Tuesday, August 16, 2011

pas mahu siasat

Pas minta selesaikan segera siasatan

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu menyelesaikan siasatan berhubung kes pemeriksaan di sebuah gereja baru-baru ini secepat mungkin supaya kontroversi yang melanda isu tersebut dapat segera ditamatkan.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, berdasarkan maklumat terkini kes berkenaan hanya akan selesai selepas perayaan Aidilfitri dan tempoh itu adalah agak lama.

Katanya, jika kes tersebut gagal diselesaikan dalam tempoh yang terdekat ini, dikhuatiri ia akan dimanipulasi dan akhirnya boleh menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

''Ini yang kita mahu JAIS lakukan. Pendirian kita dalam kes ini cukup jelas iaitu jika JAIS mendapati wujud kesalahan yang dilakukan oleh pihak tertentu JAIS perlu mendakwa mereka dengan segera berdasarkan enakmen kerajaan negeri,'' katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Pas, di sini hari ini.

Beliau ditanya pendirian sebenar Pas dalam isu itu sama ada parti tersebut sokong tindakan JAIS atau sebaliknya.

Setakat ini, hanya Dewan Pemuda Pas Pusat yang menyokong penuh tindakan JAIS memeriksa Gereja Methodist Damansara Utama selepas mendapat maklumat terdapat cubaan memurtadkan 12 individu Islam.

Menjawab satu soalan Mahfuz berkata, Pas menyatakan komitmen sekali lagi untuk bertemu dengan JAIS bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu tersebut.

''Kami sedia menunggu sehingga JAIS bersedia untuk bertemu dengan kita. Dengan pihak gereja kita telah pun tetapkan tarikh untuk bertemu mereka,'' katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri telah menasihatkan JAIS agar tidak mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak termasuk Pas berhubung isu tersebut.

''Memang kita minta bertemu dengan JAIS hari ini, tetapi berdasarkan jawapan yang diberikan JAIS secara bertulis, ia terpaksa ditangguhkan atas beberapa perkara kerana masih dalam siasatan," katanya.

No comments:

Post a Comment