Sunday, December 26, 2010

Temberang

Temberang, Guan Eng dan bola

Bisik-Bisik Mingguan
KONVENSYEN 1

HAMBAR dan tidak menyakinkan. Itulah yang Awang dapat rumuskan terhadap konvensyen pakatan pembangkang Ahad lalu.

Walaupun pada akhir konvensyen itu, pakatan mengeluarkan Buku Jingga yang meliputi janji-janji bagi program 100 hari jika memerintah, ia umpama senjata makan tuan. Buku Jingga itu mula menjadi bahan momokan kerana banyak janji pakatan pembangkang di negeri-negeri pimpinannya tidak terlaksana. Janji-janji semasa kempen pilihan raya umum lalu masih menghantui rakyat, inikan pula mahu disajikan senarai janji baru. Di Selangor sahaja, ada komitmen 12 perkara daripada manifesto lama tidak diendahkan. Itu belum Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Di Kelantan, isu bekalan air bersih untuk rakyat masih gagal diselesaikan walaupun telah 20 tahun Menteri Besar Nik Aziz Nik Mat memerintah. Nasihat Awang, selesaikanlah dahulu segala janji, barulah wajar jika mahu membuat janji baru.

Lagipun apabila bercakap tentang janji, antara paling cepat terlekat di minda rakyat ialah pembohongan dan janji palsu ketua pembangkang, Anwar Ibrahim dalam isu 16 September. Pada Awang, ini semua strategi pakatan untuk menarik semula keyakinan rakyat ekoran perkembangan terkini yang tidak memihak kepada mereka. Awang percaya seandainya pembangkang memerintah, tumpuan utama bukanlah untuk melunaskan janji tetapi untuk menyelamatkan Anwar terlebih dahulu daripada kes perbicaraan liwat. Ini diikuti usaha untuk menulis semula Perlembagaan dan memperhebatkan kesamarataan (tanpa mengambil kira sejarah dan asas kenegaraan). Akhirnya nanti, temberang berulang lagi.

KONVENSYEN 2

Selain isu janji dan retorik, perkara paling memualkan ialah kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa Barisan Nasional (BN) mempergunakan agama, bangsa dan raja-raja Melayu. Awang melihat ia merupakan strategi beliau untuk mengalih banyak isu kelemahan dan kepincangan pembangkang khususnya pentadbiran DAP di Pulau Pinang. Apa pun kenyataan itu suatu lagi penghinaan DAP ke atas Islam dan Melayu. Pelajar sekolah pun tahu bahawa BN yang diterajui oleh UMNO, adalah parti politik paling komited dalam menjunjung Perlembagaan termasuk mempertahankan kepentingan agama dan bangsa. Maka apabila Guan Eng membuat tuduhan sedemikian, ia menampakkan bahawa beliau mempunyai muslihat jahat. Mengaitkan raja sebagai pihak yang dipergunakan adalah amat tidak wajar. Raja-raja Melayu bukan golongan yang boleh dipergunakan. Peringatan tegas raja-raja Melayu kebelakangan ini agar dipertahankan Perlembagaan dibuat atas keprihatinan dan kebimbangan baginda sekalian, bukannya dipengaruhi oleh BN dan UMNO. Sedangkan bukan rahsia lagi, yang sedang mengasak untuk merobek Perlembagaan adalah DAP dan PKR.

Begitu juga dengan dakwaan beliau bahawa pemimpin BN dan para pembaca serta penyokong Utusan Malaysia bukan rakyat Malaysia yang sebenar. Kenapa Utusan diserang sedangkan ia mendokong Perlembagaan sejak merdeka lagi? Apakah hanya kerana tidak mengikut aspirasi DAP lalu pihak lain sewenang-wenang dipersoalkan status kerakyatan. Sepatutnya soalan itu ditujukan kepada Guan Eng. Apakah beliau rakyat Malaysia yang sebenar dan manakah kiblatnya, di dalam atau luar negara?

Awang mencabar Guan Eng supaya berikrar secara peribadi untuk menjunjung sepenuhnya Perlembagaan negara. Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama sejak awal pembabitannya dalam politik telah berikrar mempertahankan Perlembagaan dan tidak pernah tergelincir daripada landasan itu. Ramai lagi pemimpin minoriti yang diangkat menjadi pemimpin negara, berikrar pertahan perlembagaan. Di Thailand misalnya Thaksin Sinawatra, Chuan Leek Pai, Samak Sundaravej dan Abhisit Vejjajiva walaupun berketurunan Cina tetapi meletakkan kepentingan negara mengatasi kaum. Apakah beliau warga negara sebenar, yang sedia berbuat demikian?

Jual Rumah

Henti jual rumah kepada orang luar

MINGGUAN: Sejauhmana seriusnya trend pemaju perumahan membina rumah mewah dan sederhana mewah di seluruh negara?

S.M. Mohamed: Jika kita merujuk kepada data atau statistik pasaran perumahan pada masa ini, saya boleh katakan ia sudah pada tahap ‘menakutkan’. Harga rumah melambung pada paras yang mungkin kita tidak pernah fikir lima atau sepuluh tahun lalu. Keadaan ini cukup membimbangkan kerana ia memberi kesan bukan sahaja kepada rakyat berpendapatan rendah tetapi juga yang berpendapatan sederhana. Kita jangan lupa bahawa golongan ini mempunyai hak untuk memiliki rumah sendiri berdasarkan kemampuan kewangan mereka.

Kita boleh lihat sendiri bagaimana harga rumah meningkat kepada paras yang tinggi mencecah jutaan ringgit terutamanya di bandar-bandar utama sehingga golongan pertengahan sekalipun tidak mampu untuk memiliki rumah atau pangsapuri, apatah lagi golongan bawahan.

Kita lihat di Pulau Pinang misalnya, pada 2009, purata harga rumah mencecah sehingga RM540,000 iaitu lapan kali ganda purata pendapatan isi rumah. Di Kuala Lumpur pula purata harga rumah adalah RM390,000 iaitu enam kali purata pendapatan isi rumah. Angka-angka ini sangat menggerunkan, ia meningkat begitu mendadak dan saya tidak fikir ia akan berhenti selagi tindakan sewajarnya tidak diambil untuk mengekangnya.

Adakah pihak CAP menerima aduan orang ramai mengenai kebimbangan trend pembinaan rumah mewah ini? Mungkin ada kajian spesifik dibuat mengenainya?

