GEORGETOWN: Seorang peniaga kedai kopi cuba membakar diri dengan menyimbah minyak petrol ke tubuhnya di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), bagi menunjukkan perasaan kecewa terhadap kerajaan negeri yang bertindak menutup pintu masuk di tingkat dua kompleks itu, semalam.
Dalam kejadian jam 3.10 petang itu, Teoh Bak Seng, 53, dari Persiaran Gurney, yang memiliki kedai 'Seng Mugs Coffee' dikatakan mahu menghantar memorandum ditandatangani 48 peniaga kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng, bagi membantah penutupan pintu berkenaan.
Sebelum itu, Teoh dikatakan berucap di khalayak selama lima minit dengan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kerajaan negeri dan meletakkan beberapa poster bertulis 'Tukar Tempat, Tukar Pemikiran', 'Kerajaan Pulau Pinang Kejam' dan 'Cakap Sangat....,Kelakuan Putus Rezeki'.
Bagaimanapun, selepas diarah beredar dari situ oleh polis, Teoh nekad mengambil minyak petrol dalam botol yang disimpan dalam beg silang, lalu dicurah ke tubuhnya.
Namun, kepantasan polis berjaya menghalangnya yang kemudian pengsan dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapat rawatan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, mengesahkan siasatan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.
Tindakan menutup pintu di tingkat dua di KOMTAR dilakukan selepas Guan Eng pernah ditepuk bahu kirinya oleh seorang siak Masjid, Ali Ahmad, 63, yang ingin memaklumkan pelbagai masalah dihadapi orang Melayu di negeri ini kerana dasar berat sebelah kerajaan negeri.
Teoh berkata, dia sangat kecewa dan terpaksa menanggung kerugian antara RM100 hingga RM200 sehari sejak 2 Ogos lalu, hanya disebabkan kebimbangan Ketua Menteri terhadap ancaman seperti yang berlaku baru-baru ini.
"Pentadbiran KOMTAR dulu tidak pernah buat begini sejak saya berniaga pada 1979 tetapi sejak Guan Eng memerintah, semuanya berubah.
"KOMTAR dibuka oleh Tun Abdul Razak iaitu bapa Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak)...ini bukan Kompleks Lim Kit Siang," katanya.
Terdahulu, lebih 20 ahli Parti Cinta Malaysia (PCM) berpakaian putih yang cuba mengadakan demonstrasi membantah tindakan kerajaan negeri menutup beberapa pintu di tingkat dua KOMTAR, terpaksa dibatalkan kerana insiden membabitkan Teoh.
No comments:
Post a Comment