Friday, December 10, 2010

Semarak

Semarakkan maruah bangsa dan agama

Oleh DR. SAODAH BINTI RAHMAN
UMAT Islam dalam era ini sepatutnya memahami kewibawaan dan maruah umat Islam semakin hari kian meruncing. Bertambahnya bilangan penagih dadah dan pelbagai kegiatan yang boleh meruntuhkan moral umat Islam sepatutnya dijadikan isu penting dalam mempertahankan maruah umat, terutama dalam arena politik.

Persoalan siapakah tuan dan hamba sepatutnya tidak perlu dijadikan agenda dalam perbahasan politik kerana struktur sosial masyarakat dalam negara ketika ini sudah berubah.

Penubuhan Malaysia yang bercirikan kepada Perlembagaan yang dipersetujui oleh kesemua kaum sepatutnya dijadikan agenda untuk memperkukuhkan kekuatan ekonomi, sosial dan kemasyarakatan kaum dalam negara ini. Fakta sejarah usah dipertikaikan dengan tujuan menggubalkan Perlembagaan.

Perpaduan kaum yang diwujudkan sejak kemerdekaan merupakan satu rahmat kepada negara Malaysia kerana melalui perpaduan ini, umat Islam dapat melaksanakan pelbagai perancangan bagi menaikkan taraf kaum bumiputera tanpa menafikan hak kaum lain.

Kemerdekaan yang dicapai oleh Malaysia serta pembangunan yang dikecapi masa kini adalah terlalu jauh perbezaannya dengan negara Islam yang lain walaupun mereka telah mendapat kemerdekaan lebih awal daripada Malaysia.

Bentuk sistem dan struktur kepimpinan dan pentadbiran Malaysia adalah berasaskan kepada acuan Malaysia yang merupakan kombinasi di antara tamadun barat, Melayu, Cina, India dan Islam. Hasilnya, struktur sosio-ekonomi, politik dan budaya masyarakat Malaysia adalah berunsurkan masyarakat majmuk yang berpandukan kepada sistem perlembagaan beraja.

Institusi beraja dalam negara ini bukan dalam bentuk monarki yang hakiki (absolute monarchy). Apabila institusi raja dijadikan sebagai simbol ketuanan Melayu, ia bukan bererti raja itu tuan dan rakyat itu hamba. Ia merupakan satu kekuatan kepada umat Islam bahawa negara ini mempunyai ketua yang berkuasa dalam hal ehwal keagamaan maini, ini, umat Islam dapat melaksanakan pelbagai perancangan bagi menaikkan taraf kaum bumiputera tanpa menafikan hak kaum lain.

Berasaskan kepada institusi ini, maka bangsa Melayu masih merasai bahawa bumi ini adalah tanah tumpah darah mereka sejak berkurun lamanya.

Konsep universal dalam Islam bukan bererti penghapusan hak dan keistimewaan penduduk asal sesebuah wilayah demi keadilan sejagat sebagaimana dilaungkan oleh pergerakan sosialis dan komunis. Islam memperakui hak dan keistimewaan kaum pribumi dan mengiktiraf serta mengadili kaum lain.

Malaysia sentiasa prihatin terhadap keadilan kaum dengan merancang pelbagai perancangan untuk kebajikan kesemua kaum tanpa menafikan hak umat Islam yang merupakan kaum pribumi negara ini. Ini merupakan satu kekuatan Malaysia dalam pembinaan tamadun Islam di rantau ini.

Pemimpin Islam yang berbangsa Melayu sepatutnya mempertahankan institusi ini demi maruah dan harga diri umat. Persepsi kewibawaan dan maruah seseorang dalam Islam bukan berdasarkan kepada latar belakang status dan pekerjaan yang berbentuk material.

Jika tukang sapu longkang dan petani miskin mempunyai akhlak yang mulia dan beriman kepada Allah SWT secara ikhlas, maka mereka adalah individu yang mulia di sisi Allah SWT.

Kejayaan bangsa Melayu mempertahankan kedaulatan dan hak bangsa Melayu pada zaman penjajah sehingga mendapat kemerdekaan adalah hasil daripada sikap cintakan bangsa dan agama sehingga dalam Perlembagaan dimasukkan artikel berkaitan dengan ketuanan Melayu dan agama Islam.

Sebagai orang Islam, sanggupkah mereka mengorbankan hak dan kewibawaan orang Melayu dan agama Islam yang menjadi teras kepada Perlembagaan?

Perjuangan politik umat Islam sepatutnya memperkukuhkan Perlembagaan yang memberi hak kepada penduduk pribumi dan Islam dengan melakukan pelbagai reformasi dalam perancangan negara. Ini supaya semua kaum dalam negara merasai nikmat dan rahmat berada dalam negara yang mempunyai Perlembagaan yang bertuankan orang Islam.

Jika pemimpin politik beragama Islam memperlekehkan Perlembagaan yang mempertahankan hak orang Islam, maka akan timbul persoalan sistem politik apakah yang ingin diperkenalkan oleh mereka? Realiti yang wujud dalam dunia Islam seperti di Asia Barat dan negara-negara Islam yang lain sudah cukup untuk memberi pengajaran kepada umat Islam dalam negara ini bahawa sistem pemerintahan dan pentadbiran negara ini adalah lebih kukuh dan praktikal untuk dilaksanakan.

Usah diintegrasikan sistem pemerintahan dan pentadbiran dari negara lain ke dalam negara. Ini kerana konteks sosio-politik, ekonomi dan sosial negara-negara tersebut adalah amat berbeza dengan Malaysia.

Justeru, perteguhkan Perlembagaan dan hak orang Melayu tanpa menafikan hak dan keistimewaan kaum lain demi masyarakat satu Malaysia.

Dr. Saodah Abd Rahman

Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

No comments:

Post a Comment