S.M Mohamed: Ya, kita ada menerima rungutan daripada orang ramai mengenai perkara ini. Tetapi sebenarnya, rungutan mengenai harga rumah boleh boleh didengar di mana-mana. Ia seolah-olah menjadi satu fenomena baru. Kita pasti sudah biasa mendengar keluhan seseorang yang bimbang kerana masih tidak mempunyai rumah sendiri walaupun sudah berkeluarga. Sebab itu saya lebih gemar menggunakan istilah ‘menakutkan’ dalam soal harga rumah yang melambung secara mendadak.

Begitu juga tekanan yang dihadapi golongan berpendapatan rendah dan sederhana apabila memikirkan trend harga rumah yang terus meningkat secara mendadak sehingga mereka tidak bersedia walaupun untuk merancang membeli sebuah rumah.

Saya tertarik dengan kajian Institut Kajian Sosioekonomi dan Alam sekitar (SERI) yang mendedahkan banyak isu membabitkan trend pembinaan rumah mewah yang nampaknya semakin tidak terkawal. Antara hasil kajian tersebut adalah mengenai purata harga rumah di Pulau Pinang dan Lembah Klang yang sudah mencecah antara RM300,000 hingga RM500,000 pada 2009. Jumlah ini jauh berlipat kali ganda lebih tinggi berbanding purata pendapatan isi rumah.

Jika data dan statistik ini mahu dijadikan ukuran, bayangkan berapa harga rumah dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang? Ketika itu berapa ramai golongan berpendapatan rendah dan sederhana mampu atau bersedia memiliki rumah pada kadar yang bersesuaian dengan pendapatan mereka.

Indeks harga rumah di Malaysia dalam tempoh 10 tahun lalu menunjukkan peningkatan yang sangat ketara. Apa sebenarnya mendorong peningkatan itu?

S.M Mohamed: Indeks itu bukan sahaja menunjukkan peningkatan tetapi ia sangat ketara. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Biasanya, harga menjadi tinggi kerana bekalan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan. Tetapi berdasarkan data daripada Banci Perumahan dan Penduduk Malaysia, terdapat lebih banyak unit rumah berbanding jumlah isi rumah.

Pada tahun 2000 misalnya, jumlah kekosongan unit rumah yang tidak didiami atau diduduki di seluruh Malaysia ialah dalam lingkungan 15.6 peratus. Angkanya lebih tinggi di Melaka iaitu 24.5 peratus; Pulau Pinang, 23.5 peratus manakala Kuala Lumpur 15.9 peratus. Data itu juga menunjukkan, terdapat 67 peratus unit rumah terutamanya di kawasan bandar adalah kosong kerana ia baru disiapkan sama ada untuk dijual atau disewa.

Ini memberi gambaran bahawa ramai membeli hartanah semata-mata untuk pelaburan dan spekulasi pasaran yang akhirnya menyebabkan harga rumah melambung tinggi. Dalam erti kata lain, penawaran dan permintaan tidak lagi sepadan. Manipulasi ini menyebabkan ramai orang yang kurang berkemampuan akan menjadi mangsa. Sehingga ada yang terpaksa berhempas-pulas mencari wang walaupun hanya ingin membeli sebuah rumah.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) mendakwa harga tanah yang tinggi serta permintaan melambung dari pembeli luar menyebabkan harga rumah meningkat sedangkan insentif disediakan untuk membina rumah kos rendah dan sederhana. Komen anda?

S.M Mohamed: Secara umum, pendirian REHDA itu ada benarnya. Tetapi kita perlu ambil kira juga punca harga tanah boleh meningkat. Rakyat mahukan rumah yang mampu dimiliki tetapi isunya sekarang adalah pemaju membina rumah yang tidak mampu dibeli oleh mereka. Ini berlaku apabila pemaju lebih cenderung memenuhi permintaan pelabur dan spekulator yang membeli rumah untuk disewakan atau menaikkan harganya untuk mengaut keuntungan. Tidak hairanlah apabila golongan spekulator dan pelabur ini memiliki dua buah rumah atau lebih.

Kebiasaannya, pemaju memberi keutamaan dan menyimpan unit terbaik kepada pelabur atau spekulator yang membeli unit berganda sebelum projek siap atau dilancarkan. Bila sudah siap, pembeli biasa kemudiannya terpaksa beratur dan menerima saki-baki unit rumah atau membelinya daripada pelabur-pelabur tadi dengan harga yang lebih tinggi. Keadaan ini menunjukkan ketidakadilan terhadap pembeli rumah yang kurang berkemampuan. Pendek kata, kitaran pasaran tidak memihak kepada mereka.

Dalam isu ini juga, pemaju sanggup ke luar negara untuk memasarkan atau mempromosikan hartanah mereka kerana mereka boleh membuat untung memandangkan harga rumah di negara kita jauh lebih murah mengikut pasaran antarabangsa. Keadaan menjadi lebih rumit dengan pelaksanaan polisi kerajaan yang menggalakkan orang asing membeli rumah di Malaysia. Saya fikir program ini wajar diteliti semula kerana kita seolah-olah menidakkan hak orang tempatan untuk membeli rumah dengan kadar yang mereka mampu sedangkan orang asing mendapatkan aset pada harga yang murah berbanding di negara mereka sendiri.

Tidak seperti di Indonesia, Filipina dan Thailand, Malaysia merupakan salah satu negara di Asia Tenggara yang membenarkan orang asing memiliki hartanah. Walaupun program tersebut lebih berorientasikan pelancongan tetapi ia sebenarnya menyumbang kepada perlumbaan pemaju untuk mendirikan rumah-rumah mewah sehingga memberi kesan terhadap nilai pasaran. Dalam soal ini, kita wajar bersikap adil kepada rakyat tempatan dengan memberi keutamaan kepada pembinaan rumah-rumah mampu milik.

Bagaimana pula peranan institusi kewangan dalam isu ini?

S.M Mohamed: Sebenarnya, bank turut menyumbang kepada kenaikan harga rumah melalui pelbagai strategi pemasaran yang agresif. Mereka melonggarkan piawaian kredit dan sanggup memberi pembiayaan lebih 95 peratus daripada nilai hartanah. Pihak bank juga membuat penawaran yang berubah-ubah berbanding pinjaman tetap. Ini dibuat untuk mengurangkan ansuran awal dalam persekitaran kadar faedah yang rendah. Begitu juga dengan kaedah memanjangkan tempoh kepada 40 tahun sehingga melampaui hayat bekerja peminjam. Ia mungkin memberi keselesaan untuk peminjam melunaskan pinjaman tetapi tempoh yang lama ini sebenarnya akan memberi bebanan jangka panjang dengan mengambil kira risiko pasaran yang tidak dapat dijangka.

