Sunday, August 29, 2010

Rakyat Indon Xper


KUALA LUMPUR 28 Ogos - Dua lelaki tempatan ditahan ketika cuba membakar bendera Indonesia di hadapan pejabat Kedutaan Besar Republik Indonesia di Jalan Tun Razak, di sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abd. Rahman berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam berhubung cubaan dua lelaki terbabit dan bergegas ke lokasi kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi.

"Sebaik sahaja kita sampai, polis terus menahan kedua-dua lelaki itu dan membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan.

"Mereka mendakwa cuba membakar bendera negara jiran atas semangat cintakan negara, cuma ia ditunjukkan dalam cara yang salah," katanya ketika ditemui di hadapan pejabat kedutaan itu awal pagi ini.

Difahamkan, kedua-dua lelaki terbabit antara sekumpulan 15 lelaki yang berhimpun di hadapan kedutaan itu bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka.

Mereka dikatakan cuba bertindak balas terhadap protes yang dianjurkan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) serta beberapa kumpulan lain di beberapa tempat seperti di Jakarta, Bandung dan Bali ekoran penahanan tiga anggota penguatkuasa marin negara itu oleh Polis Malaysia 13 Ogos lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman ketika ditemui di ibu negara hari ini mengesahkan kejadian itu.

Baru-baru ini, kerajaan mengeluarkan kenyataan akan menyelesaikan satu insiden yang berlaku antara Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Penguat Kuasa Perikanan Republik Indonesia di perairan Johor pada malam 13 Ogos lalu, secara baik.

Dalam insiden itu, tujuh nelayan tempatan ditahan pasukan Penguat Kuasa Perikanan Republik Indonesia, manakala tiga pegawai penguat kuasa negara jiran terbabit ditahan PGM Wilayah Dua.

Sementara itu, Setiausaha Politik Kedutaan Besar Republik Indonesia, Afini Boer berkata, sekiranya ada mana-mana rakyat tempatan yang tidak berpuas hati terhadap insiden tersebut, mereka tidak perlu bertindak sedemikian kerana ia boleh mengeruhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

"Berfikirlah secara rasional dan bukan mengikut perasaan. Kejadian seperti ini tidak wajar berlaku," katanya.

"Pihak kami ingin mengucapkan terima kasih kepada polis Malaysia yang bertindak pantas mengawal keadaan," katanya.

"Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua mereka bertindak demikian kerana berang dengan tindakan yang sama dilakukan oleh segelintir penunjuk perasaan Indonesia di negara jiran sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki tersebut dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

No comments:

Post a Comment