Saturday, February 2, 2013

pecat ikut suka

Pa Alif Sin - 'Pecat ikut suka'

PEMECATAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO telah melahirkan ramai pengulas dan pemerhati politik amatur. Ramai daripada mereka terima kesan dengan pemecatan ini, yang berpunca daripada ketakutan bahawa jikalau seorang yang berjawatan tinggi boleh dipecat dengan 'sebegitu mudah,' apatah lagi seorang rakyat biasa yang tiada kuasa, tiada jawatan dan tiada rangkaian di peringkat atasan.
Persepsi ini telah membina momentum di kalangan rakyat bahawa suatu reformasi perlu diadakan untuk menyelamatkan rakyat daripada kezaliman dan juga penindasan pemerintah.
Namun, rakyat harus mengetahui, bahawa Anwar sebelum dipecat telah dipanggil oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memberi penjelasan dan membela diri di hadapan Majlis Tertinggi UMNO tentang pertuduhan mengenai salah laku moralnya.
Begitulah, walaupun dituduh sebagai MahaFiraun dan Mahazalim, Dr. Mahathir dalam kes Anwar telah menunaikan satu prinsip keadilan yang asas, iaitu setiap orang yang dituduh wajar diberikan ruang untuk mempertahankan diri mereka daripada segala pertuduhan.
Bermula dari situ, pihak pembangkang telah berjaya memainkan emosi rakyat bahawa pimpinan kerajaan adalah zalim dan sewenang-wenangnya memecat sesiapa yang tidak sehaluan tanpa usul periksa.
Persepsi ini berjaya ditanamkan terutamanya dalam kalangan sebahagian generasi X dan juga sekarang ini menular kepada generasi Y.
Tetapi, seperti kata pepatah, mengata dulang paku serpih, mengata orang sebenarnya mereka yang terlebih-lebih. Rekod 'perbicaraan' dan kerja pecat-memecat terutamanya dalam Parti Islam Se-Malaysia (Pas) adalah sangat buruk.
Kes terbaru adalah pemecatan Ustaz Nasharuddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden Pas daripada kedudukannya sebagai Ahli Majlis Syura Pas. Anwar sangat beruntung berbanding Nasharuddin yang langsung tidak dipanggil bicara untuk mempertahankan dirinya daripada sebarang tuduhan. Lebih lucu lagi, sebab musabab beliau dipecat adalah kerana beliau selalu tidak hadir mesyuarat syura.
Para pengampu dan pengangguk dalam Pas mungkin mempunyai alasan bahawa setiap organisasi mempunyai disiplin dan tatacara sendiri yang perlu dipatuhi oleh ahli. Maka, Pas mempunyai hak untuk menaikkan atau memecat sesiapa sahaja yang didapati ingkar kepada peraturan parti.
Namun, sebagai sebuah parti yang mendakwa Parti Islam dan cuba menubuhkan sebuah kerajaan berkebajikan, harus mempunyai ataupun sekurang-kurangnya belajar makna perkataan ihsan dalam kamus kehidupan seharian mereka.
Memanggil Nasharuddin untuk menjawab pertuduhan adalah satu contoh tanda ihsan dan tanda aras kepada ketinggian akal budi pimpinan Pas.
Isu pemecatan individu yang dianggap berlawanan dengan nafsu Pas tanpa memanggil bicara bukanlah baru berlaku sehari dua dalam parti itu. Pas pada Januari tahun lepas telah bertindak memecat Datuk Dr. Hasan Ali atas alasan "melakukan perkara yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti".
Penulis pernah bertanya kepada beberapa pimpinan Pas di Selangor tentang kenapakah Hasan tidak pernah dipanggil bicara untuk memberi penjelasan? Alasan mereka, Hasan tidak menjawab SMS atau panggilan mereka untuk bertemu dan dibawa bicara. Namun sepanjang ingatan penulis, perkara ini tidak pernah diuar-uarkan di mana-mana media pembangkang akan usaha mereka untuk menegakkan keadilan terhadap Hasan.
Penulis yakin jika pimpinan Pas Selangor berani mengatakan perkara ini di media terbuka, tentu sekali Hasan boleh mengambil tindakan di mahkamah.
Pas sebenarnya bukan sahaja bertindak memecat ahli yang berani menegur pimpinan tanpa bicara, tetapi turut bertindak sama terhadap kakitangan yang bertugas dengan agensi kerajaan negeri yang diperintah oleh mereka.
Contohnya, Ustaz Mohamad Idrus Ismail telah dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Dekan Kuliah Al Quran, Kolej Universiti Insaniah di Kedah kerana menyokong demonstrasi membantah pembinaan Sekolah Menengah Insan Bestari pada April 2011.
Dalam insiden lain, Dr. Rosti Saruwono (yang sebelum ini juga pernah menjadi Rektor Universiti Tinggi Petronas) telah meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) kerana tidak mahu bersekongkol melucutkan jawatan tiga orang pegawai di Unisel atas campur tangan politik Kerajaan Negeri Selangor.
Selain itu, semasa Terengganu diperintah oleh Pas, Profesor Zaki Abdul Muin, bekas CEO Terengganu Advance Technical Institute (TATI) telah dipecat serta-merta dan dihalau keluar dari premis kediamannya 24 jam oleh kerajaan Pas Terengganu pada tahun 2001 kerana enggan menyerahkan segala wang ihsan kepada kerajaan negeri yang sepatutnya digunakan untuk tujuan pendidikan.
Sekali lagi tindakan ini dilakukan tanpa melibatkan sebarang perbicaraan dan bela diri walaupun Zaki semasa itu adalah penyokong Pas dan dipanggil berkhidmat oleh kerajaan Pas Terengganu. Beliau sebelum itu adalah Profesor dan Timbalan Dekan di Universiti Malaya.
Nasharuddin, Hasan Ali, Rosti Saruwono dan Zaki Abdul Muin telah meninggalkan jawatan, kepentingan dan kedudukan mereka yang selesa sama ada sebagai pensyarah universiti ataupun selainnya untuk perjuangan Pas dan sekutunya.
Jikalau Nasharuddin tidak mengorbankan dirinya untuk berkhidmat sepenuh masa dalam Pas, barangkali sudah lama beliau mempunyai ijazah Kedoktoran dan sekarang mungkin sudah menjadi profesor besar di Universiti Kebangsaan Malaysia melihat kepada kebijaksanaannya yang pernah menarik perhatian Datuk Fadzil Noor sebagai Presiden Pas.
Namun, pengorbanan dan masa depan Nasharuddin ini tidak diambil kira oleh pimpinan Pas dan dibakulsampahkan tanpa sebarang perasaan. 'Keadilan' dan 'kebajikan' ala-Pas ini sepatutnya dijadikan pengajaran buat semua rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan membuka mata kepada kakitangan awam khususnya, dan rakyat marhain umumnya tentang masa depan mereka jikalau negara ini diperintah oleh Pas dan sekutunya.
Oleh itu, mungkin amat wajar barang kali singkatan Pa Alif Sin bagi Pas di dalam Jawi, tidaklah membawa bermaksud Parti Islam Se-Malaysia, tetapi lebih tepat diungkapkan sebagai 'Pecat Ikut Suka.'

No comments:

Post a Comment