Begitu juga dengan cadangan menawarkan pinjaman dua generasi yang boleh menjangkau sehingga 70 tahun. Kaedah ini sebenarnya membawa lebih banyak kesan negatif apabila peminjam digalakkan membebani generasi masa depan dengan hutang mereka sendiri. Melalui kaedah pinjaman sedia ada, mereka yang kaya mampu membeli lebih daripada satu unit rumah manakala mereka yang hanya mampu membeli seunit rumah terpaksa melakukannya dengan memanjangkan tempoh pinjaman dengan kadar yang tidak munasabah. Ini sebenarnya menjadi antara pendorong kepada peningkatan harga rumah.

Dalam Bajet 2011, kerajaan mengumumkan bahawa pembeli rumah pertama kali layak mendapat pinjaman 100 peratus. Turut diumumkan pengurangan 50 peratus duti setem untuk rumah berharga RM350,000 atau kurang. Walaupun diskaun duti setem boleh membantu, ia sepatutnya dihadkan kepada hanya pembeli pertama untuk menangani kegiatan spekulasi.

Pemberian pinjaman 100 peratus sebenarnya diragui memandangkan ia menggalakkan pinjaman berisiko di pihak bank dan pembeli yang tidak bertanggungjawab mungkin mengelak daripada membuat gadaian sekiranya harga rumah jatuh atau mereka tidak mampu membuat bayaran balik pinjaman. Dalam hal ini, polisi meletakkan beberapa ekuiti kepada pembeli rumah adalah tindakan yang lebih wajar.

Tenang

Bertenang ketika di Tenang

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
DAHULU orang takut menjadi pemimpin, sebab mereka tahu bahawa memimpin itu adalah satu tanggungjawab dan amanah yang akan disoal oleh Allah SWT. Sebagai respons, rakyat selalu mendoakan pemimpin atau wakil rakyat mereka supaya sentiasa sihat dan panjang umur.

Kini, keadaan mula berubah. semua berlumba mahu jadi pemimpin, tanpa mengira kelayakan, bakat dan kebolehan. Golongan cerdik pandai sukar untuk mendapat tempat kerana telah dicantas sejak awal-awal lagi.

Mungkin ada benarnya kata-kata, rakyat hari ini mula mendoakan wakil rakyatnya cepat mati, kerana dengan kematian itu akan berlaku pilihan raya kecil dan hajat untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat mungkin tercapai. Bagi rakyat marhaen pula, lain pula keseronokannya, kerana mendapat pelbagai peruntukan seperti jalan raya dan rumah baharu. Pendek kata, dengan adanya pilihan raya, landskap atau keadaan sesuatu kawasan berubah serta-merta. Tidak kira sama ada kawasan tersebut di bawah BN atau pembangkang.

Inilah budaya pemikiran pandir atau politik pandir yang masih berlaku dalam budaya politik negara kita seperti yang diungkapkan oleh Syed Hussin Al-attas. Perkara sebegini jarang berlaku di negara maju. Mereka yang ingin menjadi pemimpin, mesti membuktikan bahawa mereka benar-benar boleh memimpin. Jika tidak, mereka akan ditinggalkan dalam arus perdana. Justeru, kita lihat pemimpin negara maju mengamalkan sikap begitu mulia, jika terpilih jadi pemimpin, Alhamdulillah. Jika tidak terpilih, bersangka baik dan tidak khianat. Malah, terus berusaha memperkasakan parti demi untuk agama, bangsa dan negara. Itulah bahasa yang mudah diungkapkan, walaupun semua negara maju adalah bukan negara Islam. Tetapi nilai-nilai Islam dapat dilihat di sana. Nilai-nilai inilah yang menjadikan mereka cepat maju. Berbanding dengan negara-negara Islam yang masih ketinggalan. Nama saja Islam, akhlak entah ke mana, hidup penuh khianat, tipu daya dan pura-pura. Pahit juga untuk membuat generalisasi sedemikian, tetapi itulah hakikatnya.

Senario yang disebutkan perlu menjadi ingatan kepada kita dalam menikmati suasana tenang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dalam sebuah negara yang tenang. UMNO (BN) tidak boleh terlalu yakin dengan kemenangan sebelum ini kerana pakatan pembangkang juga mempunyai keyakinan yang sama, apatah lagi setelah berakhir konvensyen mereka baru-baru ini. Ternyata parti ultra kiasu telah mengubah strateginya. Kalau dahulu, mereka begitu elergi dengan negara Islam Pas kali ini rentaknya sudah berubah, mereka mahukan penyelesaian. Apakah konsep negara Islam Pas akan diterima?

Menurut Profesor Aziz Bari, isu negara Islam tidak termasuk dalam dasar bersama pakatan pembangkang. . Beliau juga mencadangkan pakatan pembangkang yang dianggotai Pas, PKR dan DAP memberi tumpuan ke atas perkara-perkara lain daripada bercakap soal negara Islam.

Saranan Aziz Bari bukan mudah untuk dipersetujui oleh Pas kerana Presiden Pas sudah memberikan respons bahawa Pas perlukan masa untuk menjelaskan kepada DAP tentang konsep negara Islam. Saranan saya, Pas tidak perlu jelaskan kepada DAP, kerana DAP tidak pernah akan bersetuju. Lebih baik Pas duduk bersendirian daripada bersubahat dengan kemungkaran dalam pakatan pembangkang.

Komen

Saya juga ingin sangat mendapatkan komen Pas mengenai gambar Lim Kit Siang mengangkat dan memegang tangan Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail di atas pentas ketika konvensyen PR baru-baru ini yang siarkan dalam MalaysianInsider. Malangnya gambar tersebut tiba-tiba hilang apabila saya ingin cetak kerana telah dikeluarkan. Inilah kegusaran Pas dan mungkin juga PKR, apabila berdepan dengan parti ultra kiasu yang bersifat sekular ini. Mereka tidak kenal halal haram, walaupun mereka mendakwa mahu mengikut pemerintahan Umar Abdul Aziz.

Jangan pula tanya saya, UMNO pun sama juga? Bukankah selama ini Pas menuduh UMNO tidak Islamik? Jadi, jika ada perkara yang melanggari batas, jawapannya wajar. Jika Pas benar-benar ikhlas dengan perjuangan, tidakkah wajar Pas membetulkannya, daripada terus menuduh UMNO semuanya tidak betul. Pas juga wajar diperbetulkan oleh UMNO, kerana dilihat ‘dipergunakan’.

Perkembangan Pas mutakhir ini begitu menarik perhatian. Sedikit demi sedikit Pas mula berubah mengikut peredaran masa, walaupun mungkin terpaksa ‘menggadaikan prinsip’. Namun, Pas berada dalam keadaan yang sukar dalam pilihan kecil ini. Jika Pas mahukan ‘diamkan isu negara Islam, sudah tentu ia akan mendapat tentangan daripada ahli-ahli partinya. Pas, negara Islam dan hudud sudah sinonim. Walaupun Karpal Singh sudah menunjukkan ‘lampu hijau’ untuk membincangkan isu negara Islam, itu bukan bermakna beliau menerima isu yang dilihat “duri dalam daging” dalam hubungan Pas - DAP.

Kedua-dua parti ini mendakwa mereka adalah parti untuk semua kaum. Namun, tindak tanduk mereka tidak sedemikian. Pas tetap akan bertanding di kawasan majoriti Melayu, begitu juga dengan DAP di kawasan majoriti Cina. Jika mereka benar-benar parti untuk semua kaum, bertandinglah di kawasan yang sebaliknya. Apa pun, DAP tetap parti dominasi Cina, begitu juga dominasi Melayu dalam Pas.

Sesiapapun yang mengkaji politik Malaysia mengetahui, memang senario politik Malaysia adalah bersifat perkauman. Mahu tidak mahu, UMNO perlu wujud. UMNO perlu mewakili majoriti orang Melayu kerana semua etnik telah diwakili melalui penubuhan parti-parti politik etnik masing-masing. Malangnya parti etnik Melayu hanya diwakili oleh UMNO satu sahaja.

Bukan Melayu

Sedangkan bukan Melayu diwakili oleh begitu banyak parti etnik bangsa dan suku-sukunya dalam BN. Begitu juga dengan isu agama, Islam yang dibawa UMNO terpaksa menghadapi paling kurang lima agama yang diwakili oleh parti-parti tersebut. Bagaimanakah UMNO hendak menghadapi semua tuntutan ini, jika Islam yang diwakilinya tidak begitu kuat atau banyak bilangannya?

Selama ini UMNO berseorangan menghadapi mereka semua. Itu yang menyebabkan kadang kala keputusan UMNO ibarat diluah mati mak, ditelan mati bapak, terutama selepas PRU 2008.

Ada kalanya UMNO terpaksa ‘menggadaikan prinsip’ disebabkan oleh tuntutan dan desakan luar teramat kuat. Pada saya, di saat-saat ini Pas perlu tampil menghulurkan bantuan. Bukan seronok melihat UMNO hancur.

Percayalah, jika UMNO hancur, Melayu akan hancur. Tidak semua Melayu UMNO akan menyokong Pas sekiranya UMNO hancur. Walaupun Pas mungkin boleh mendabik dada dengan mengatakan bahawa Pas adalah parti alternatif orang Melayu, selepas melihat UMNO hancur.

Sejarah membuktikan bahawa percubaan untuk menubuhkan parti pelbagai kaum telah gagal seperti yang cuba dilakukan oleh Dato’ Onn Jaafar melalui Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) 1951, setelah kecewa dengan UMNO. Walaupun Parti Negara yang ditubuh selepas itu tidak membuka keahlian kepada bukan Melayu, tetapi tidak mendapat sambutan, kerana orang Melayu sudah ada alternatif iaitu UMNO.

Pendek kata, politik Malaysia sudah sebati dengan perkauman. Politik, ekonomi, pendidikan dan sosial semuanya perkauman. UMNO boleh berbeza pendapat dengan Pas. Begitulah sebaliknya. Tetapi janganlah sampai perbezaan tersebut sehingga boleh menimbulkan konflik yang berpanjangan. Tidak perlulah mengeluarkan kata-kata hancurlah UMNO atau hancurlah Pas. Bertanding secara profesional tanpa mengecam dan mengumpat. Elok kita bertenang sedikit ketika berada dalam suasana Tenang.

Janganlah dicemari dengan insiden-insiden politik pandir yang saya sebutkan tadi. Apatah lagi jika mesej Islam yang diperjuangkan oleh parti yang bertanding. Kalimah ‘Islam’ itu membawa makna yang begitu besar apabila Ia digunakan dan tidak boleh sama sekali dipermainkan.

Penggunaan kalimah Islam sepatutnya melembutkan hati-hati kita, bukan menjadikan kita semakin ego. Sudahkah kita lupa adab-adab berbeza pendapat atau adabul ikhtilaf. Berbeza pendapat dibenarkan selagi tidak putus persaudaraan, apatah lagi sehingga berpecah-belah.

Jika Rasulullah SAW hidup saat ini dan melihat keadaan umatnya, Baginda pasti akan menitiskan air mata. Hati Baginda mungkin hiba melihat betapa negara-negara Islam begitu ketinggalan berbanding negara-negara Barat. Kehibaan ini bukan disebabkan oleh keadaan umat Islam ketinggalan, tetapi yang membuat hati Nabi Muhammad begitu terluka, adalah ketika umat Baginda saling membenci dan bermusuhan antara satu sama lain. Umatnya begitu bodoh sehingga boleh dipergunakan. Inilah punca mereka ketinggalan.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Jangan Aibkan Orang

Pelihara aib orang lain

Oleh Harussani Zakaria
SEJENAK merenung di dada akhbar mahupun coretan di laman sesawang, membuatkan saya beristighfar panjang bila menyelusuri bahan berita, coretan mahupun komentar dari pihak yang rata-ratanya agak kritis dan kadangkala memualkan.

Setiap bahan berita, coretan dan komentar lebih banyak menyentuh hal-hal bersangkutan diri seseorang yang bukan sahaja boleh menjatuhkan maruahnya, malah lebih dari itu sehingga menghinakan diri dan keluarganya.

Adakalanya komentar dan catatan yang dipaparkan sarat dengan fitnah, umpatan dan cacian daripada sesuatu pernyataan yang membina. Saya menyedari hakikat umat Melayu ini yang pandai berbahasa dan berkias, namun sejak mutakhir ini gaya bahasanya sudah tidak berlapik dan beralas lantas menerjah maruah diri seseorang sehingga menusuk ke tulang putihnya.

Malah, bukan sekadar menerusi penulisan, pelbagai medium digunakan termasuklah menggunakan kehebatan berkata-kata, berpidato dan berjenaka bagi menyampaikan hasrat menjatuhkan maruah dan membuka keaiban orang lain. Apakah kita sudah lupa pesanan agung Rasullullah SAW seperti mana yang diriwayatkan oleh Al Imam Ahmad dari Anas Ibnu Malik r.a, bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Tidak akan lurus keimanan seorang hamba sehingga lurus pula hatinya, dan tidak lurus hatinya, hingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan memasuki syurga, selagi tetangganya belum aman dari kejahatannya.”

Anggota lidah seperti mana yang telah disebutkan oleh Imam Al-Ghazali adalah antara sebesar nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan lidah kita berzikir, tilawah Al-Quran dan berkata-kata dengan perkataan yang baik. Menerusi lidah juga dakwah Islam disebar siarkan di serata alam, dengannya juga terlaksana proses saling ingat-mengingati antara satu sama lain supaya hati sentiasa dekat dengan Allah dan Rasul-Nya.

Namun sebesar nikmat itu, maka besar juga tanggungjawab untuk menjaganya. Dengan lidah jugalah manusia boleh terjerumus ke dalam kehancuran, malah boleh mengundang ke lembah neraka Allah SWT. Hal ini mengingatkan saya bahawa Al Marhum Said Hawwa pernah menyatakan besarnya bahaya lidah hingga tiada siapa yang mampu selamat darinya kecuali dengan diam. Bertepatan dengan apa yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al Imam Al Bukhari dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa beriman dengan Allah dan hari qiamat, maka berkatalah yang baik atau pun berdiam saja.”

Teringat saya bagaimana sejarah menaqalkan bahawa Saidina Abu Bakar r.a pernah satu ketika meletakkan batu kerikil di mulutnya, semata-mata mencegah dirinya dari berbicara.

Lalu ditanya mengapa beliau berkelakuan begitu, ia menunjukkan kepada lidahnya seraya berkata, “Inilah yang menjerumuskan aku ke dalam kehancuran.” Al Imam Al Bukhari meriwayatkan dari Sahl bin Sa‘ad bahwa Baginda SAW bersabda yang bermaksud, “Siapa yang menjamin untukku apa yang ada di antara janggutnya dan dua pahanya maka aku menjamin untuknya syurga.” Dalam hal ini juga, apakah umat Melayu sudah lupa pepatah yang berbunyi “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.”

Bahaya fitnah

Al-Quran yang diturunkan Allah SWT sebagai manual yang memandu hidup manusia telah mencatatkan bahawa di dalam surah Al-Hujurat ayat 12, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu mengumpat setengah yang yang lain. Adakah seorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati, tentulah kamu sekalian benci memakannya.” Imam Al-Qurtubi ketika membahaskan ayat di atas menukilkan sebuah hadis tentang erti ghibah (mengumpat) seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Mengumpat itu adalah anda menyebut perihal saudaramu dengan suatu yang di bencinya.”

Ibnu Abi Dunya meriwayatkan dari Al-Barra beliau berkata bahawa Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami hingga terdengar oleh kaum wanita di rumah-rumah mereka. Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman dengan lidahnya tetapi tidak beriman dengan hatinya, janganlah kalian mengumpat orang-orang muslim dan mencari keaibannya. Sesungguhnya orang yang mencari-cari keaiban saudaranya, maka Allah akan mencari-cari keaibannya. Dan siapa yang keaibannya di cari-cari Allah, maka pasti Allah akan membongkarnya di tengah rumahnya.”

Biarpun sekian banyaknya peringatan al-Quran dan hadis tentang telatah buruk ini, namun umat ini seakan-akan tidak pernah mendengar dan mengambil tahu. Bayangkan apa akan terjadi sekiranya masyarakat kita dipenuhi dengan tingkahlaku yang “jelek” ini, dipenuhi saban hari dengan sikap fitnah memfitnah dan mencerca sesama kita. Hanya ilmu dan penghayatannya sahaja mampu mengekang penularan sikap keji ini sepert imana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari Abu Umamah dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Akan muncul berbagai fitnah, di pagi hari seseorang dalam keadaan mukmin lalu kafir di petang harinya, kecuali orang yang dihidupkan Allah dengan ilmu.”

Tentang keburukan orang lain.

Seringkali kita mendengar pihak-pihak beralasan dengan menyatakan “Saya tidak mengumpat atau memfitnahnya, saya berkata yang benar! Saya punya bukti itu dan ini!. Pernyataan yang seolah-olah ingin menghalalkan perbuatan mereka. Al Marhum Sa‘id Hawa menyebutkan bahawa Al-Hassan berkata yang bermaksud, “Mengatakan tentang hal orang lain itu terbahagi kepada tiga : (1) ghibah : iaitu kamu menyatakan apa yang ada pada dirinya; (2) buhtan :iaitu kamu menyatakan apa yang tiada pada dirinya; (3) ifkun : iaitu kamu menyatakan apa yang kamu dengar tentang dirinya.”

Biar dalam situasi apapun, menyembunyikan kelemahan dan keaiban seseorang adalah lebih utama dari menzahirkannya. Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Dan sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim maka Allah taala akan menutup keaibaannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah taala sentiasa menolong seseorang hamba, selama dia menolong hambanya.”

Walau bagaimanapun, Imam Al Ghazali menyebut bahawa menyatakan keburukan seseorang dibenarkan di dalam beberapa keadaan yang diperlukan sahaja dengan syarat yang tertentu. Antaranya seperti aduan seorang yang dizalimi oleh seorang yang lain kepada seorang hakim, meminta suatu hukum dalam satu perbuatan atau perkara, berniat untuk memberi peringatan kepada masyarakat atas seseorang yang terang-terangan dan bermegah-megah dengan melakukan maksiat dan beberapa perkara lain.

Politik, umpat dan fitnah

Akhir-akhir ini, politik, umpat dan fitnah seolah-olah suatu perkataan yang tidak mungkin dipisahkan. Baik pihak manapun, ia seolah-olah dibolehkan dengan beralaskan hujah-hujah yang tertentu. Segala keburukan pihak lawan didedahkan untuk pengetahuan umum. Lebih mendukacitakan, saya melihat medium penting bagi membincangkan isu dan kebajikan rakyat seperti sidang Dewan Rakyat dan sidang DUN hari ini sudah menjadi medan umpatan, tuduh-menuduh dan fitnah memfitnah berkait dengan isu-isu peribadi. Apakah kita tidak menyedari betapa terlalu banyak masa dan ruang telah kita habiskan bagi memenuhi selera buruk ini, sedangkan di hadapan kita terlalu banyak isu dan perkara yang perlu dilangsaikan. Apabila ini terjadi, fokus utama ke arah mengutamakan kepentingan rakyat terpaksa dikesampingkan bagi memberi ruang menjawab tohmahan dan fitnah yang dilemparkan.

