Saturday, August 28, 2010

Bukan Muslim Ceramah DiMasjid

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching masuk ke Surau Al-Huda, Kajang Sentral untuk berceramah dan menyampaikan sumbangan moreh kepada jemaah surau itu, adalah mencemar imej surau sebagai tempat suci untuk umat Islam beribadah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata masjid tidak seharusnya dijadikan sebagai tempat untuk menyampaikan ideologi politik kerana ia ternyata satu kesalahan dan boleh diambil tindakan.

“Malah setiap kaum perlu menghormati peraturan di rumah ibadat kaum lain ,” katanya selepas menghadiri rakaman program Ihya Ramadan Bersama Menteri di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan sebuah laman blog yang mendakwa Ahli Parlimen Serdang daripada DAP itu, memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada ahli PAS, Ahad lalu.

Jamil Khir yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meminta jawatankuasa surau supaya mematuhi peraturan yang digariskan selain tidak mengetepikan soal hukum agama.

Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan perbuatan Teo sebagai satu tindakan seolah-olah mahu mencabar kesabaran umat Islam di negara ini.

Beliau turut kesal dengan tindakan Ahli Parlimen berkenaan yang sewenang-wenang masuk ke ruang solat utama surau bertujuan memberi ceramah dan sumbangan tanpa mendahului tertib, adab dan batasan yang sewajarnya.
“Tidak jadi masalah untuk seorang bukan Islam masuk ke perkarangan surau atau masjid dengan syarat mereka perlu menghormati tempat berkenaan dengan mematuhi adab dan tertibnya,” katanya.

Di SUNGAI PETANI, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata tindakan nazir dan ahli jawatankuasa surau itu membenarkan orang bukan Islam memasuki ruang solat adalah tidak dibenarkan dan menyalahi hukum.

“Orang bukan Islam hanya boleh melawat kawasan masjid atau surau tetapi tidak boleh memasuki ruang solat rumah ibadat berkenaan apatah lagi memberi ceramah kepada jemaah surau berkenaan.

“Perkara ini disifatkan serius dan ia perlu disiasat secara menyeluruh dan jika benar ia berlaku ia seakan-akan satu bentuk penghinaan terhadap orang Islam,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan sambutan Hari Wanita anjuran Wanita UMNO Baling.

No comments:

Post a Comment