Tuesday, December 14, 2010

WikiLeaks

WikiLeaks, semakin sukar menyimpan rahsia

Oleh Zulkefli Hamzah

PADA zaman Internet ini, sangat sukar untuk merahsiakan sesuatu maklumat. Apa yang diklasifikasikan sulit dan rahsia, boleh menjadi pengetahuan umum dan mudah tersebar ke pelosok dunia dalam sekelip mata.

Cuba bayangkan seorang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi didedahkan sering berdampingan dengan jururawat seksi dari Ukraine. Presiden Turkmenistan pula dianggap tidak terlalu cerdik dan pembohong terlatih.

Jika ini sekadar gosip, ia boleh difahami. Tetapi ini ialah dokumen rasmi. Ia maklumat yang dipintas daripada kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS) oleh laman web antarabangsa, WikiLeaks.

Memang benarlah tiada lagi rahsia dalam dunia Internet ini. Tinggal lagi kita harus tahu cara untuk memperolehinya. Maklumat tersimpan rapi dan diklasifikasikan sulit mudah untuk bocor tanpa perlu bersusah payah melakukan pencerobohan secara fizikal.

Segala data yang memasuki jaringan, sekebal manapun tembok yang dibina, berisiko untuk dipintas dan digodam bagi tujuan tertentu.

Jika tidak pun memasuki jaringan, maklumat sulit itu boleh disalin secara pantas melalui penyimpan data mudah alih oleh orang dalam. Untuk mendedahkannya kepada umum tidak lagi sukar kerana Internet menyediakan tempat tanpa had.

Aksi kebocoran rahsia yang sebelum ini selalu kita saksikan dalam filem, kini telah menghantui banyak negara, konglomerat mahupun tokoh-tokoh antarabangsa. Semakin tinggi teknologi, semakin kurang rahsia yang manusia akan miliki.

Atas nama kebebasan media dan hak mendapatkan maklumat, pembocoran rahsia kerajaan dan syarikat oleh WikiLeaks disifatkan bukan lagi perlakuan jenayah. Malah ia dijunjung kerana dianggap bentuk ketelusan untuk menegakkan demokrasi.

Perjuangan Wikileaks - menyiarkan fakta-fakta yang perlu diketahui umum tanpa rasa takut - dianggap suci. Setakat ini, Wikileaks sudah menelanjangi pentadbiran banyak negara dengan membocorkan lebih 1.2 juta kabel diplomatik. Hebat kerana maklumat daripada WikiLeaks mendapat perhatian akhbar-akhbar utama dunia termasuk The New York Times (AS), The Guardian (Britain), El Pais (Sepanyol) dan Der Spiegel (Jerman).

Melalui WikiLeaks, hal yang selama ini menjadi gosip dan sekadar teori konspirasi dapat disahkan benar. Konspirasi perang Iraq dan Afghanistan yang didedahkan umpamanya telah mencetuskan hubungan yang tidak harmoni dan perbalahan.

Bagi mereka yang selama ini suka bercakap soal ketelusan, WikiLeaks adalah perangkap untuk mereka. Di AS sendiri tiada yang namanya kebebasan. Jika ada yang masih berfikir AS itu menjunjung tinggi kekebasan media dan mendapatkan maklumat serta hak asasi individu, respons terhadap WikiLeaks ini memberikan jawapannya.

Pentadbiran AS dilaporkan telah mengeluarkan amaran memecat kakitangan yang membaca dokumen rahsia kabel diplomatik itu. Kakitangan White House yang tidak mempunyai autoriti juga dilarang membaca dokumen rahsia WikiLeaks sama ada di pejabat atau melalui komputer peribadi mereka.

Pelajar yang didapati membaca, memasang pautan atau sekadar memberi komen di laman sosial, diingatkan bahawa mereka berisiko untuk tidak diterima bekerja sebagai pegawai kerajaan. Begitu sekali huru-hara yang dicetuskan oleh WikiLeaks yang beroperasi atas sumbangan umum ini.

Penangkapan pengasas WikiLeaks, Julian Assange di London pada 7 Disember lalu juga telah mencetuskan bantahan meluas. Bekas pengodam warga negara Australia ini rupa-rupanya telah mempunyai ramai pendukung dan peminat. Tahun lalu, dia mendapat anugerah media daripada Amnesty International selain beberapa anugerah antarabangsa lain terhadap inisiatifnya.

Walaupun banyak halangan, laman web berurusan perkara rahsia ini dikatakan mampu bertahan lama. Sekarang ini ia mempunyai beberapa alamat di Internet dan lebih 500 laman web menawarkan salinan muatan WikiLeaks.

Penyokong WikiLeaks di Facebook meningkat daripada 500.000 kepada lebih 960.000 pengguna hanya dalam waktu tiga hari sejak Jumaat lalu. Penangkapan Assange yang bakal diekstradisi ke Sweden atas tuduhan seksual itu, tidak akan menutup ‘mulut tempayan‘ WikiLeaks yang mendakwa memiliki beribu-ribu lagi dokumen rahsia AS.

Wikileaks yang servernya dikatakan berada di sebuah bunker di Sweden seperti kebal. Banyak tindakan mahkamah di beberapa negara tidak memberi kesan terhadap ‘perjuangan suci’ mendedahkan kebenaran itu.

WikiLeaks yang beroperasi sejak 2006, yang menyimpan dan memintas data-data rahsia diplomatik AS itu telah memeningkan banyak negara terutama AS, yang kerjanya memang suka mencatur urusan dunia.

Sebenarnya belum ada pendedahan yang luar biasa dan tidak terduga dilakukan oleh WikiLeaks setakat ini. Bagi mereka yang biasa dengan kehidupan seorang diplomatik, membuat analisis adalah antara tugas mereka. Cuma yang agak memeranjatkan bahasa-bahasa yang digunakan oleh para diplomat AS itu.

Jika diamati dokumen yang didedahkan oleh WikiLeaks sama ada melibatkan perang Iraq dan Afghanistan serta hubungan diplomatik dengan negara lain, ia hanya mengesahkan sahaja perilaku mereka selama ini.

Lingkungan diplomatik dan pemerhati politik tahu begitulah sikap pentadbiran AS yang suka mengenakan tekanan, bahkan sering bersikap angkuh dan ala Rambo itu. Mungkin bagus juga terutama untuk negara-negara lemah mempelajari strategi diplomatik AS ini.Tetapi benarkah apa yang dilakukan oleh WikiLeaks ini demi perjuangan menegakkan demokrasi? Mungkin sahaja ada pihak di AS sengaja membocorkan kabel-kabel komunikasi diplomatik itu untuk tujuan politik mahupun ekonomi. Bagaimana jika ada dokumen itu sengaja dipalsukan atau diubahsuai? Mungkin itu juga satu rahsia yang akan terdedah nanti.

Bagi kebanyakan orang, berurusan dengan perkara rahsia begitu menyeronokkan. WikiLeaks sudah ada saingan apabila bekas kakitangan Assange yang juga mendakwa memiliki beribu-ribu dokumen rahsia, bercadang untuk membuka OpenLeaks.

Internet telah menyediakan ruang untuk itu. Dan Internet sememangnya dilahirkan untuk manusia bebas meluahkan pendapat. Kini dunia terutama AS perlu menghadapinya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment