terputusnya bekalan elektrik dan kedatangan rakyat Bangladesh untuk mengundi sama sekali tidak benar dan bersifat nakal.
Malah seorang pemerhati menulis dalam New Straits Times bahawa pendedahan mengenai kewujudan tentera siber DAP dibuat terlalu lambat (iaitu tiga hari sebelum hari mengundi), sedangkan tentera itu telah lama menghasut pengundi Cina iaitu sebelum Parlimen dibubarkan. Itu adalah punca undi kaum Cina beralih kepada pembangkang.
Red Bean Army pembangkang telah menyemarakkan kemarahan pengundi Cina dengan khabar angin, kenyataan bersifat menghasut dan fitnah serta pembohongan yang digunakan untuk melawan BN dan Perdana Menteri.
Tiada tindakan diambil untuk menghalang mereka daripada bercakap bohong dan memanipulasi fakta.
Pemerhati sama juga menulis bahawa pengundi yang beratur di pusat mengundi kawasan beliau sudah panjang sampai 20 meter pada hari pengundian. Hampir 95 peratus adalah pengundi Cina yang membawa ibu bapa serta datuk dan nenek mereka menggunakan kerusi roda, tongkat dan alat bantuan untuk berjalan.
Mereka datang beramai-ramai dan kebanyakan mereka mempunyai telefon bimbit, iPad dan iPhone. Mereka menggunakan peralatan berkenaan sepanjang masa, bercakap, tweet, memuat naik komen dan mengulas di Facebook, Twitter dan blog.
Pemerhati itu mengulas tentang seorang lelaki yang beratur di hadapannya yang menunjukkan kepadanya akaun Facebook beliau yang tertera gambar empat bas yang penuh dengan warga Bangladesh yang akan mengundi BN dan terdapat mesej menyatakan bahawa polis dan tentera telah mengundi BN.
Beliau juga menambah bahawa lelaki terbabit telah bercakap bersama-sama rakannya dalam bahasa Cina dengan ungkapan Melayu 'Ini kalilah, Ubah'. Berita ini tersebar dengan begitu cepat sekali.
Red Bean Army memberi gambaran bahawa BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bekerjasama rapat untuk mencipta penipuan pilihan raya. Jadi, kita boleh lihat sekarang mengapa semua perhimpunan haram diadakan atas sebab-sebab yang sama.
Berdasarkan perkara di atas, Perdana Menteri digesa supaya tidak menjadi apologetik. Sebaliknya, beliau mesti bergerak sepenuhnya untuk memerintah negara berdasarkan mandat yang diberikan serta berasaskan prinsip-prinsip apa yang dianggap perlu dan betul.
Menggunakan kata-kata seperti 'BN tidak akan menjadi relevan jika kita tidak berubah' adalah benar-benar tidak perlu untuk dikatakan. Jelas sekali pihak pembangkang mengambil kesempatan daripada kata-kata ini sebagai tanda kelemahan di pihak kerajaan untuk membenarkan perhimpunan haram jalanan.
Malah BN sepatutnya mengadakan perayaan untuk meraikan kemenangan pilihan raya dengan majoriti yang baik.
Adalah dicadangkan semua tindakan kerajaan pada masa depan untuk memerangi pembangkang mestilah difikir semasak-masaknya dengan perancangan yang betul.
Peraturan yang harus diikuti adalah untuk menjangka tindakan pembangkang seterusnya dan bertindak pantas untuk menangani sebarang bentuk serangan ke atas kerajaan dan BN.
Tidak ada gunanya mendakwa orang di mahkamah kerana melanggar undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 melainkan pihak pendakwa berani, mahir dan mampu untuk berhujah dengan jelas dan betul untuk mensabitkan kesalahan.

No comments:

Post a Comment