Wednesday, December 8, 2010

Demo

Demo Khalid bermotif apa?

NAMPAKNYA demonstrasi terus menjadi budaya terutama kepada parti pembangkang untuk menyuarakan protes atau gagal menyelesaikan masalah atau cara untuk menutup kelemahan. Tiada lagi amalan musyawarah.

Ahad lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengetuai demonstrasi menyerahkan memorandum mengenai kenaikan tarif air kepada Yang di-Pertuan Agong.

Rakyat Selangor dikerah menyertainya. Kononnya ia dibuat secara aman. Namun, gelagat mereka telah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang sungguh teruk. Rakyat ternyata marah dengan tindakan berbau politik itu.

Sebenarnya demonstrasi ini tidak wajar. Pertama, ia lebih bersifat peribadi. Khalid cuba mengheret rakyat Selangor menyokongnya ke kancah masalah peribadinya dengan Syabas. Kedua, mengapa Khalid membelakangkan Sultan Selangor dengan mengheret Yang di-Pertuan Agong untuk menyelesaikan masalah air di Selangor? Ketiga, Khalid mengambil kesempatan ini untuk menimbulkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap kerajaan pusat.

Negeri lain juga menghadapi masalah air. Kalau hendak dikirakan rakyat Kelantan patut lebih marah kerana kerajaan Pas Kelantan menjanjikan 17 tahun lagi masalah air baru dapat diselesaikan. Begitu juga kerajaan Pas Kedah turut menaikkan tarif air secara mengejut. Rakyat Kedah juga marah.

Tetapi mereka tidaklah sampai turun ke jalan raya menuju ke istana negeri atau Istana Negara memprotes. Waima ke pejabat menteri besar pun rakyat Kelantan dan Kedah tidak berdemonstrasi. Nampaknya mereka lebih beradab menyatakan kemarahan.

Sebaliknya apa yang dilakukan oleh kerajaan PKR Selangor sungguh aneh. Apakah tidak ada jalan lain selain berdemonstrasi?

Sebenarnya, tindakan Menteri Besar mengheret rakyat Selangor ke Istana Negara adalah semata-mata untuk menutup kelemahannya setelah gagal mengurus dengan baik bekalan air di Selangor.

Jika Khalid seorang profesional beliau tidak perlu pun mengambil jalan singkat seperti berdemonstrasi ke Istana Negara. Terlalu kebudak-budakan. Tak mungkin beliau tidak boleh berfikir lagi untuk mengatasi masalah kenaikan tarif air ini.

Sebab itu kita lihat demonstrasi ini ada muslihat politik dan bukan sangat untuk membela rakyat. Rakyat hanya diperalatkan. Bayangkan di mana letaknya maruah menteri besar mengepalai demonstrasi haram kerana khabarnya tiada permit.

Dalam soal mengurus air ini ada baiknya Khalid belajar dan minta nasihat daripada menteri besar dan ketua menteri negeri-negeri lain. Inilah pertama kali dalam sejarah Malaysia sebuah negeri berdemontrasi kerana air di Istana Negara. Memalukan.

M. HANAFIAH A. SAMAD

Muar, Johor

No comments:

Post a Comment