Pembangkang jadikan PTPTN modal umpan mahasiswa
PIHAK pembangkang dengan sikap tidak bertanggungjawab mengumpan mahasiswa melalui tawaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) percuma jika mereka membentuk kerajaan, tanpa menghiraukan implikasinya pada masa hadapan.Sudah tentu perbuatan ini akan menggugat ekonomi negara kerana kos untuk menampung yuran pembelajaran di universiti amatlah tinggi. Kerajaan sudah pun menampung separuh daripada kos sebenar yang perlu dibayar oleh pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Ini banyak meringankan beban pelajar.
Ibarat 'diberi betis mahukan paha' itulah yang dapat digambarkan apabila sesetengah mahasiswa menuntut PTPTN percuma setelah terhasut oleh pihak pembangkang.
Perbuatan ini juga akan turut memberi implikasi dari sudut pembelajaran. Apabila pelajar sudah diberi pendidikan percuma, sudah pasti ia akan membuatkan pelajar tidak serius dalam pembelajaran kerana mereka tidak perlu memikirkan apa-apa tanggungjawab seperti membayar pinjaman setelah selesai belajar.
Mereka akan belajar sambil lewa dan bersikap endah tak endah dalam pembelajaran, lantas merugikan kerajaan. Kesannya, ia akan melahirkan graduan yang tidak berkualiti dan menjatuhkan tahap pendidikan negara. Seterusnya ia turut memberi kesan kepada sektor pekerjaan kerana banyak graduan yang tidak berkualiti ini akan menjawat pelbagai jawatan di pelbagai sektor pekerjaan.
Sistem yang dilaksankan oleh kerajaan sudah cukup elok dan cantik kerana ia telah ternyata dapat meningkatkan tahap dan saingan dalam kalangan mahasiswa. Kerajaan hanya memberikan PTPTN percuma kepada mereka yang berjaya memperoleh ijazah kelas pertama.
Senario ini akan mewujudkan satu perlumbaan sihat dalam kalangan pelajar untuk berlumba-lumba mendapatkan keputusan itu. Lantas ia meningkatkan tahap pendidikan negara dengan mempunyai ramai mahasiswa yang berijazah kelas pertama.
Oleh itu, pembangkang haruslah bersikap profesional dalam mewujudkan manifesto-manifesto mereka, bukan menjanjikan perkara yang akan merugikan negara kelak.
Mereka tidak seharusnya memancing mahasiswa dengan umpan-umpan lumayan dan akhirnya hanya merugikan negara. Jelas pembangkang amat mementingkan diri. Hanya kerana terlalu taksub untuk menjadi kerajaan, mereka sanggup menggunakan mahasiswa untuk memperoleh keinginan mereka itu.
Ini ibarat merosakkan anak sendiri dengan memberikan racun-racun manis yang merosakkan kewarasan mereka. Setelah terminum racun itu, mahasiswa akan taksub kepada pembangkang sehingga sanggup mengabaikan pelajaran untuk menyertai demonstrasi-demonstrasi yang diadakan.
Kesimpulannya, amat jelas manifesto pembangkang untuk memberikan PTPTN percuma amat tidak relevan dan tidak masuk akal. Ia hanya akan merugikan negara, menjatuhkan ekonomi dan merosakkan sistem pendidikan negara. Oleh itu, pembangkang haruslah bersikap profesional dalam berpolitik. Berpolitiklah untuk kebaikan negara, bukan untuk merosakkan kestabilan negara.
No comments:
Post a Comment