Wednesday, September 29, 2010

Rakyat

1,000 sertai ladang rakyat

KUANTAN 28 Sept. – Kerajaan negeri yakin matlamat sifar miskin tegar menjelang akhir tahun ini berjaya dicapai apabila hampir 1,000 penduduk negeri ini yang tergolong dalam kategori itu berjaya dikeluarkan daripada kelompok tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata, penduduk terbabit berjaya dikeluarkan daripada kategori itu apabila mereka menyertai ladang rakyat dengan pendapatan lebih RM500 sebulan.

‘‘Kerajaan negeri sentiasa berusaha meningkatkan pendapatan isi rumah dalam usaha mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

‘‘Oleh itu, pada bulan lalu, kerajaan telah memasukkan nama mereka yang berada dalam kategori miskin tegar untuk menyertai projek ladang rakyat dan memperoleh saham masing-masing.

‘‘Dari segi ilmiah, Pahang telah selesai dan berjaya mencapai sifar bagi kategori miskin tegar,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-37 Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) di Hotel MS Garden di sini semalam.

Menurut Tan Mohd. Aminuddin, kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan kepada golongan tersebut terutama peserta Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk menyertai tanaman berkelompok, ladang kontrak dan ladang rakyat.

‘‘Semua usaha tersebut dilakukan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Pasfa, RISDA, Felcra dan Felda supaya mereka memperoleh saham bagi menambah pendapatan mereka.

‘‘Pendapatan bagi kategori miskin tegar di luar bandar adalah sebanyak RM411, maka melalui saham tersebut, mereka mendapat lebih daripada itu dan tidak lagi berada dalam kategori miskin tegar,” jelasnya.

Sehingga kini tambahnya, terdapat kira-kira 1,000 penduduk yang berada dalam kategori miskin.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ada nama penduduk miskin tegar yang tercicir daripada menerima bantuan kerajaan.

‘‘Justeru, ketua kampung digesa peka terhadap perkara tersebut dan sentiasa mengemas kini bilangan penduduk bagi setiap kategori,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment