Thursday, January 31, 2013

isu air utk politik

ARKIB : 10/01/2013

Krisis air: Syabas jadi mangsa

SAYA bersetuju dengan pendapat yang diutarakan oleh Jefri Rizal di dalam ruangan Forum ini yang menyatakan keadaan genting yang sedang dihadapi oleh rakyat di negeri Selangor yang kini berhadapan dengan masalah bekalan air dan perlu ditangani secara bersama dan bukanlah memulakan permainan saling menuding jari antara satu sama lain.
Senario yang dihadapi oleh rakyat Selangor hasil pergolakan yang tidak berkesudahan ini mendorong semua pihak tampil mempertahankan diri masing-masing namun tidak menampakkan kesungguhan untuk menyelesaikan isu pokok yang sedia ada.
Hasilnya, pihak Syabas yang menjadi mangsa dan terpaksa turun padang menjelaskan kepada para pengguna akan situasi yang sebenar yang berlaku.
Kerajaan Negeri Selangor
Dalam hal ini kerajaan negeri Selangor yang mendakwa diri mereka sebagai sebuah kerajaan berkebajikan sepatutnya menghentikan serta-merta perbuatan menuding jari kepada pihak itu dan pihak ini, manakan tidak apabila mereka sendiri tahu bahawa jalan penyelesaian berada di tangan mereka namun Menteri Besar Selangor lebih selesa mempergunakan modal isu air sebagai 'nadi' survival politik mereka.
Keikhlasan kerajaan negeri dalam soal ini boleh dipersoalkan, lihat sahaja bagaimana pejabat Menteri Besar Selangor mencanangkan kepada semua bahawa mereka turut membantu rakyat dengan membawa tangki ke kawasan yang terputus bekalan air.
Tetapi, sebanyak tujuh tangki air seperti yang dilaporkan oleh akhbar yang dibawa tersebut hanyalah menjadi 'ejen publisiti' jangka pendek mereka untuk mendapat sokongan rakyat.
Lebih memeritkan apabila kerajaan negeri mahu pengguna air menyaman Syabas serta mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat tersebut.
Perbuatan seperti ini tidak lain samalah seperti perumpamaan, 'meludah ke langit dan jatuh ke atas muka sendiri'.
Tidakkah kerajaan negeri Selangor sedar bahawa tindakan tersebut hanyalah relevan jikalau Syabas tidak berbuat apa-apa langsung untuk menangani keadaan ini?
Adakah kerajaan negeri lihat terdapat catu air secara total ke atas semua kawasan-kawasan Lembah Klang?
Apakah kerajaan negeri mempunyai bukti kukuh para petugas dan pengurusan Syabas hanya duduk bersahaja dan tidak bertindak? Bukankah Syabas telah bertindak sebaik mungkin dengan membaiki terus rumah-rumah pam yang telah rosak walaupun cuba dihalang oleh kerajaan negeri?
Jika mereka tiada bukti seperti yang disebutkan, maka eloklah kerajaan negeri Selangor 'tepuk dada tanya selera'.
Ingatkah kerajaan negeri terhadap manifesto-manifesto yang tidak dilaksanakan seperti elaun ibu tunggal, penurunan cukai pintu, kenaikan cukai tanah, pengabaian ke atas para pemilik rumah PKNS dan seterusnya sebahagian besar pengguna yang dinafikan hak mereka untuk mendapat air percuma?
Rakyat mempunyai alasan kukuh untuk menyaman kerajaan negeri atas faktor-faktor yang dinyatakan tadi dan juga bagi mereka yang terjejas teruk akibat banjir kilat di Klang dan Ampang juga boleh menyaman kerajaan negeri jika mereka mahu.
SPAN dan KeTTHA
Di samping itu, pihak-pihak lain yang bertanggungjawab seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga haruslah bertindak dengan segera selaku penyelaras.
Ini kerana Lembah Klang merupakan nadi penggerak ekonomi utama negara. Apabila hal sebegini berlaku, mengapa pihak SPAN seakan-akan duduk diam membisu dan tidak mahu mengawal keadaan?
Bukankah lebih elok jika SPAN membantu menggerakkan usaha membawa bekalan air bersih dari negeri-negeri lain untuk dibawa kepada warga Selangor yang semakin terdesak dek kerana pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan.
Begitulah juga halnya dengan pihak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) yang sepatutnya dari awal lagi bangkit menenangkan keadaan serta mengambil tugas mengetuai misi bagi kedua-dua pihak mencari titik persamaan dalam soal pengurusan air ini.
Kalau beginilah keadaan yang cuba ditonjolkan oleh pihak-pihak kerajaan negeri mahu pun kerajaan Persekutuan, jangankan Syabas, syarikat pengurusan air terbaik dunia pun akan lingkup jika menjadi mangsa keadaan.
RUEBEN
Rawang, Selangor

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130110/fo_01/Krisis-air-Syabas-jadi-mangsa#ixzz2JV9iNNDW
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment