Monday, September 6, 2010

Pas


Bukan perkara baru - Zainuddin

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

Zainuddin Maidin menunjukkan gambar beliau ketika menemubual Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1969 pada sidang akhbar di kediamannya di Presint 10, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 5 Sept. - Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menegaskan, kenyataannya bahawa pemimpin Pas telah meminta Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman merampas harta orang Cina selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei, 1969, bukan sesuatu yang baru.

Jelasnya, kenyataan Tunku itu telah pun tersiar dalam akhbar Utusan dan Di Sebalik Jendela Utusan Melayu yang diterbitkan bersempena Utusan Melayu 50 tahun pada Mei 1989 serta telah diulangi di dalam beberapa tulisannya sebelum ini.

Ketika itu, Zainuddin merupakan wartawan di akhbar berkenaan.

"Ini bukanlah suatu kenyataan baru tetapi telah diberitahu oleh Tunku dalam pertemuan eksklusif saya dan Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu, Osman Abadi, dengannya lebih 40 tahun dahulu," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Presint 10 di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan polis Pas berhubung kenyataan itu yang dibuat oleh Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad di Balai Polis Chow Kit, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Laporan sama turut dibuat oleh Pemuda Pas di Ipoh dan Johor.

Beliau membuat kenyataan itu dalam temuramah bertajuk 'Zam Dedah Hasutan Jahat Pas' dalam umno-online dan kemudiannya disiar di akhbar Utusan Malaysia pada Isnin lalu dengan tajuk 'Pas parti ekstrem'.

Zainuddin berkata, beliau masih mengingati kenyataan yang dikeluarkan oleh Tunku mengenai perkara itu.

"Apabila kami masuk menemui Tunku di pejabatnya di Jalan Dato Onn beberapa bulan selepas kejadian 13 Mei, Tunku memberitahu bahawa seorang pemimpin Pas baru sahaja keluar menemuinya dan dia telah menyatakan kepada Tunku inilah masanya untuk tentera merampas kuasa dan mengambil alih semua harta benda orang Cina.

"Saya telah bertanya kepada Tunku apa kata Tunku dan jawab Tunku, gilakah orang susah payah mencari harta tiba-tiba kita hendak rampas dan lagi pun orang Melayu bukan tahu berniaga," katanya.

Beliau menambah, disebabkan kewarasan Tunku itulah yang mengekalkan proses pembentukan sosial negara kini berasaskan 'Doktrin Hidup Bersama' Perikatan untuk memecahkan falsafah politik Pas.

Ekoran itu, beliau berkata, Pas sekarang menjadi lebih realistik, rasional dan beradab sehingga boleh berkawan dengan orang bukan Islam dan orang Cina.

"Pas telah berhenti mengkafirkan orang Islam dan menuduh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melihat gambar lucah bersama keluarga setelah kafir, gila, dan barua setelah mereka melihat sendiri perbuatan mereka itu didedahkan di kaca televisyen.

"Dalam hal ini Barisan Nasional (BN) boleh mendakwa ia telah memperbaiki akhlak orang Pas dan menukarkan sikap serta pendekatan politik Pas," katanya.

Beliau berkata, sama ada mahu diakui oleh parti itu atau tidak, ia tidak menjadi persoalan.

''Tetapi penting bagi masa depan negara, sosialisasi Pas dengan iklim dan tamadun negara yang merupakan suatu perkembangan sihat ke arah kematangan dan pendemokrasian negara,'' katanya.

Beliau memberitahu, apa yang dikecapi negara sekarang merupakan suara doktrin yang UMNO, MCA, dan MIC menjadi juruteranya sejak sebelum dan sesudah merdeka yang tidak disedari atau tidak mahu diakui Pas.

Dalam pada itu, katanya, Pas tidak sedar bahawa parti itu dilihat rakyat sebagai rusa masuk kampung dan pelampau kanan.

''Pas lupa akan kutukan mereka terhadap wanita Islam tidak menutup aurat tetapi merelakan wanita bukan Islam yang tidak menutup aurat masuk ke masjid dan surau,'' katanya.

Tambah beliau, Pas cepat melupakan prinsipnya pada masa lalu kerana berubah dari semasa ke semasa serta tidak berasaskan kepada inspirasi rakyat dan iklim negara.

Sebaliknya, kata Zainuddin, parti itu sering mengambil inspirasi politik dari luar bermula dengan semangat Nusantara Indonesia, Revolusi Iran dan sekarang Malaysian Malaysia.

No comments:

Post a Comment