Thursday, January 31, 2013

jalan ke putrajaya

ARKIB : 30/01/2013

Jalan lain Pas ke Putrajaya

SEMAKIN dekat dengan pilihan raya, kelihatan keretakan pembangkang semakin parah. Apa yang dianggap sebagai kerjasama selesa semasa Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 dulu kini nampak semakin goyah. Ini bukan sahaja dirasai oleh ahli-ahli parti terutamanya Pas, namun pemerhati politik turut merasakan mood sedemikian.
Banyak penulis dan penganalisis berpandangan bahawa isu penggunaan nama Allah telah memakan diri serta membawa salah tafsir yang sangat serius sehingga berpotensi untuk memecahkan gabungan pembangkang.
Hasrat asal pakatan adalah untuk menjadi juara kepada penduduk Kristian Sabah dan Sarawak tetapi tidak kesampaian apabila tafsiran oleh warga umum Malaysia, terutamanya orang Melayu Semenanjung menjadi lain.
Kemuncaknya ialah apabila terdapat sesetengah rakan UMNO dan Pas semacam tersentak dan baru menyedari bahawa dengan 'pukulan' daripada Ketua Umum PKR yang tetap melawan kehendak Majlis Syura, membuka mata mereka melihat cahaya baru.
Baru mereka sedar rupa-rupanya antara UMNO dan Pas lebih banyak persamaan. Dari segi akidah, jika diselami lebih mendalam rupa-rupanya orang Pas dan UMNO amat sama. Keputusan Majlis Syura Pas itu rupanya menjelaskan lagi hal kesamaan, ibarat jika 'Majlis Syura UMNO' yang bersidang, hasil keputusan yang hampir sama yang akan ditetapkan.
Tidak mungkin keputusan seumpama Majlis Tertinggi pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu yang dicapai sekiranya kepimpinan Pas dan UMNO yang bersidang bersama-sama.
Sekiranya hasrat Pas hendak juga ke Putrajaya, nampaknya dengan situasi yang rumit dalam pakatan hari ini, yang mungkin boleh menyebabkan Pas kalah lebih teruk maka adalah lebih baik Pas meneroka satu jalan lain yang lebih jelas dan munasabah berbanding dengan jalan sekarang.
Jalan itu tidak lain tidak bukan ialah melalui kerjasama dengan UMNO. Buktinya telah terang di depan mata, apabila Pas bergabung ke dalam BN pasca 13 Mei 1969, Pas dan UMNO memenangi kesemua kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya umum keempat pada Ogos 1974.
Melaluinya Pas akan membantu UMNO dengan kepakaran dan rangkaian antarabangsanya terutama berkaitan hal-ehwal Islam. Ambil sahaja contoh isu Gaza, nampaknya mahu tak mahu UMNO pun sedikit sebanyak bergantung kepada kepakaran bekas Timbalan Presiden Pas, Ustaz NasharudinMat Isa untuk memastikan kelancaran lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak ke sana.
Ini satu contoh kecil yang baik bagaimana berkesannya kerjasama UMNO-Pas. Jangan anggap ini satu kegagalan tanpa melihat potensinya yang amat besar. Sekalipun pernah gagal selepas Pas bergabung dulu (1970-1975) ke dalam BN, ia bukanlah bukti kukuh bahawa kerjasama itu tidak boleh diulangi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130130/re_05/Jalan-lain-Pas-ke-Putrajaya#ixzz2JV90FION
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment