Monday, August 8, 2011

roboh

Robohkan asrama Yayasan Selangor bukan penyelesaian

NAIM KARISMA
Kuala Lumpur

MASIH belum sampai sepenggal pentadbiran negeri Selangor diteraju oleh pimpinan parti pembangkang, sudah pelbagai masalah dan isu ditimbulkan serta membangkitkan kemarahan rakyat.

Kesesakan lalu lintas, keselamatan pelajar dan keadaan pembangunan setempat merupakan penyebab utama pula bagi mengukuhkan tindakan mereka untuk merobohkan dua asrama Yayasan Selangor di Kuala Lumpur yang sekian lama didirikan. Asasnya, sekolah asrama itu adalah untuk pelajar luar bandar bagi meneruskan pengajian mereka dengan lebih baik melalui prestasi akdemik yang cemerlang.

Di manakah rasionalnya tindakan sedemikian perlu diambil? Wajar dirobohkan ataupun tidak bukan persoalan utama yang harus didebatkan tetapi memikirkan jalan penyelesaian. Fikirlah cara menangani isu ini dan pelan alternatif bagi meyelesaikan perkara tersebut dengan kadar segera.

Berkaitan kesesakan lalu lintas dialami oleh pelajar sekolah asrama tersebut, pada pandangan saya seharusnya Yayasan Selangor mahupun pihak asrama membuat koloborasi atau kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya agar membaik pulih sistem lalu lintas berdekatan asrama tersebut dengan kadar segera. Dengan baik pulih sistem jalan raya itu sahaja, kesesakan lalu lintas selesai dan tidak menimbulkan masalah lagi kepada pelajar yang mahu ke kelas.

Berhubung keselamatan pelajar terhadap ancaman warga asing yang sering berkeliaran, Yayasan Selangor sendiri perlu segera mengeluarkan arahan kepada pihak keselamatan seperti polis untuk sentiasa berkawal di kawasan tersebut. Malah boleh juga ditubuhkan satu balai polis (post) sebagai persediaan membuat laporan sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.

Berhubung penutupan asrama tersebut dapat dilihat kewajarannya jika ditutup sementara dan dengan syarat pihak asrama memastikan bahawa seramai 463 pelajarnya mendapat jaminan terhadap tempat pengajian yang lebih baik. Ini supaya tindakan itu tidak menganggu tahap prestasi akademik mereka pada masa akan datang. Apabila pembangunan selesai, diharap pelajar tersebut dapat meneruskan pengajian mereka semula di sekolah tersebut.

Tindakan mahu menutup dan merobohkan dua asrama itu seolah-oleh dilihat seperti ada masalah dalaman yang tidak dapat ditanggung oleh pihak asrama dan Yayasan Selangor sendiri.

No comments:

Post a Comment