Tuesday, August 16, 2011

alahai khalid

Alahai Khalid Ibrahim!

Oleh ROSLAN LATIF
PENULIS ialah Presiden Alumni Melayu Amerika Utara (ALMA)

MANUSIA boleh berubah kerana 3K - Kuasa, Kocek dan Kawan. Sejahat-jahat manusia di zaman Rasulullah, Umar Al-Khatab berubah menjadi sebaik-baik insan yang mengorbankan harta-benda dan nyawanya mempertahankan Islam, dijanjikan salah seorang penghuni syurga.

Tak kurang juga semasa awalnya menjadi hero bertukar menjadi 'zero'. Inilah agaknya yang menimpa pemimpin ulung Selangor ketika ini , Abdul Khalid Ibrahim.

Walaupun saya sempat bersama Khalid hanya tujuh bulan ketika peringkat awal penubuhan Permodalan Nasional Berhad (PNB)/Amanah Saham Nasional (ASN) pada tahun 1979, tidak pernah terlintas orang yang disanjung kerana berjaya mengemudi PNB bersama Tan Sri Mohd. Desa Pachi, Datuk Salleh Majid, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Tan Sri Hamad Kama Piah dan beberapa orang lagi di zaman itu, boleh bertukar menjadi penghancur kepada bangsa sendiri.

Sebagai Menteri Besar di sebuah negeri maju seperti Selangor, Khalid tidak perlu bekerja kuat sebaliknya perlu bekerja dengan bijak memperbaiki sedikit sebanyak kekurangan.

Ini kerana Selangor mempunyai asas yang begitu kukuh dibina pemimpin terdahulu seperti Allahyarham Datuk Harun Idris dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, jadi Khalid tidak perlu memerah otak membina infrastruktur dan kemudahan asas.

Berbanding Kelantan yang sudah 20 tahun di bawah Pas di mana rakyatnya kenyang mendengar ceramah pemimpin agung mereka setiap Jumaat, walaupun maksiat dan perceraian makin meningkat, namun lumrah demokrasi, pilihan rakyat Kelantan mesti dihormati kerana mereka memilih jalan ke syurga bersama Nik Aziz.

Begitu juga Pulau Pinang yang telah lama maju di bawah BN tanpa perlu bertungkus-lumus membina asas, namun rakyat Pulau Pinang begitu taat dengan " Omar Ibni Aziz" yang telah berjaya mempengaruhi imam untuk berdoa kepada kesejahteraannya hingga sanggup meninggalkan ketaatan kepada Yang di-Pertuan Agong. Lebih memilukan lagi, atas dasar demokrasi cuba membuat pilihan raya masjid dan yang terakhir melarang bacaan al-Quran mengguna pembesar suara di waktu subuh kerana mengganggu waktu beliau beradu.

Antara beberapa kejayaan Khalid adalah menarik balik tanah tapak kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah yang diperuntukan di zaman Muhd. Taib di mana akhirnya Datuk Ali Rustam, walaupun tidaklah sehebat Khalid yang ada Master dari Queensland tapi punya semangat kental untuk memastikan anak bangsanya yang masih ketinggalan punya tempat untuk meneruskan pelajaran mereka.

Semasa isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri baru-baru ini, Khalid sekali lagi menggunakan kuasanya dengan membelakangi Sultan Selangor dan Ketua Setiausaha Negara dengan sewenang-wenangnya menolak pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi tetapi akhirnya terpaksa akur bahawa kuasa melantik SUK bukan kuasa mutlak MB walaupun mereka cuba membawa ke Dewan Undangan Negeri untuk mengubah Perlembagaan negeri itu sebagai jalan terakhir untuk memenuhi niat busuk mereka.

Khalid dan exco-exco beragama Islam dalam Selangor lupa agaknya kepada Surah Al-Imran ayat 26: Katakanlah wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau cabutkan kerajaan dari tangan orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan pula orang yang Engkau kehendaki. Pada tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkaulah yang maha berkuasa ke atas sesuatu.

