Red Bean Army semakin gelisah
KUALA LUMPUR 1 Jun - Pihak berkuasa diminta terus memantau pergerakan tentera siber pembangkang, Red Bean Army secara serius memandangkan kumpulan itu boleh mendatangkan ancaman kepada negara selain memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan rakyat.Saranan itu diutarakan pembaca Utusan Malaysia, Kevin J. C. Chuah, yang baru-baru ini menyatakan sokongan supaya tindakan tegas diambil terhadap kumpulan Red Bean Army.
Menurutnya, ketangkasan polis mengenal pasti beberapa individu yang didakwa terlibat dengan tentera siber tersebut menyebabkan sebilangan besar mereka mula gelisah, cemas dan kini wujud kemelut antara mereka.
Beliau yang mula mengikuti laman sosial Red Bean Army sejak enam bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 berkata, tentera siber itu akhir-akhir ini lebih berani menonjolkan identiti dengan meletakkan gambar kacang merah di laman sosial terutama selepas pengikutnya semakin bertambah.
"Berdasarkan pembacaan menerusi laman sosial mereka, tenteranya berada di seluruh dunia. Mereka terdiri daripada golongan muda dan kebanyakannya berumur 40 tahun ke atas. Paling penting, matlamat Red Bean Army adalah menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) walau dengan apa cara sekalipun.
"Rangkaian laman sosial mereka sangat meluas. Kaedah mereka sebarkan maklumat juga cukup sempurna dan proaktif. Apa sahaja isu yang baru mendapat liputan media terutama melibatkan BN pasti disebarkan dengan pantas dan diputar-belitkan," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan polis telah mengenal pasti sebanyak 30 individu yang bertanggungjawab merancang menggulingkan kerajaan menerusi pergerakan Red Bean Army.
Kevin berkata, kebanyakan laman sosial yang dimiliki Red Bean Army menggunakan bahasa Mandarin selain bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi.
Beliau yang mengetahui perkara itu menerusi pemerhatian di laman Facebook 'We Fully Support PKR' dan 'Hew Kuan Yau' mendapati, komen-komen mereka mula ke arah memberi amaran sesama sendiri supaya tidak membongkar identiti ahli mereka sekiranya ditahan pihak berkuasa.
"Ada antara mereka sudah mula mengalih haluan termasuk menghentam rakan-rakan mereka yang telah dihubungi polis. Mereka mahu dilihat seolah-olah tiada kaitan dengan individu-individu yang dikenal pasti pihak berkuasa.
"Contohnya, seorang tentera mereka yang menggunakan nama 'Sam Chen' dalam Facebooknya meminta rakan-rakannya menghentikan tindakan menghentam sesama mereka termasuk tidak menjadikannya sasaran," katanya.
Menurut beliau, Sam Chen sebelum itu menulis di laman Facebooknya: "Telah dihubungi oleh cawangan khas polis bagi menjawab beberapa soalan dan turut mencapai persetujuan melalui perbualan itu."
Menurut Kevin, Sam Chen turut memberitahu polis yang menghubunginya bertindak sopan dan terlebih dahulu memberitahu tujuan panggilan tersebut menyebabkannya bersetuju bekerjasama namun menegaskan tidak akan membongkarkan identiti sesiapa pun dalam kalangan mereka.
Tambahnya, seorang lagi tentera Red Bean Army yang menggunakan nama 'Medoli Siang' mendedahkan menjadi 'terkenal' selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjemputnya 'minum teh' yang bermaksud disoal siasat.
Selain itu, tambah beliau, seorang lagi tentera siber pembangkang, 'Woodstock Lee' menerusi Facebooknya dengan lantang mengaku salah seorang tentera Red Bean Army dan mencabar pihak berkuasa menangkapnya.
No comments:
Post a Comment