Tuesday, December 14, 2010

Politikkan U

Jangan politikkan Unisel, masa depan pelajar

SAYA adalah salah seorang daripada ribuan penuntut di Universiti Industri Selangor (Unisel). Saya rasa kurang senang dengan pentadbiran dan pendirian pihak pengurusan Unisel.

Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan satu demonstrasi untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin. Secara rambangnya, kami diperlihatkan dengan satu tindakan murni pemimpin untuk membela rakyatnya.

Tetapi setelah pemerhatian dibuat, saya mendapat satu kesimpulan bahawa tindakan murni ini adalah salah satu agenda politik kerajaan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Demonstrasi yang dibuat di Masjid Negara itu mendapat liputan meluas daripada pihak media. Apa yang sedihnya, penglibatan Unisel dalam demonstrasi ini tampak tidak relevan.

Kami golongan pelajar agak terkilan berkaitan penglibatan Unisel kerana kami langsung tidak diminta persetujuan untuk tujuan itu.

Pihak pentadbiran seolah-olah memperjudikan masa depan kami apabila menyertai demonstrasi kontroversi ini di atas nama tiket Unisel.

Unisel membawa lambang nama kami semua. Busuk nama Unisel bermakna busuklah nama kami. Mungkin pihak pentadbiran memandang penyertaan Unisel dalam demonstrasi ini adalah patut, tetapi tidak kepada kami.

Soal prokerajaan atau propembangkang tidak timbul dalam permasalahan ini, tetapi usahlah jadikan universiti kami sebuah senjata untuk kepentingan politik.

Kami di sini menuntut ilmu, jadi jangan kaburi mata bakal majikan kami dengan rekod kontroversi yang kamu corakkan. Fikirkanlah kepentingan kami juga, usahlah pentingkan politik kamu semata-mata.

BUKAN MPP

Unisel

No comments:

Post a Comment