Tidak cukup dengan merombak segala sistem yang berjalan baik termasuk menukar pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan beberapa anak syarikat milik kerajaan negeri, Khalid nampaknya sudah mabuk kuasa dengan mempolitikkan perjalanan Unisel, memaksa Naib Canselornya, Datuk Dr. Rosti Saruwono meletak jawatan dan menukarkan tiga Pegawai tertinggi Unisel, Rokmaa Mat, Prof. Dr. Khalifah Othman dan Halid Hasbullah kerana kegagalan mereka untuk patuh dan taat kepada arahan beliau.

Yang paling mengaibkan lagi bila Asrama Yayasan Selangor yang begitu banyak menabur bakti kepada kejayaan anak-anak Selangor diberi notis untuk dirobohkan. Apa sudah jadi Khalid?

Apakah dengan sedikit kuasa yang dikurniakan Allah mengubah seorang yang dulunya dihormati kerana peranannya membina ekuiti kaum bumiputera tapi kerana dendam kesumat ekoran kes mahkamah yang melibatkan hutang beliau dengan sebuah bank tempatan berkaitan saham Guthrie, beliau sanggup menjadi penderhaka kepada bangsa sendiri!

Apa yang lebih mengaibkan lagi tanpa soal siasat, Khalid sebagai seorang Islam sanggup menggadaikan maruah bersabit isu melibatkan 12 orang Islam yang mengikuti program berbuka puasa di sebuah gereja di Damansara, di mana bagi pemimpin Islam dalam pakatan pembangkang, menjaga hati rakan kongsi lebih utama daripada mempertahankan kesucian agama Islam.

Soalnya di sini siapakah sebenarnya di belakang Khalid? Apakah Khalid hanya menjadi kuda tunggangan sahabatnya dalam DAP dan di mana pula pejuang-pejuang Islam PKR dan Pas yang sunyi-sepi dalam semua isu termasuk penjualan arak, rumah urut dan berpuluh isu lain yang menggugat kepentingan Melayu dan Islam di Selangor.

Di mana janji sebelum pilihan raya kononnya selepas naik matahari hari pertama mereka memerintah, akan menghapuskan segala tempat judi, arak dan pusat hiburan . Sebaliknya apa yang berlaku mereka bersekongkol menambahkan pusat maksiat di Selangor tanpa berani menegur segala kemungkaran yang berlaku.

Anehnya rakyat Selangor terutama pengundi Melayu nampaknya merestui apa yang dilakukan oleh pemimpin kesayangan mereka, Khalid malah menyokong penuh apa sahaja yang dilakukan termasuk menghalalkan wakil rakyat Serdang masuk ke masjid memberi tazkirah semasa sembahyang tarawih dan sanggup melakukan senamrobik di dalam kawasan surau walaupun ramai antara lebai-lebai ini yang bertanda hitam di dahi mereka.

Ingatlah kepada peringatan Allah di dalam Surah Al Imran ayat 118: Wahai orang-orang yang beriman , janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang yang di luar kalanganmu kerana mereka tidak henti-hentinya menimbulkan kemudaratan kepadamu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat Kami, jika kamu memahaminya.

Apa yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang bukan sahaja menggugat kepentingan dan maruah orang Melayu malah ia mencabar kesucian agama Islam yang wajib kita sebagai orang Islam pertahankan. Tunjuk perasaan tidak menyelesaikan masalah malah kerap menimbulkan masalah yang lebih besar.

Apa yang kita perlu lakukan ialah bersama-sama memastikan kuasa yang terlepas kepada golongan gelojoh ini dikembalikan semula kepada mereka yang telah terbukti menjadi payung kepada rakyat. Kerakusan dan kegelojohan ini perlu segera dihentikan agar kerosakan yang lebih besar tidak menimpa nasib bangsa dan agama yang kita cintai.

Ingatlah kepada sepotong hadis Rasulullah: Bila sesuatu urusan itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kehancurannya (Riwayat Muslim). Jadi sebelum sampai ke peringkat kehancuran, sama-samalah kita bersatu menolak pemimpin yang rakus ini.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment