Sunday, September 19, 2010

Mahathir Mantan PM Malaysia

ARKIB : 17/09/2010

Mahathir permata yang bersinar

Di hari kita menyambut Hari Malaysia tanggal 16 September, terkejut saya apabila membaca satu artikel yang disiarkan di dalam ruangan Akhbar Cina yang diterjemahkan oleh Utusan Malaysia.

Artikel ini sememangnya menjurus kepada penghinaan kepada seorang mantan Perdana Menteri yang telah memimpin negara kita selama 22 tahun.

Seorang pemimpin yang telah membawa kemajuan kepada Malaysia dan selama beliau memimpin kita, sudah banyak perubahan dan sudah terbukti cemerlang Malaysia di mata dunia.

Saya nak ingatkan kepada penulis (Meng Lun Yong), ramai lagi pemimpin yang seusia Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bergiat aktif dalam memberi nasihat kepada negara mereka. Saya percaya permata ini bukanlah seorang nyanyuk seperti yang digambarkan oleh kamu.

Sememangnya kamu seorang yang mentah lagi budak sekiranya nak dibandingkan dengan apa yang telah dilakukan dan dicurahkan oleh seorang negarawan iaitu Dr. Mahathir. Kamu sememangnya tidak layak untuk mengkritik seorang negarawan kerana kamu sendiri agak hodoh dan dungu apabila menulis tentang konsep 1Malaysia, dan bahasa kasarnya, "Kamu seorang yang kurang ajar".

Dr. Mahathir merupakan mutiara dunia yang mana sehingga hari ini dunia menagih pendapat dan pandangan beliau, bukan hanya di Malaysia tetapi dunia mengiktiraf beliau.

Dr. Mahathir memang ahli UMNO dan apabila beliau berkata begitu, sememangnya kita mempunyai agenda UMNO yang memastikan orang Melayu tidak dipinggirkan, seperti juga MCA dan MIC, mempunyai agenda kaum masing-masing untuk diperjuangkan. Melalui BN kita merungkai persamaan dan bersama kita memacu negara ini mengikut acuan kita sendiri tanpa menindas kaum yang lain.

Saya percaya kamu seorang yang penakut untuk menerima hakikat yang Malaysia ini sebuah negara yang mempunyai Rukun Negara dan mempunyai Perlembagaan yang mesti diikut dan dipatuhi.

Apabila kita faham dan sedar serta terima rukun dan perlembagaan Malaysia, saya percaya kamu akan sedar dan insaf yang bumi dipijak ini adalah untuk dikongsi bersama-sama kaum lain tetapi kena sedar yang kaum Melayu adalah pribumi Malaysia.

Kek ekonomi yang hari ini dimonopoli oleh orang Cina membuktikan yang kaum ini diberi layanan yang teristimewa dibandingkan dengan kaum lain. Kaum Cina mendapat keistimewaan melalui pembangunan tanah-tanah kerajaan melalui syarikat gergasi mereka, berniaga di sektor swasta. Ini semua keistimewaan yang kita beri kepada orang Cina agar bangsa mereka tidak dipinggir di dalam Malaysia.

Sekiranya kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) mahu meminggirkan bangsa tertentu sudah tentu orang Melayu sudah lebih maju dibandingkan dengan orang Cina melalui pemberian kontrak dan tanah-tanah kepada hanya syarikat Melayu. Sekiranya Dr. Mahathir seorang rasis semasa mentadbir, sudah tentu orang Melayu memonopoli ekonomi negara.

Sememangnya kita khuatir dengan situasi apabila ramai rakyat yang menggunakan konsep 1Malaysia untuk menagih hak sama rata. Saya nak ingatkan kepada penulis sekali lagi, kenapa ada pihak yang tidak mahu menghapuskan sekolah jenis kebangsaan? Kenapa kita tidak mahu menerima konsep sekolah kebangsaan yang menghimpunkan semua kaum di bawah satu bumbung?

Hak keadilan yang diberikan adalah perjanjian di antara pemimpin terdahulu untuk memberikan kelebihan kepada penduduk pribumi bagi mengimbangi pembangunan negara. Ini semua telah dimeterai semasa Tanah Melayu menuntut kemerdekaan dan memberikan peruntukan satu juta kewarganegaraan kepada kaum bukan pribumi.

Di Malaysia, kepada sesiapa yang belajar pandai dan bekerja rajin, sudah pastinya golongan ini akan dapat imbuhan daripada apa yang diusahakan oleh mereka.

Berkat daripada kepimpinan Perdana Menteri-Perdana Menteri yang lepas, semua rakyat di Malaysia hidup aman dan damai. Sudah tentu Malaysia akan lebih cepat maju sekiranya kita tidak mempunyai rakyat yang berpandangan seperti Meng Lun Yong. Beliau seorang yang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih kepada pemimpin yang lepas.

Adalah amat bahaya beliau menggunakan pena penulisan untuk mengajar rakyat tidak berterima kasih terhadap apa yang diusahakan oleh pemimpin terdahulu.

Mohd. Razlan Muhammad Rafii

Puchong, Selangor

No comments:

Post a Comment