Friday, February 22, 2013

kampung baru

Rumah mampu milik di Kg Baru
HIDAYAH HAIROM
22 Februari 2013
Kampung Baru
Projek berskala besar yang akan dilaksanakan di Kampung Baru adalah sebagai pemangkin rancangan pembangunan di kawasan rizab Melayu itu.
Raja Nong Chik
Raja Nong Chik (tiga, kanan) menekan suis lampu sebagai simbolik pelancaran Program Pencahayaan Kampung Baru, di ibu negara, kelmarin.
Pasar Chow Kit
Pasar Chow Kit yang usang akan dibangunkan sebagai pasar moden, menjadi antara projek utama 10 projek berskala besar di Kampung Baru.
KUALA LUMPUR - Projek rumah mampu milik menjadi antara 10 projek berskala besar yang akan dilaksanakan di Kampung Baru sebagai pemangkin rancangan pembangunan di kawasan rizab Melayu itu.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, projek yang akan dilaksanakan di tapak Pasar Minggu Kampung Baru itu, akan dilaksanakan menerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) melalui strategi Lautan Biru bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) dan agensi lain.

Menurutnya, ia akan menjadi mercu tanda kesungguhan kerajaan menyediakan perumahan yang mempunyai ciri moden, selesa di tengah kota raya dengan ciri dan nilai Melayu Islam selaras dengan Kampung Baru sebagai Bandar Mesra Warisan.

“Kerajaan merangka semula cadangan pembangunan khusus bagi pembangunan rumah mampu milik tersebut.

“Kini kementerian dalam peringkat penawaran tender kepada kontraktor berminat dalam pembangunan rumah mampu milik tersebut,” katanya pada sesi lawatan kerja ke Kampung Baru, di sini, kelmarin.

Terdahulu, Raja Nong Chik melancarkan Program Pencahayaan Kampung Baru yang menyaksikan pemasangan 86 lampu hias di sepanjang Jalan Raja Abdullah.


Pasar Chow Kit jadi projek pertama

Raja Nong Chik berkata, pembangunan semula Pasar Jalan Raja Bot, yang juga sinonim dengan jolokan nama Pasar Chow Kit, akan menjadi projek pertama dilaksanakan dengan pembangunan secara berperingkat.

Katanya, seramai 205 penjaja di zon 1, Jalan Raja Alang akan ditempatkan sementara secara berperingkat pada awal Mac depan bagi memberi laluan kepada kerja meroboh 11 lot rumah kedai.

“Pembangunan tersebut akan melalui empat fasa dan peniaga dijadualkan ditempatkan secara berperingkat mulai Jun 2014 hingga Julai 2016. Lebih 1,900 lot akan disediakan dengan konsep lebih moden,”katanya kepada Sinar Harian.


Pembangunan kawasan strategik

Hasil kerjasama PKB dengan kelompok pemilik dan pewaris, projek perintis akan dimulakan di kawasan strategik.

Antara kawasan strategik kepunyaan pemilik dan pewaris yang dikenal pasti adalah dua projek pembangunan semula Kampong Pindah, satu pembangunan di Jalan Raja Abdullah, tiga projek kumpulan berasingan di Jalan Raja Alang, dua projek kumpulan Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan satu projek pembangunan semula tanah wakaf di Sungai Baru.

Raja Nong Chik berkata, pelbagai peringkat perundingan sedang berjalan yang melibatkan persetujuan dan pelantikan wakil pemilik dan pewaris, penyelesaian hak sekatan, kepentingan hak milik dan penyatuan lot terlibat dan penetapan jenis pembangunan.

“Menerusi model urus niaga yang dicadangkan, kumpulan pemilik berkenaan boleh mengadakan usaha sama dengan rakan strategi terdiri daripada kumpulan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau mana-mana institusi kewangan.

“Pemilik juga boleh mengadakan usaha sama dengan pemaju hartanah yang berwibawa, atau boleh dilaksanakan melalui kaedah bina dan urus oleh pemaju, atau penjualan terus hak milik,” katanya.


Baik pulih tanah mendap
Dalam pada itu, isu mendapan di Kampong Pindah turut mendapat perhatian apabila kerajaan memutuskan untuk menutup terowong air sedia ada di kawasan tersebut yang menjadi punca utama kejadian.

Raja Nong Chik berkata, terowong air yang dibina kerajaan pada 1968 perlu ditutup supaya kembali kepada strukturnya yang asal.
Katanya, projek bernilai RM21 juta itu akan disegerakan berikutan keputusan kerajaan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Bonus.

“Kementerian sedang memohon peruntukan daripada kerajaan dan projek ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Penutupan terowong tersebut memerlukan satu peruntukan bersaingan meliputi kerja mengeluarkan terowong berkenaan, bayaran pampasan dan membaik pulih kawasan seperti sedia kala agar meningkatkan kembali nilai hartanah di situ,” katanya.


Tingkat keselesaan penduduk

Sementara itu beliau berkata, pihak kerajaan menerusi PKB terus berusaha meningkatkan keselesaan penduduk Kampung Baru dengan mempertingkatkan kemudahan infrastruktur kawasan meliputi kos RM6.6 juta.

Antaranya adalah program menaik taraf pemasangan tiang dan lampu hias di sepanjang Jalan Raja Abdullah dan Jalan Raja Muda Abdul Aziz.

"Antara lain, program menaik taraf sistem longkang sekitar kawasan Sungai Bharu dan Kampong Pindah dengan kos RM2 juta," katanya.

Beliau berkata, turut dinaiktaraf, jalan kampung atau lorong dan utiliti kawasan persekitaran, penurapan Jalan Sungai Bharu dan menaik taraf longkang Jalan Raja Muda Musa 2, Jalan Datok Malik, Lorong Raja Mahadi dan Raja Ali yang meliputi kos sebanyak RM1.2 juta.

“Program landskap dan penanaman pokok hiasan di Jalan Raja Abdullah serta pemasangan pagar anti-climb dan anti crime di laluan tersebut juga dilaksanakan dengan kos RM3 juta.

“Selain itu, adalah program naik taraf surau Kampong Hujung Pasir dan Surau Rajaiyah Kampong Paya, dengan kos RM400,000,” katanya.

No comments:

Post a Comment