Teknologi maklumat punca BN kalah di bandar?
WALAUPUN bukan ahli UMNO, saya merupakan antara pengundi yang memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Tetapi pembangkang menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen saya kerana sokongan besar orang Cina.
Namun, melihat semula keputusan itu, saya berbangga mendapati sokongan Melayu di kawasan ini telah kembali kepada BN. Penyusutan majoriti undi berbanding 2008 menunjukkan pengundi Cina yang memenangkan calon-calon pembangkang.
Bagaimanapun, saya sedikit kecewa apabila UMNO dan BN masih bersikap apologetik seperti yang telah ditegur dalam ruangan ini sebelum ini.
UMNO sudah terbukti menerima undi terbanyak dan dengan sokongan bumiputera di Sabah dan Sarawak sudah mampu membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Kenapa perlu berterusan meminta maaf atas kelemahan parti komponen dan seperti terpaksa pula mengikut telunjuk mereka yang tewas itu, khususnya cadangan parti tunggal yang hanya akan menghapuskan perjuangan Melayu/bumiputera dan agama Islam.
Tidak mendapat majoriti dua pertiga itu bukannya tewas. Tidak perlulah bersedih atau terlalu kecewa, lebih-lebih lagi hanya beza beberapa kerusi sahaja.
Saya juga tidak menerima label UMNO/BN parti luar bandar atau pedalaman kerana hakikatnya penyokong dan pengundi di bandar juga masih ramai.
Lihat kembali analisis undi. BN hanya betul-betul tewas di kawasan majoriti Cina. Di kawasan lain banyak yang tewas dengan majoriti kecil (bawah 5 peratus) atau majoriti itu dikurangkan seperti situasi di kawasan saya.
Bagi saya, kemajuan yang dibawa BN turut menyumbang kepada kemerosotan undi. Bukannya kerana penduduk kawasan itu tidak bersyukur tetapi kerana termakan hasutan pembangkang.
Kemajuan membawa kepada peningkatan teknologi, khususnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Tetapi saya rasakan, BN lemah dalam pengawasan dan penguatkuasaan teknologi ICT sehingga pembangkang dengan mudah menyebar fitnah dan fakta serong untuk menghasut rakyat membenci kerajaan melalui internet.
Berbanding di kampung dan pedalaman, kekurangan ICT melindungi mereka daripada sebaran fitnah ini kecuali melalui ceramah pembangkang yang jarang mendapat sambutan.
Penyebaran fitnah dan putar belit fakta menjadi punca BN kalah di bandar-bandar, termasuk dalam kalangan orang Cina yang tertipu dengan dakyah DAP.
BN juga perlu lebih tegas dalam pengawasan dan penguatkuasaan agar tidak ada yang begitu lancang mulutnya sehingga berani menghina Yang di-Pertuan Agong.
Jangan sampai penduduk kampung dan pedalaman yang bakal menerima kemudahan ICT juga termakan fitnah dan hasutan seperti ramai penduduk di bandar-bandar.
Penduduk bandar kini ramai yang tidak menyokong kerajaan BN. Tetapi jika ditanya, masing-masing ragu-ragu puncanya. Jika diminta bukti tuduhan rasuah dan penindasan oleh BN, kebanyakan akan berkata 'orang itu yang kata, orang ini yang kata'.
UMNO dan BN tidak selemah yang difikirkan pembangkang, mahupun yang difikirkan segelintir pemimpin parti itu sendiri. Tetapi mereka perlu sedar di mana punca masalahnya.
Jika BN gagal mengawal teknologi ICT yang mereka sendiri sediakan untuk rakyat, umpama keris menikam tuannya sendiri.
Kegagalan mengawal jenayah siber tiada bezanya dengan kegagalan mengawal jenayah dalam komuniti. Sedarlah fitnah dan fakta songsang itu juga tergolong dalam jenayah siber, bukannya jenaka untuk dijadikan bahan gurauan di laman sosial dan blog.
No comments:
Post a Comment