Thursday, December 23, 2010

Suka Cari Persamaan

Bezanya 1Malaysia dan One Israel

SETELAH 2 tahun 1Malaysia diperkenalkan, Perdana Menteri masih lagi dihujani dengan pelbagai peluru berpandu oleh gabungan parti politik yang mempunyai struktur kepimpinan yang berkecamuk. Izinkan saya berikan sedikit pandangan mudah persamaan dan perbezaan antara kedua-duanya.

One Israel adalah pendekatan politik hasil usaha Ehud Barak untuk menghadapi pilihan raya Knessets tahun 1999. Konsep One Israel yang diilhamkannya adalah untuk menggabungkan tiga parti politik yang mempunyai fahaman yang berbeza semata-mata untuk memenangi pilihan raya berkenaan; parti Buruh, Meimad dan Gesher. Parti Buruh adalah parti sekular, Meimad mewakili elitis dan Gesher parti keagamaan.

Kaedah One Israel adalah di mana Ehud Barak menjanjikan David Levy dari kumpulan Meimad jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Micheal Melchior dari Gesher jawatan menteri kanan.

Secara umumnya, One Israel adalah pendekatan sama yang diambil pakai oleh Anwar Ibrahim untuk Pakatan Rakyat walaupun tidak menggunakan One Pakatan atau One Rakyat sebagai objek perikatan parti-parti yang bergabung.

Lagi pun One Israel adalah pendekatan yang diambil oleh Tony Blair dalam usaha beliau mentransformasikan Parti Buruh kepada Buruh Baru, tanpa menjadikan One Labour sebagai objek. PR yang merangkumi PKR, DAP dan Pas adalah perikatan yang sama kaedahnya. Bezanya berbanding One Isreal, PR gagal menerajui Kerajaan Persekutuan.

Konsep 1Malaysia adalah gagasan Satu Malaysia oleh Perdana Menteri yang langsung tidak ada kena mengena dengan penyatuan parti politik untuk menghadapi pilihan raya.

Beliau tidak perlukannya kerana BN adalah perikatan yang telah terbukti perpaduannya.

Konsep 1Malaysia adalah konsep One People (satu rakyat). Konsep One People bererti rakyat Malaysia berdiri, berfikir dan bertindak sebagai satu bangsa Malaysia.

Malah konsep 1Malaysia mengajak semua ahli dan pemimpin semua parti politik yang mewakili rakyat Malaysia, berfikir dan bertindak sebagai satu bangsa Malaysia yang bangga dengan struktur Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Bukan memburukkan negara dan bangsa sendiri.

Oleh yang demikian, saya sangat hairan kenapa DAP menjadi sekutu yang memburukkan apa yang mereka perjuangkan. Walaupun perspektif politik Malaysian Malaysia adalah berbeza dengan perspektif bukan politik 1Malaysia, matlamatnya adalah sama - negara Malaysia adalah negara kebanggaan semua rakyat Malaysia.

Saya yakin pemimpin Cina DAP sampai bila-bila pun tidak akan membuang asal-usul keturunan mereka sebagai bangsa Cina. Saya cabar Lim Kit Siang menidakkan asal usul beliau sebagai bangsa Cina dengan menggantikannya sebagai bangsa Malaysia dan rakyat Malaysia sepatutnya hampa kalau beliau membuang usul Cina dari diri beliau. 1Malaysia juga tidak minta bangsa Cina mengnyahhadirkan fakta keturunan mereka berbangsa Cina.

1Malaysia mengajak semua rakyat Malaysia melupakan tohmahan dan saranan songsang politik supaya kita debat Melayu dulu atau Cina dulu atau India dulu dan Malaysian kemudian. Lupakan. Anda bangsa Melayu berbanggalah sebagai orang Melayu. Anda bangsa Cina, berbanggalah menjadi orang Cina. Anda bangsa India, tidak perlu malu jadi bangsa India. Iban, Bidayuh, Bajau, Kadazan, Dusun, Orang Asli tidak perlu tukar apa-apa. Amallah apa yang baik mengikut amalan sosio-budaya masing-masing. Sama ada anda Islam, Buddha, Hindu, Christian, Tao amallah apa yang baik mengikut ajaran agama masing-masing.

Yang penting apa yang anda buat adalah untuk kebanggaan Malaysia. Datuk Lee Chong Wei telah membuktikannya. Begitu juga Datuk Nicole David, Sazali Samad, Puvaneswaran Ramasamy. Malah Tan Sri Dr. Zeti Aziz adalah kebanggaan terkini Malaysia.

Cabaran 1Malaysia kepada masyarakat yang sayangkan Malaysia dan bangga menjadi rakyat bumi bertuah ini adalah merealisasikan dan mempertahankan Malaysia sebagai hak semua rakyat bumi ini.

1Malaysia bermakna semua bangsa mempunyai asas yang sama. Yang membezakan mereka adalah kemampuan untuk mengguna peluang yang melimpah ruah.

KHUCAP

SHAH ALAM

No comments:

Post a Comment