Tuesday, August 10, 2010

Orang Asing Mula Berniaga

SUNGAI BULOH: Macam negara asing apabila ratusan pendatang tanpa izin menjalankan perniagaan di atas jalan dan lot tempat letak kereta di pasar malam Kampung Baru Sungai Buloh sejak tiga tahun lalu.

Mereka rata-rata memperoleh keuntungan lumayan apabila menggunakan jalan utama diguna penduduk untuk keluar masuk ke pekan Sungai Buloh dari jam 2 petang hingga 10 malam sehingga menimbul kemarahan masyarakat sekitar.

Tinjauan Metroplus di pasar malam berkenaan mendapati mereka menjalankan perniagaan menjual sayur, barang dapur dan makanan tanpa rasa takut.


Penduduk, Tarhidheran, 64, berkata kegiatan perniagaan warga asing itu menyebabkan jalan utama yang diguna lebih 1,000 kenderaan sehari terpaksa ditutup kerana mereka beroperasi di atas jalan sepanjang lebih tiga kilometer.


“Sebagai rakyat tempatan saya rasa macam berada di negara asing apabila dinafikan hak untuk menggunakan jalan raya selepas pembukaan pasar malam dengan ratusan khemah didirikan.


“Ia juga menimbulkan kesesakan apabila penduduk hanya boleh menggunakan jalan alternatif saja sedangkan sebelum ini kita menggunakan dua jalan untuk keluar masuk,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.


Peniaga, Lai Loo San ,70, berkata operasi perniagaan haram oleh warga asing itu menyebabkan perniagaan restorannya merosot apabila terpaksa menutup operasi pada jam 2 petang.


Katanya, ini kerana mereka menggunakan lot jalan dan tempat letak kereta di depan kedainya dan beberapa kedai lain.


“Saya mahu pihak berkenaan memantau kawasan ini dan mengambil tindakan wajar kepada warga asing yang tiada permit berniaga di pasar malam ini.


“Ini bagi menjamin hak peniaga tempatan untuk terus beroperasi walaupun ada pasar malam dengan mengharamkan penggunaan jalan utama dan tempat letak kereta sebagai tempat berniaga supaya pengguna dapat datang ke kedai kami seperti biasa,” katanya. Sementara itu, Ketua Cawangan MCA Kampung Baru Sungai Buloh, Poon Hoon berkata, pihak berkuasa perlu membantu penduduk dengan menangani warga asing daripada terus berniaga di atas jalan.


Katanya, kalau berniaga di atas tapak pasar malam mereka tidak kisah, tetapi menggunakan jalan raya dan tempat letak kereta memberi masalah kepada penduduk.

No comments:

Post a Comment