Ledakan ICT

Ledakan sumber maklumat pada abad ke-21 ini menyaksikan era baru dunia maklumat. Menerusi e-mel, SMS, blog, facebook, twitter dan sekarang era wikileaks, maklumat disampaikan dengan begitu mudah dan pantas. Kebebasan bersuara dalam menyampaikan kritikan, penyebaran maklumat kontroversi mahupun khabar-khabar angin menjadikan dunia maklumat ICT berjaya menarik jutaan penggemar. Menurut sumber internetworldstats.com menyatakan bahawa pengguna Internet hari ini sudah mencapai 1.9 billion dan Asia sahaja mencapai 110 juta pengguna.

Manakala pengguna facebook di Asia sudah mencapai 93.5 juta. Namun apa yang merisaukan saya hari ini, kecanggihan memindah maklumat hari ini telah dicemari dengan medan menabur fitnah dan umpatan. Adakah ini termasuk dalam apa yang kita bincangkan di atas. Imam Al-Ghazali menyatakan mengumpat itu sebenarnya bukanlah semata-mata dengan lidah, namun merangkumi isyarat-isyarat dan tulisan. Tidak keberatan saya katakan bahawa penggunaan medium ini bukan lagi semata-mata menyebarkan berita mahupun maklumat yang bermanfaat, tetapi terselit agenda-agenda tersembunyi yang didokongi oleh mereka yang punya niat untuk membobrokkan orang lain.

Jika amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Allah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan ia ke dalam neraka.”

Maruah manusia terlalu berharga hingga menyebabkan setiap manusia perlu memeliharanya. Kemakmuran beragama, bermasyarakat dan bernegara sukar dikecapi melainkan setiap warga menghormati antara satu sama lain.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Thursday, December 23, 2010

Suka Cari Persamaan

Bezanya 1Malaysia dan One Israel

SETELAH 2 tahun 1Malaysia diperkenalkan, Perdana Menteri masih lagi dihujani dengan pelbagai peluru berpandu oleh gabungan parti politik yang mempunyai struktur kepimpinan yang berkecamuk. Izinkan saya berikan sedikit pandangan mudah persamaan dan perbezaan antara kedua-duanya.

One Israel adalah pendekatan politik hasil usaha Ehud Barak untuk menghadapi pilihan raya Knessets tahun 1999. Konsep One Israel yang diilhamkannya adalah untuk menggabungkan tiga parti politik yang mempunyai fahaman yang berbeza semata-mata untuk memenangi pilihan raya berkenaan; parti Buruh, Meimad dan Gesher. Parti Buruh adalah parti sekular, Meimad mewakili elitis dan Gesher parti keagamaan.

Kaedah One Israel adalah di mana Ehud Barak menjanjikan David Levy dari kumpulan Meimad jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Micheal Melchior dari Gesher jawatan menteri kanan.

Secara umumnya, One Israel adalah pendekatan sama yang diambil pakai oleh Anwar Ibrahim untuk Pakatan Rakyat walaupun tidak menggunakan One Pakatan atau One Rakyat sebagai objek perikatan parti-parti yang bergabung.

Lagi pun One Israel adalah pendekatan yang diambil oleh Tony Blair dalam usaha beliau mentransformasikan Parti Buruh kepada Buruh Baru, tanpa menjadikan One Labour sebagai objek. PR yang merangkumi PKR, DAP dan Pas adalah perikatan yang sama kaedahnya. Bezanya berbanding One Isreal, PR gagal menerajui Kerajaan Persekutuan.

Konsep 1Malaysia adalah gagasan Satu Malaysia oleh Perdana Menteri yang langsung tidak ada kena mengena dengan penyatuan parti politik untuk menghadapi pilihan raya.

Beliau tidak perlukannya kerana BN adalah perikatan yang telah terbukti perpaduannya.

Konsep 1Malaysia adalah konsep One People (satu rakyat). Konsep One People bererti rakyat Malaysia berdiri, berfikir dan bertindak sebagai satu bangsa Malaysia.

Malah konsep 1Malaysia mengajak semua ahli dan pemimpin semua parti politik yang mewakili rakyat Malaysia, berfikir dan bertindak sebagai satu bangsa Malaysia yang bangga dengan struktur Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Bukan memburukkan negara dan bangsa sendiri.

Oleh yang demikian, saya sangat hairan kenapa DAP menjadi sekutu yang memburukkan apa yang mereka perjuangkan. Walaupun perspektif politik Malaysian Malaysia adalah berbeza dengan perspektif bukan politik 1Malaysia, matlamatnya adalah sama - negara Malaysia adalah negara kebanggaan semua rakyat Malaysia.

Saya yakin pemimpin Cina DAP sampai bila-bila pun tidak akan membuang asal-usul keturunan mereka sebagai bangsa Cina. Saya cabar Lim Kit Siang menidakkan asal usul beliau sebagai bangsa Cina dengan menggantikannya sebagai bangsa Malaysia dan rakyat Malaysia sepatutnya hampa kalau beliau membuang usul Cina dari diri beliau. 1Malaysia juga tidak minta bangsa Cina mengnyahhadirkan fakta keturunan mereka berbangsa Cina.

1Malaysia mengajak semua rakyat Malaysia melupakan tohmahan dan saranan songsang politik supaya kita debat Melayu dulu atau Cina dulu atau India dulu dan Malaysian kemudian. Lupakan. Anda bangsa Melayu berbanggalah sebagai orang Melayu. Anda bangsa Cina, berbanggalah menjadi orang Cina. Anda bangsa India, tidak perlu malu jadi bangsa India. Iban, Bidayuh, Bajau, Kadazan, Dusun, Orang Asli tidak perlu tukar apa-apa. Amallah apa yang baik mengikut amalan sosio-budaya masing-masing. Sama ada anda Islam, Buddha, Hindu, Christian, Tao amallah apa yang baik mengikut ajaran agama masing-masing.

Yang penting apa yang anda buat adalah untuk kebanggaan Malaysia. Datuk Lee Chong Wei telah membuktikannya. Begitu juga Datuk Nicole David, Sazali Samad, Puvaneswaran Ramasamy. Malah Tan Sri Dr. Zeti Aziz adalah kebanggaan terkini Malaysia.

Cabaran 1Malaysia kepada masyarakat yang sayangkan Malaysia dan bangga menjadi rakyat bumi bertuah ini adalah merealisasikan dan mempertahankan Malaysia sebagai hak semua rakyat bumi ini.

1Malaysia bermakna semua bangsa mempunyai asas yang sama. Yang membezakan mereka adalah kemampuan untuk mengguna peluang yang melimpah ruah.

KHUCAP

SHAH ALAM

Surat Khabar Cina

ISU-ISU AKHBAR CINA

JIKA PAKATAN PEMBANGKANG BERKUASA

SINCHEW Daily keluaran 20 Disember memuatkan laporan konvensyen pakatan pembangkang di muka hadapan.

Akhbar itu menyatakan mengenai hasrat pakatan pembangkang untuk mengarahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membeli kembali saham lebuh raya supaya menjadi hak milik kerajaan dan rakyat dapat menggunakan lebuh raya secara percuma. ‘‘Ketiga-tiga pemimpin tertinggi pakatan pembangkang berkata, jika mereka mentadbir negara ini dalam tempoh 100 hari, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan dan dan tol diberi percuma,’’ kata akhbar berkenaan.

Dalam konvensyen berkenaan, pemimpin pakatan pembangkang meminta rakyat memberi peluang kepada mereka untuk menubuhkan kerajaan di peringkat pusat supaya proses refomasi negara ini terus maju.

‘‘Pakatan pembangkang turut mengumumkan 10 pelan polisi subsidi untuk kepentingan rakyat termasuk mengubah struktur pemerintahan kerajaan supaya pulih dan mendapat kepercayaan semua,’’ tambah akhbar itu.

Antara pelan yang diumum ialah:

* Kaji semula gaji kakitangan kerajaan,

peranan dan sumbangan mereka.

* Gaji guru dinaikkan RM500.

* Rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke

atas akan dapat pampasan RM1,000

setahun.

* Syarikat air yang diswastakan melalui

kontrak khas akan diambil-alih oleh

kerajaan semula.

* Internet percuma untuk penduduk

pedalaman.

* Hapuskan kawasan Felda.

* Tingkatkan royalti minyak sebanyak 20

peratus untuk Sabah, Sarawak,

Kelantan dan Terengganu.

* Siasatan Diraja untuk isu kerakyatan

pendatang tanpa izin di Sabah.

Menurut pakatan pembangang, pelan yang dikemukakan adalah telus, lengkap dan berdasarkan demokrasi. Polisi Adil Untuk Rakyat Malaysia Dan Layanan Sama Rata. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, rakyat Malaysia yang sebenar adalah mereka yang mahukan polisi yang adil dan sama rata serta semua dilayan sama rata.

‘‘Kata Guan Eng, pakatan pembangkang berusaha keras untuk keadilan, kebenaran dan kebebasan. Barisan Nasional (BN) menggunakan pihak media dan lupa kepada orang ramai,’’ lapor akhbar itu.

KEKECOHAN DI PARLIMEN

Timbalan editor Sinchew Daily, Lim Swee Guan mengulas mengenai kekecohan di Parlimen dalam akhbar bertarikh 17 Disember. Pada pendapat beliau, sejak Mac 2008, Parlimen tidak pernah sunyi dari suasana kecoh. Kekecohan semakin teruk pada dua hari terakhir persidangan dengan empat wakil rakyat pembangkang digantung enam bulan. ‘‘Pilihan raya hampir tiba, parti pembangkang dan pemerintah kini semakin hangat dan saling bertelagah,’’ katanya.

Jelas Swee Guan, pakatan pembangkang boleh menggunakan isu penggantungan empat wakil rakyatnya untuk mendapatkan simpati rakyat.

‘‘Tetapi jika isu ini dimainkan secara keterlaluan, pakatan pembangkang mungkin mendapat impak negatif. Selama dua tahun sembilan bulan rakyat melihat banyak wayang dan pertelingkahan politik yang membosankan. ‘‘Pembangkang mahupun BN tidak tahu menggunakan kekuatan masing-masing. Mungkin pihak lain akan mendapat untung kerana pengundi yang tidak puas hati akan pilih pihak ketiga,’’ katanya.

Jelas Swee Guan, beliau tidak mahu berpihak kepada pembangkang mahupun kerajaan. ‘‘Namun dalam dua tahun sembilan bulan ini, ahli-ahli politik di Dewan Rakyat hanya membazirkan masa. Mereka tidak menumpukan kepada pentadbiran negara ini. Dewan Rakyat sudah hilang fungsi sebagai tempat berdemokrasi. ‘‘Dewan Rakyat menjadi medan perang. Satu lagi masalah besar ialah ahli Parlimen yang tidak matang,’’ katanya.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam sesi penggulungan bahas tahun lalu memuji ahli Parlimen Kepong dari DAP, Dr. Tan Seng Giaw yang berkelakuan baik sepanjang persidangan. ‘‘Seng Giaw dipuji kerana bersikap penuh sopan dan berupaya berhujah dengan baik tanpa bertikam lidah. Namun ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang berbalah langsung tidak menghormati Speaker. ‘‘Mac lalu Pandikar menjalani pembedahan jantung. Dalam mengurangkan tekanan jantung, beliau pasti mahu melihat lebih ramai Ahli Parlimen seperti Seng Giaw supaya Dewan Rakyat lebih aman,’’ jelasnya.

Tambah Swee Guan, dalam seminar sempena Jubli Emas Dewan Rakyat, Pandikar menayangkan video perlakuan Ahli Parlimen termasuk Karpal Singh yang mempertikai Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad yang tidak mengangkat tangan semasa angkat sumpah.

Dalam menolak hujah Karpal, Pandikar berkata, mungkin Abdul Latiff sakit tangan. Turut ditayangkan ialah tindakan Gorbind Singh Deo keluarkan kata-kata kurang sopan hingga dilarang masuk ke Dewan Rakyat.

‘‘Ahli Parlimen Bukit Gantang, Mohd. Nizar Jamaluddin melaungkan perkataan ‘hidup rakyat dalam Dewan Rakyat dan mengikat kain hitam isu ‘pembubaran Dewan Negeri Perak’. Jika kita menyaksikan video itu mungkin kita akan tergelak besar. ‘‘Isu sebenar kecil sahaja, perbalahan diperbesar-besarkan sehingga boleh melumpuhkan dewan. Negara membazirkan banyak duit rakyat untuk mengadakan pilihan raya, mewujudkan Dewan Rakyat dengan wakil rakyat mendapat elaun RM200 sehari. Tetapi elaun itu umpama duit yang dicampak ke laut,’’ jelasnya.

