Thursday, January 31, 2013

banyak berlakon

ARKIB : 30/01/2013

Pas banyak 'berlakon'

KATA si giant killer: "Barangkali dia super gred tetapi padahal 'kosong' di Marang." Itu ungkapan agak pedas daripada Senator Datuk Abdul Rahman Bakar yang juga Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Terengganu dalam pertemuan pada malam Sabtu lalu.
Dalam pertemuan di Kuala Lumpur itu, Abdul Rahman membawa saya meninjau tindak-tanduk pelik sebilangan pengikut Pas di kawasannya, Marang, sebelum menjengah lebih jauh seluruh Terengganu.
"Bagi saya Pas banyak 'berlakon'. Pernah sebelum Jambatan Sultan Mahmud di Duyung siap, orang Pas kata tak akan guna, membazir wang.
"Tapi bila jambatan siap, dia lalu juga. Dari Batu 6, Gong Badak, Tok Jering, Seberang Takir dan Kuala Nerus, mereka menghala ke Rusila (kawasan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang)," katanya.
Kata Abdul Rahman: "Dia (Pas) kata sekolah kerajaan ini kafir, sekular. Semasa anak mereka (penyokong Pas) tadika, dia hantar ke taska Pasti...dia kata tadika sedia ada tadika kafir. Tapi bila besar, tahu pula hantar anak ke sekolah rendah, menengah kerajaan.
"Malah, ada orang Pas hantar anak belajar ke Eropah dan Amerika lagi...bukankah itu negeri-negeri kafir?"
Abdul Rahman, 60, mendapat jolokan Giant Killer setelah menewaskan Abdul Hadi, 65, pada 1986 dan 2004. Dalam persaingan pilihan raya, beliau dan Presiden Pas itu ketika ini dalam kedudukan seri (Abdul Hadi menang 1990 dan 1995).
Bagi Abdul Rahman, Barisan Nasional masih berupaya mempertahankan Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Malah, boleh tambah kerusi lagi.
Ketika ini daripada 32 Dewan Undangan Negeri (DUN), BN cuma kalah 8. Daripada 8 kerusi Parlimen pula, 2 terlepas. Di peringkat DUN, kata beliau, Insya-Allah BN akan tambah daripada 24 kepada sekurang-kurangnya 28 kerusi.
Untuk 6 kerusi Parlimen sedia ada, BN bukan sahaja mampu kekalkan, malah percaya kerusi Marang yang dikuasai Abdul Hadi akan kembali ke pangkuan BN.
"Hadi tak bawa apa-apa pembangunan dan kemajuan untuk rakyat Marang. Sama ada jalan raya, masjid, surau, klinik dan sekolah semuanya berbalik kepada Pusat.
"Baik dulu... sebelum, semasa dan sesudah dia jadi MB (Menteri Besar Terengganu 1999-2004), tiada apa-apa yang dia buat untuk rakyat Marang.
"Jadi, rakyat Terengganu, apatah lagi di Marang merasakan mengundi Pas tidak mendatangkan apa-apa hasil dan faedah kepada mereka jika hanya dimomokkan oleh propaganda dan retorik semata-mata," kata beliau.
Apa tidaknya, kata Abdul Rahman lagi: "Pas ni banyak teori...malam dia ceramah, siang tidur. Rakyat meluat dengan perangai sebegini, dan simpati pula kepada BN."
Bukti paling mudah. Daripada 57 buah masjid di Marang, tidak ada satu pun dibina oleh Abdul Hadi. Yang dia bina cuma masjid di Rusila. Sekarang bila BN perintah di bawah teraju Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, setiap satu DUN dibina satu masjid. Satu tahun, satu masjid. Kalau seluruh 32 DUN, cuba kira berapa?
Dan jika dinilai kembali manifesto yang dicanang Abdul Hadi pada pilihan raya umum 1999, sebenarnya banyak hutangnya kepada rakyat Terengganu.
Abdul Hadi, kata Abdul Rahman, mungkin tak akan diingati oleh rakyat Terengganu. Ini memandangkan tidak ada satu pun prasarana atau infrastruktur yang dikongsinya dengan rakyat. Ini baik sewaktu dia menjadi MB mahupun ketika ini menyandang Ahli Parlimen Marang dan ADUN Rhu Rendang.
Namun, tegas beliau, kelibat Presiden Pas itu pasti tidak akan dilupakan oleh umat Islam negara ini kerana kesan 'sergahan' amanatnya di Banggol Peradong pada 1981.
"Kesannya, amat besar, berterusan dan berpanjangan sampai sekarang. Segala yang buruk-buruklah...pecah belah masyarakat, tak bertegur sapa sesama Islam, haram makan sembelihan orang UMNO, sembahyang berasingan, tanah kubur asing-asing, akad nikah dua kali.
"Tapi, bila kita tanya balik...mak dan ayah orang Pas ini termasuk Hadi sendiri dan nenek moyangnya...siapa yang nikahkan mereka? Kita umat Islam amat sedih perkara ini...orang Melayu pecah belah dan orang lain pula yang menangguk di air keruh," katanya.
Dan yang cukup menyedihkan daripada tindak-tanduk Abdul Hadi ialah apabila satu isu sensitif menyentuh Islam disyorkan oleh sekutu pakatannya untuk dipraktiskan.
Dan tanpa 'ribut taufan', Presiden Pas itu tiba-tiba menyatakan kesanggupan untuk akur. Dan, kita bersyukur kalau tidak kerana 'dipangkah' oleh Majlis Syura partinya, tak tahulah apa akibatnya selepas ini.
Abdul Rahman turut melontarkan persoalan menarik untuk dikongsi bersama rakyat negara ini. Kenapa dalam 12 kali pilihan raya umum, Pas tidak pernah menang besar barang sekali pun?
Pas, kata beliau, sering mengatakan kerajaan ini 'taghut'. Tetapi kenapa bila kerajaan bekalkan segala kemudahan, beri jawatan kepada mereka (pengikut Pas yang berada dalam kerajaan) atau segala Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) atau bantuan RM100 persekolahan, mereka tak tahu bersyukur.
"Bila kita tak bersyukur, azabnya sungguh pedih, tapi bila kita bersyukur, Allah akan tambah lagi (rezeki itu).
"Dan bila kita berterima kasih kepada manusia yang bagi (memberi) kepada kita, ertinya kita bersyukur pada Allah," kata Abdul Rahman. Sebab itu Pas tidak akan menang PRU-13 ini.
Kata Abdul Rahman: 'Pas tidak akan menang sebab dia tak bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah di bumi Malaysia bertuah ini.
Ditanya kemungkinan akan berulang sejarah pertembungan beliau dengan Abdul Hadi buat kali kelima nanti, Abdul Rahman berkata: "Ya lah, mereka (pengikut Pas) kata saya ni sudah 'hilang taring', sebabnya kerana nak rendah-rendahkan saya...kalau nak tahu 'hilang taring', cubalah!
"Namun, saya tak pernah mendesak, kalau kepimpinan yakin, saya bersedia, kalau tidak pun tak mengapa."
Beliau turut menitipkan sedikit formula untuk memilih winnable candidate di Marang.
"Kena pilih calon yang betul-betul layak, yang betul-betul ada rekod, yang betul-betul rakyat terima, yang betul-betul boleh menang. Pilihan calon jangan ikut emosi, jangan ikut suka tidak suka, jangan ikut individu, tapi ikut suara rakyat.
"Kena pilih hati-hati. Perlu menanyakan semua orang Marang."

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130130/re_01/Pas-banyak-berlakon#ixzz2JV8dwQs8
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment