Friday, August 19, 2011

psywar pembangkang

Bila ekor bergelumang tahi...

Oleh ZULKIFLI JALIL dan NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my


Tengku Adnan Tengku Mansor

PORTAL umno-online dikatakan kian popular dengan hit terkini melebihi tiga juta pengunjung. Rating ini mungkin disebabkan berita yang dibawanya seimbang dan tidak memihak kepada sebelah pihak. Portal itu menceritakan semua isu semasa selain mengetengahkan program dan aktiviti UMNO dan kerajaan.

Dan baru-baru ini ketika seorang pemimpin popular Pas meninggal dunia, ucapan takziah turut dimuatkan dalam umno-online.

Tetapi nada sebaliknya di sebelah sana. Saban hari kerja Harakah, Rocket dan Suara Keadilan disertai portal-portal pro pembangkangnya 'membelasah' dan 'membantai' kerajaan. Tidak ada satu pun yang elok dan 'kena' pada mata mereka. Gejala itu berleluasa di kala ada antaranya tidak berlesen pun untuk menjual akhbar-akhbar terbitan mereka. Bayangkan kalau sudah ada permit, lagilah 'mengamuk sakan' mereka.

Sentimen terhadap negatifnya parti-parti pembangkang ke atas apa sahaja dilakukan kerajaan untuk kebaikan rakyat amat dirasai Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Barangkali kerajaan kita sekarang ini baik dan tidak ambil tindakan terhadap mereka. Tetapi mereka ini sudah naik tocang, cuma jangan nanti jadi ayam jantan tetapi ekor bergelumang tahi.

Tengku Adnan ada ketikanya 'kaget' dengan psywar (perang saraf) yang dicetuskan pihak pembangkang. Selaku Ahli Parlimen Putrajaya, beliau sendiri tidak terkecuali menerima 'tempiasnya'. Ketika beliau sibuk melakukan amal jariah pada bulan Ramadan ini dengan mengagih-agihkan nasi bungkus berlaukkan gulai daging kawah dengan berulamkan sayur, sambal belacan dan buah tamar kepada 450 pintu rumah dalam sehari di Pusat Pentadbiran Persekutuan, masih tetap ada manusia yang tidak senang dengan ketelusannya.

"Sekarang pun ada yang condemn tulis di fb (facebook) yang kononnya tindakan saya ini menutup rezeki pengusaha foodcourt (medan selera) di Presint 8. Tapi bila ada program semacam ini, ia sebenarnya menghidupkan semula foodcourt ini.

"Kerana ini merupakan foodcourt pertama di Putrajaya, dengan program (amal jariah) ini, pengunjung akan datang ke sini semula dan membawa bersama rakan-rakan mereka yang lain," kata beliau merujuk kepada situasi 'gajah putih' yang sedang melanda medan selera Presint 8. Di tingkat satunya sudah kosong sementara bahagian bawahnya pula cuma kelihatan kelibat tujuh peniaga.

Itu skop psywar yang dicetuskan pembangkang di Putrajaya. Tetapi Tengku Adnan mahu mengajak rakyat melihat skop yang lebih luas.

Dalam pemeriksaan atau dikatakan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor ke Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), beliau sendiri tidak faham mengapa Pas menuduh UMNO menjadi dalang di sebalik serbuan JAIS.

"Kita hendak tahu atas dasar apa mereka tuduh UMNO. Setiausaha Agung Pas (Mustafa Ali) menuduh perkara itu didalangi oleh UMNO kerana mahu menjatuhkan imej Pas dan hendak melagakan Pas di Selangor, apa dia ingat UMNO ini tidak ada kerja lainkah.

"Salah satu sebab tertubuhnya UMNO adalah kerana mahu mempertahankan Islam, kita tidak mahu pandangan akidah umat Islam dipesongkan. Sekarang ini pun kita tengok banyak yang menular.

"Barangkali mereka fikir kerajaan yang ada sekarang ini terlalu terbuka, kerajaan ini tidak mendengar dan tidak mengambil tindakan yang tegas, jadi mereka mulakan dengan pelbagai kerenah. Tapi dalam keadaan seperti ini pula janganlah kita mengambil kesempatan untuk memesongkan lagi akidah umat Islam," kata beliau.

Kata Ahli Parlimen Putrajaya itu lagi: "Okey kalau mengaji tidak boleh kuat tetapi kita boleh berbincang kerana dahulu tidak ada teknologi mikrofon, sekarang ini internet ada. Malah rakam Quran dalam kaset, vcd, dalam notebook dalam thumbdrive nak simpan sebaik mungkin dan jaga kesuciannya kerana dahulu orang hafaz Quran sahaja sehingga tidak pernah dibukukan dan sehinggalah selepas banyak penghafaz al-Quran meninggal dunia, barulah dibukukan mengikut kaedahnya, takkanlah kita tidak boleh menggunakan teknologi yang ada ini."

Apa yang dilihat oleh beliau saat ini ialah cubaan pembangkanfg untuk mengambil kesempatan dalam kes berkenaan (isu tidak boleh mengaji terlalu kuat guna mikrofon) untuk kepentingan politik.

Atas faktor itu jugalah, kata beliau, jika dibiarkan 'Bersih' melakukan demonstrasi jalanan, risiko atas apa yang berlaku di Britain tempoh hari mungkin tinggi.

"Jika berlaku di sini mungkin lebih dahsyat lagi, kalaulah ditakdirkan berlakunya kejadian Orang Melayu bakar rumah Cina atau orang Cina bakar rumah orang Melayu, perkara lebih dahsyat akan berlaku dan semua ini kita perlu cegah.

"Jadi, kerajaan yang ada sekarang mahukan ketenteraman rakyat yang ada kini tidak digugat, itu yang penting," kata beliau.

Tengku Adnan melihat pembangkang hanya pandai spin dan cuba menutup pekung di dada. Namun beliau berkeyakinan rakyat sedar mereka ini 'lebih sudu dari kuah'.

"Dalam isu pemeriksaan oleh JAIS ke atas DUMC, saya kesiankan Datuk Hasan Ali, Hasan cakap lain, datang Pemudanya (Pas) cakap lain, datang pula (Menteri Besar) Khalid (Ibrahim) cakap lain, mereka ini sudah seteru kerana mereka telah menjadi topeng kepada pihak tertentu. Sedangkan kita BN adalah barisan yang jelas konsensus bahawa apa yang kita putuskan mesti bersama dan akan kita ikut," katanya.

Atas sebab inilah, Tengku Adnan memberitahu, Ibu Pejabat parti telah meminta semua bahagian UMNO di seluruh negara menganjurkan program amal sepanjang Ramadan in dengan tumpuan kepada program keagamaan.

Ini jelas terkandung dalam fasal 3 Perlembagaan UMNO yang menjelaskan bahawa Islam adalah agama yang disanjung dan perlu ditegakkan. "Kita perlu dekatkan diri dengan masyarakat serta mengimarahkan surau dan masjid," kata beliau.

Difahamkan, dalam usaha UMNO untuk menjelaskan isu-isu semasa yang sering diputar-belitkan pembangkang, parti itu dikatakan akan meneruskan program Majlis Penerangan Perdana (MPP) yang terbukti berkesan ketika penganjuran kali pertama pada 10 Julai lepas, sehari selepas perhimpunan haram oleh 'Bersih'.

Program MPP itu nanti dijadual berlangsung dua minggu selepas Hari Raya Puasa sehinggalah ke Oktober. Demikian juga dengan Program Juara Rakyat yang akan diteruskan setelah 'cuti rehat' sempena Ramadan.

No comments:

Post a Comment