Friday, August 13, 2010

Penceramah SS (Syok Sendiri)

Soalan:

Penganjuran tazkirah di surau-surau dan masjid-masjid yang banyak menyentuh politik dan terlalu panjang, sedangkan esok hari bekerja. Saya memang teringin menuntut ilmu di masjid mahupun surau tetapi agak mendukacitakan. Mohon nasihat daripada ustaz.

Jawapan:

Mengadakan kuliah atau tazkirah antara solat sunat terawih yang kian menjadi budaya di bulan ramadan bagi mereka yang ingin mengambil kesempatan bagi menyemarakkan lagi budaya menuntut ilmu. Secara dasarnya tidaklah salah mengadakan tazkirah sama ada antara terawih mahupun sesudah terawih. Ini kerana Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu. Sesungguhnya Allah SWT menyukai ibadat hambanya yang berilmu berbanding ibadat hamba yang jahil. Penganjur juga tidak salah menganjurkan tazkirah, kerana bagi mereka inilah peluang keemasan dengan kehadiran jemaah yang luar biasa mahu dijadikan peluang untuk menganjurkan majlis ilmu, semoga dengan demikian bertambahlah cinta kepada Islam dan ajarannya. Manakala Allah SWT menganjurkan umatnya agar menghidupkan suasana memberi peringatan, ini jelas dalam firman Allah dalam surah al-Zariyat ayat 55 dan surah al-'Ala ayat 9.

Saya juga kadang-kadang diundang untuk menyampaikan tazkirah di surau mahupun masjid. Biasanya saya akan tanya tazkirah selepas solat atau antara solat? Kalau ada yang mengatakan antara solat (selepas 4 rakaat), saya akan mencadangkan selepas solat iaitu selepas terawih dan witir. Ini kerana solat tidak mahu diganggu dengan acara lain. Saya fikir adalah wajar membiarkan solat selesai ditunaikan sebelum mengadakan ceramah. Demikian akan memberi masa yang cukup kepada penceramah untuk menyampaikan tazkirahnya. Kalau di tengah-tengah solat (selepas 4 rakaat) pastinya masa yang peruntukkan sangat singkat dan mungkin pentazkirah terkejar-kejar dalam penyampaiannya. Keadaan akan menjadi parah apabila tazkirah yang diadakan di antara waktu solat sunat terawih dan penceramah langgar waktu yang diperuntukkan, asalnya 15-20 minit malangnya heret sampai 30-45 minit, sedangkan esok hari bekerja. Kaum ibu pula perlu balik untuk menyiapkan masakan untuk sahur dan pelbagai komitmen yang lain yang perlu dilangsaikan. Hal ini kadang-kadang tidak disedari oleh pentazkirah dan juga jawatankuasa.

Gawat lagi apabila penceramah yang berceramah tidak fokus dalam isu yang dikupas, asyik merapu sehingga keluar dari tajuk yang asal. Sebab itu pesanan saya agar penceramah yang dijemput hendaklah diberi tajuk yang khusus agar dia tidak shopping dalam ceramah. Fenomena terkini ialah asal ceramah mesti ada diselit dan disindir ahli politik, hebat lagi platform tazkirah ramadhan betul-betul dimanfaatkan untuk kepentingan politik tertentu. Saya tidaklah kata berpolitik itu dalam Islam tidak ada atau berpolitik itu salah. Setiap orang cenderung kepada mana-mana parti politik dan dia yakin akan kehebatannya pasti akan memperlihatkan belangnya.

Bagi saya penceramah atau pentazkirah yang memberi tazkirah lalu terus tukar arah dalam ceramah kepada politik adalah pendakwah yang tidak matang dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang daie. Banyak rungutan yang saya terima bahawa kadang-kadang pentazkirah membelasah individu-individu tertentu atau menghentam parti politik yang dia tidak suka atas beberapa alasan yang bagi dia tidak betul. Seorang pendakwah yang berjaya ialah pendakwah yang berusaha mengubati penyakit masyarakat dengan mengajak mereka kepada penghayatan Islam sebenarnya bersedia untuk menjadi muslim yang baik. Jarang penceramah tanya apa permasalahan masyarakat setempat? Supaya pentazkirah dapat memberi ubat yang sesuai kepada penyakit masyarakat. Apabila penceramah cerita politik orang ramai yang datang solat berjemaah yang di antaranya sedang mencari jalan pulang pasti akan kecewa kerana dia ke surau atau ke masjid untuk mendekat diri kepada Allah SWT dan dengan majlis-majlis yang diadakan dapat menambah lagi ilmu.

Cakap perkara yang berkaitan dengan politik memang seronok, sebab ia adalah sesi mengaibkan orang dan membantai orang. Tetapi apa yang berlaku bukan mendidik malah menjauhkan orang dari surau mahu pun masjid. Inilah di antara sebab kenapa remaja tidak minat ke masjid atau ke surau. Sebagai penceramah jangan 'syok' sendiri. Sebagai penceramah, tahu tak apa penyakit masyarakat kita? Kalau tidak isu-isu yang besar pun saya yakin ramai yang masih tidak faham solat jamak qasar. Sedangkan tiap-tiap tahun kita bermusafir dan menunaikannya. Ramai yang masih mencari penjelasan yang boleh dijadikan panduan dalam bermusafir.

Bulan Ramadan ini banyak perkara yang boleh dibincangkan di dalam tazkirah, antaranya ialah, peperangan badar kubra, Nuzul al-Quran, Mukjizat al-Quran, Zakat, fidyah, qada puasa dan sebagainya. Walaupun tajuknya nampak mudah tetapi hurainya mestilah dalam olahan bahasa yang mudah. Saya yakin sekiranya pendekatan mendidik secara holistik digunakan sebagai kaedah dalam pendidikan akan menjadikan masjid tempat yang dirindui dan akan lebih ramai lagi pengunjung yang menjadikan masjid dekat di hati. Di sinilah terletaknya peranan jawatankuasa masjid untuk mengatur majlis ilmu dan serahkan amanah mendidik kepada yang berjiwa pendidik.

No comments:

Post a Comment