Monday, February 4, 2013

kisah bersama mb

ARKIB : 28/01/2013

Kisah bersama MB Perak

SAYA terpanggil untuk menulis apa yang saya lalui semasa menghadiri Hari Bersama Pelanggan di SUK Perak pada pagi hari Selasa yang lalu.
Saya yang menghadapi masalah tanah dengan kerajaan negeri mengambil keputusan untuk berjumpa dengan YAB Menteri Besar Perak untuk memohon bantuan beliau. Sehari sebelum saya ke pejabat SUK saya ada menelefon pejabat Menteri Besar dan dimaklumkan yang Menteri Besar tidak dapat bersama kerana ada tugas rasmi lain, saya hanya akan berjumpa dengan pegawai yang diamanahkan oleh Menteri Besar untuk mendengar dan memberi bantuan.
Saya memandu selama sejam ke Ipoh untuk mendapat bantuan di Hari Bersama Pelanggan yang diadakan setiap minggu di Dewan Serbaguna SUK.
Setelah mendaftar saya dijemput ke dewan makan untuk minum, sarapan pagi. Saya menunggu giliran untuk dipanggil dan semua masalah pelanggan dibahagikan kepada masalah kebajikan, tanah, rumah, masalah berulang dan lain-lain untuk dibantu dan diatasi oleh pegawai yang ada.
Di dewan ini terdapat satu meja bersama dengan tiga pegawai berbangsa Melayu, Cina dan India untuk mendengar keluhan rakyat dari pelbagai kaum, mungkin ini cara yang terbaik untuk masalah rakyat didengari dan diberi penyelesaian secara terperinci supaya dapat memberi pertimbangan sewajarnya.
Mereka dilihat begitu peka, prihatin dan menjalankan tugas dengan teratur, penuh tanggungjawab walaupun terdapat ramai pelanggan dengan berbagai masalah yang perlu didengar dan diselesaikan.
Terdapat juga ahli persatuan dan perseorangan dengan masalah masing-masing.
Sedang menunggu giliran saya untuk bertemu pegawai bertugas, tiba-tiba Menteri Besar muncul dengan senyuman, walaupun pada mulanya dimaklumkan beliau tidak dapat hadir oleh pegawai yang mendaftar pelanggan di pintu masuk.
Rakyat yang ada di dalam dewan begitu terkejut dan teruja untuk menyampaikan masalah masing-masing secara terus menerus dengan beliau.
Dalam kesibukan jadual kerja Menteri Besar mendengar, membaca, bertanya dan meneliti satu demi satu rayuan, masalah, permohonan yang dikemukakan oleh rakyat yang mengelilingi beliau tanpa protokol, inilah dikatakan pemimpin contoh yang prihatin serta sanggup turun padang walaupun untuk seketika.
Ini amat bermakna bagi rakyat yang datang dari jauh yang memerlukan bantuan dari seorang pemimpin, kita memang perlukan pemimpin begini yang kita merasa mudah dan tenang berinteraksi.
Sambil berbaris untuk bertemu Menteri Besar, tiba masa giliran saya, saya pun mengambil peluang untuk menunjuk surat dan berceritakan masalah tanah yang saya hadapi setelah diambil oleh kerajaan.
Setelah mendengar dengan penuh prihatin Menteri Besar mengarahkan pengawai bertugas untuk melihat dan membantu saya, bukan satu malah dua pegawai SUK iaitu, Encik Damiri dan Encik Ishak begitu teliti mendengar dan membantu walaupun keadaan agak sibuk ketika itu.
Saya amat menghargai apa yang telah mereka lakukan kepada rakyat dan saya, walaupun ramai dan berbagai-bagai kerenah, mereka lakukan tugas mereka dengan ikhlas, teratur dan penuh tanggungjawab.
Selepas berjumpa dengan rakyat, Menteri Besar adakan sidang akhbar dan saya sempat mendengar.
Rupa-rupanya sambil cuba menyelesaikan masalah rakyat beliau rupanya sedang berdepan dengan tekanan dari pembangkang yang menjemput berdebat berkenaan isu 4,000 hektar tanah di Kelantan yang dikatakan diperolehi oleh YB NGO dan YB Ngeh.
Kami, sebagai rakyat biasa rasanya, usahlah Menteri Besar membuang masa yang ada berdebat dengan YB-YB itu, cukuplah berdebat di dewan yang mulia.
Lebih baik YAB luangkan masa dengan rakyat yang memerlukan bantuan daripada melayan pembangkang.
Rakyat semua tahu mereka hendak mengalih perhatian tanah balak di Kelantan dan yang terbaru kalimah Allah. Biarlah mereka ini terjun dengan labu-labunya. Mereka ini seperti ayam jantan buta, berkokok siang dan malam tak kira masa.
Mereka ini akan berpolitik bukan saja sebelum PRU malah selepas PRU pun mereka akan berkokok juga, ini kerana mereka tidak ada tanggungjawab kepada rakyat.
Lihatlah semasa mereka memerintah dulu, macam NATO (No Action Talk Only/Tiada Tindakan, Cakap Sahaja) dan kalau mereka menang pun mereka tidak akan peduli rakyat.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130128/fo_01/Kisah-bersama-MB-Perak#ixzz2JsGPk7Db
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment