Jangan perkuda anak yatim
DINZI
Selayang, Selangor
SAYA ingin merujuk kepada kenyataan sebuah pusat tahfiz di Kuala Kedah yang mendakwa kegiatan penghuninya menjual produk di Lembah Klang sebagai aktiviti kokurikulum. Bagi saya ini merupakan penjelasan yang tidak masuk akal.
Pengetua mendakwa, aktiviti itu bertujuan mengisi dana kerana kos operasi bulanan pusat tahfiz tersebut sebanyak RM40,000. Adakah pusat tahfiz ini merupakan sebuah pejabat korporat? Adakah logik perbelanjaan mengurusnya sebanyak itu, sedangkan lokasi di Kuala Kedah, bukannya di kota kosmopolitan Kuala Lumpur?
Sekiranya pusat tahfiz dihuni anak-anak yatim piatu yang berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri, sudah semestinya operasi dibiayai sebahagiannya. Sekiranya pusat tahfiz tersebut dihuni oleh anak-anak yang dihantar ibu bapa pelajar, maka kosnya tentulah dibiayai oleh keluarga masing-masing.
Maka isu tidak cukup kewangan bukan alasan yang boleh diterima. Jika pusat tahfiz itu tahu bahawa kos operasi bulanan sangat tinggi, wajar ditutup dan penghuninya dipindah ke pusat tajaan pihak berkuasa agama negeri atau pusat lain yang lebih mampu.
Kos gaji tenaga pelajar dijadikan alasan supaya aktiviti 'kokurikulum' perlu diadakan sehingga ke Lembah Klang, sedangkan tujuan pusat tersebut menjalankan aktiviti yang menjurus kepada amal jariah untuk mencari redha Allah.
Sesiapa pun tenaga pengajar yang mencurah ilmu di pusat tahfiz tidak akan mencari untung dunia dengan makan hasil daripadanya selain mengharapkan redha dan pahala Allah. Sudah pasti, setiap tenaga pengajar yang ikhlas tidak akan berkira jika tahu pusat tahfiz tersebut tidak cukup kewangan.
Pusat tahfiz, sama ada dihuni anak yatim atau tidak di Malaysia yang berdaftar, tidak pernah putus bantuan kewangan. Ini kerana masyarakat Malaysia sangat pemurah. Sesiapa yang hendak berderma akan terus pergi ke pusat sebegini sama ada untuk menunai zakat terus kepada asnaf, menderma wang ringgit dan barangan ataupun beraqiqah.
Agama mengajar kita tentang 'berkat'. Walaupun sedikit rezeki dapat tapi cukup dan selesa. Banyak rezeki dapat tetapi sentiasa tidak cukup dan meraba-raba mencari sudah pasti tidak berkat.
Alasan waris penghuni memberi kebenaran juga boleh dipertikaikan. Setakat keluar di kawasan berdekatan pusat tahfiz mungkin boleh diterima tetapi sehingga ke ibu kota Kuala Lumpur, adakah waris memberi kebenaran?
Anak-saya yang bersekolah kerajaan pun perlukan kebenaran penjaga bagi sebarang lawatan luar dari kawasan sekolah bagi tujuan keselamatan. Sekiranya berlaku kemalangan dan hilang nyawa, siapa akan dipertanggungjawabkan? Adakah sudah qada dan qadar Allah dan waris perlu menerimanya?
Apabila kejadian malang menimpa, salah menyalah pun berlaku dan akhirnya tuding jari kepada kerajaan. Isu ini diburukkan lagi oleh parti pembangkang yang menangguk di air keruh menjaja isu-isu begini ke seluruh negara menyalahkan kerajaan. Padahal kebanyakan pusat tahfiz yang menjalankan aktiviti 'kokurikulum' sebegini tidak berdaftar dan dikepalai oleh mudir penganut parti yang menjaja nama Islam.
Oleh itu, pihak berkuasa agama negeri perlu memantau operasi pusat-pusat tahfiz persendirian, wajibkan berdaftar dan menghantar lapuran kewangan secara berkala. Duit zakat dan baitulmal negara kita memang banyak dan boleh disalurkan ke pusat tahfiz yang berdaftar dan diurus dengan baik. Manakala yang engkar perlu ditutup dan disita serta pindahkan penghuninya ke pusat lain.
Sebenarnya sesiapa yang menubuhkan pusat tahfiz mempunyai niat tertentu sama ada ditubuhkan untuk mencari redha Allah atau mencari untung dunia dengan memeras tulang empat kerat setiap penghuninya, termasuk duit kocek waris masing-masing. Jika untung dunia yang dikejar, janji Allah sudah pasti azab neraka menunggu lebih-lebih lagi jika memperkudakan anak-anak yatim piatu.
No comments:
Post a Comment