Sunday, September 5, 2010

Sejarah

Mengambil iktibar dari sejarah lampau

Oleh MAZLAN NORDIN
ADA kalanya catatan masa lampau perlu diteliti kembali bagi menjelaskan hal-hal yang berlaku lama kemudiannya, apatah lagi, umpamanya, bila menyentuh sesuatu seperti yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Antaranya adalah buku berjudul No Cowardly Past mengenai James Puthucheary, seorang peguam yang ditahan bersama Allahyarham A. Samad Ismail oleh pemerintah British. Semasa tahanan itu Samad menyelamatkan nyawa beliau daripada ancaman pihak lain. Buku diedit oleh Dominic Putucheary dan Sarjana Jomo KS.

James begitu aktif dalam pelbagai pembicaraan mengenai syarikat-syarikat milik asing di Malaysia yang boleh disusun semula untuk memulihkan ekonomi dan membantu orang-orang Melayu. Antara lain disebut:

"Beliau berhujah bahawa semasa merdeka pada tahun 1957, 85 peratus pendapatan eksport Malaysia adalah getah dan kira-kira 70 peratus keuntungan pergi ke tangan pihak-pihak asing, terutama syarikat-syarikat British.

Syarikat-syarikat agensi Eropah memiliki 70 peratus dagangan asing, 75 peratus ladang-ladang, 1.6 juta akan tanah dan 60 peratus ekonomi negara.

Menjelang 1970, keadaan milik asing itu tidak berubah. Lalu beliau menganjurkan supaya disusun semula ekonomi dalam bidang tersebut untuk orang-orang Melayu."

Tindakan memperteguh ekonomi Melayu dianggap sebagai cara terpenting untuk menghapuskan perselisihan antara kaum dan keadaan politik yang tidak stabil.

Pada 25 Jun 1971, sepuluh bulan selepas menjadi Perdana Menteri dan hampir dua tahun selepas peristiwa 13 Mei, Tun Razak melancarkan DEB.

Juga wajar diteliti adalah perbincangan anjuran Universiti Malaya pada pertengahan Mei 2002 yang melibatkan cerdik - pandai daripada pelbagai jurusan pengajian.

Dalam salah satu sidang disebut: "Perubahan sosial paling besar di Malaysia berlaku selepas peristiwa 13 Mei 1969". Perubahan berlaku manakala kerajaan bertindak untuk mewujudkan integrasi nasional.

Dalam satu sesi lain dicatat: "Manakala kerajaan melancarkan DEB (1971- 1990), matlamat utama rancangan 20 tahun itu ialah untuk mencapai perpaduan nasional dengan menghapuskan kemiskinan tanpa mengira bangsa dan menyusun semula masyarakat untuk mewujudkan persamaan taraf ekonomi antara orang-orang Melayu dan kaum bukan bumiputera, terutama kaum Cina".

Mendapat perhatian ialah kenyataan mengenai kejayaan penyusunan semula masyarakat 1990-2000. Milik ekuiti dalam sektor korporat iaitu:

Dalam sesi mengenai masa depan dicatat: "Kesemua rakyat Malaysia, khususnya Bumiputera telah menikmati hasil-hasil pembangunan. Bilangan kemiskinan telah dikurangkan 7.5 peratus pada tahun 1999 dan 351,100 keluarga tidak bagi berada pada peringkat kemiskinan".

Dilaporkan pada 29 Oktober 2008 pula adalah kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak setuju dengan cadangan pihak MCA supaya syarat ekuiti bumiputera berjumlah 30 peratus dihapuskan.

Matlamat

Ini bukan masanya berbuat demikian kerana matlamat ekuiti itu belum lagi dicapai, tegasnya. "Kalau kita telah mencapai ekuiti 30 peratus untuk bumiputera, 40 peratus untuk bukan bumiputera dan 30 peratus untuk pihak-pihak asing, maka bolehlah kita hapuskan syarat itu. Kita belum mencapai matlamat itu. Masih banyak yang perlu dilaksanakan."

Dalam membincangkan pelbagai aspek ekonomi pentingnya pendidikan dan pelajaran anak-anak Melayu ditegaskan, lalu dicatat nasihat Confucius, ahli falsafah Cina.

Pendapat James Puthucheary, antara yang mencetus transformasi ekonomi Melayu disebut dalam terbitan Off The Edge yang juga menyiarkan kenyataan seorang penulis bukan Melayu bahawa bilangan penduduk Cina di Malaysia telah menurun hingga 23 peratus.

Perbincangan berterusan mengenai DEB berikutan pilihan raya 2008 yang membawa perubahan sikap bagi sesetengah pihak hingga kontrak sosial menjadi isu. Malah menurut laporan lain ada pula pihak mahu mengadakan perlembagaan baru!

Namun, kita pun tahu apa jadi pada cita-cita pihak lain mula mengadakan negara republik sosialis di Malaya pada masa dahulu.

No comments:

Post a Comment