Apakah perbalahan Dewan Rakyat di negara ini akan menjadi seperti di Taiwan dan Korea? Adakah itu dikatakan lebih demokrasi? Penulis juga berharap ahli-ahli Parlimen tidak diserang sakit jantung satu hari nanti. Jika itu berlaku mungkin Parlimen Malaysia akan menempah satu lagi sejarah besar.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Undi Kecil

Air yang tenang jangan disangka tiada buaya...

PILIHAN Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)Johor kawasan Tenang bakal diumumkan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok. Ia berikutan kematian Allahyarham Datuk Sulaiman Taha minggu lalu. Pilihan raya kecil ini perlu diberikan tumpuan oleh semua parti komponan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan ia tidak terlepas ke tangan pembangkang.

Ini memandangkan DUN Tenang amat penting kepada BN bagi mengukur kemantapan dan trend sokongan yang berterusan daripada rakyat selepas berjaya mencapai kemenangan cemerlang dengan majoriti berganda dalam dua pilihan raya kecil di Parlimen Batu Sapi, Sabah dan DUN Galas, Gua Musang, baru-baru ini.

Ia juga boleh dijadikan kayu pengukur atau indikator terhadap prestasi Johor dalam perlaksanaan transformasi politik secara besar-besaran yang diutarakan dan sedang dilaksanakan oleh pucuk pimpinan BN untuk menjelajah ke negeri-negeri, peringkat Bahagian dan Cawangan diseluruh negara pada tahun depan yang bakal menjelang beberapa hari lagi.

Hasrat pakatan pembangkang untuk merebut kerusi DUN Tenang itu agak terserlah bila DAP awal-awal lagi telah membuat persiapan rapi menyusun jentera kempen seolah-olah mahu meletakkan calonnya. Tetapi akhirnya konvensyen pakatan pembangkang di Pulau Pinang bersetuju bahawa calon Pas dikekalkan bertanding di kawasan itu. Biarpun dari kaca mata politik Pas Johor dilihat tidaklah begitu menonjol seperti di Kelantan ataupun Kedah.

Kedudukan Johor yang dulunya sebagai kubu kuat BN kian merosot apabila telah ditembusi pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang lalu. Ia kini diambilalih oleh Sabah dan Sarawak sebagai simpanan tetap "fixed deposit" BN. Keputusan pembangkang itu mungkin memandangkan DUN Tenang masih menjadi 'kubu kuat' UMNO yang diterima baik oleh rakyat negeri itu.

Namun, kedudukan BN Johor khususnya DUN Tenang dalam pilihan raya umum lalu tidaklah begitu menggalakkan apabila majoriti yang diperoleh calon BN banyak merosot pada PRU-12 (2008) jika dibandingkan dengan PRU-11 (2004) dulu.

Penganalisis politik melihat kemerosotan majoriti BN di kawasan itu sejajar dengan kemerosotan majoriti dua per tiga BN di Parlimen yang dinafikan oleh pakatan pembangkang pada PRU-12. Keputusan itu sedikit sebanyak melibatkan pengundi-pengundi DUN Tenang yang terletak dalam kawasan Parlimen Labis.

Ini kerana kedudukan pengundi DUN Tenang yang hampir sama banyak antara pengundi Melayu dan bukan Melayu juga mewakili nisbah kependudukan di Semenanjung Malaysia. Jumlah pengundi Melayu di Tenang ialah 49 peratus, manakala Cina ( 38 peratus ) dan India (12 peratus).

Dalam hal ini, langkah atau jaminan bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang baru meletakkan jawatannya secara rasmi untuk "turun padang" membantu jentera kempen BN di Tenang patut dialu-alukan. Ia juga amat kena pada tempatnya memandangkan pengundi kaum India boleh menjadi undi penentu pada pilihan raya kecil itu nanti.

Selain Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Pengerusi BN dan Menteri Besar Johor,Tan Sri Abdul Ghani Othman selaku Pengerusi Badan Perhubongan UMNO/BN Negeri, mungkin ada baiknya jika Presiden MCA juga dilibatkan dengan pimpinan jentera pilihan raya DUN Tenang itu nanti.

Pelantikan seperti ini yang mungkin berlaku pada pilihanraya umum diperingkat Parlimen ataupun DUN jarang berlaku pada pilihan raya kecil yang lebih memerlukan sentuhan ajaib tokoh politik tempatan. Ini seperti dibuktikan dengan perlantikan Ahli Parlimen Gua Musang,Tengku Razaleigh Hamzah yang berjaya merampas semula DUN Galas daripada Pas dan membawa kemenangan cemerlang kepada BN tempohari.

Ini memandangkan mungkin berlaku perpecahan sokongan pengundi dari keturunan Cina yang mana Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berasal dari sana. Tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga telah melantik Datuk Chua Jui Meng sebagai Pengerusi PKR Negeri Johor. Kedua-dua "Chua" ini pernah menganggotai kabinet dengan memeggang portfolio yang sama iaitu sebagai Menteri Kesihatan yang mana Soi Lek menggantikan tempat Jui Meng yang kemudian berhijrah ke PKR.

Daripada fakta-fakta yang disebutkan, sebagai langkah berjaga-jaga, mungkin tidak salah kalau disimpulkan senario politik Johor khususnya DUN Tenang yang berhadapan pilihan raya kecil ketika ini bolehkan disamakan dengan pepatah Melayu yang amat popular iaitu 'air tenang jangan disangka tiada buaya" yang masih dipakai oleh masyarakat moden berbilang kaum di negara ini.

MAT PIAH TEH DERIS

Seri Kembangan, Selangor

Pakatan

Berjanji demi gila kuasa

Oleh Zulkiflee Bakar
PAKATAN pembangkang yang disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas berjanji lagi, kali ini atas nama program 100 hari reformasi yang diuar-uarkan melalui buku kecil ‘Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia’.

Janji terbaru itu dilaungkan pada konvensyen mereka pada Ahad lalu. Matlamat mereka hanya satu ‘mengula-gulakan’ rakyat bagi membolehkan cita-cita merampas Putrajaya tercapai dan memenuhi impian Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Soal sama ada 10 program reformasi awal yang disenaraikan dalam buku kecil itu mampu dilaksanakan atau tidak ia soal kedua. Apa yang penting rakyat ‘diperdaya’ dengan sebaik mungkin demi meraih kuasa.

PKR, DAP dan Pas ingin memberi gambaran melalui janji-janji tersebut kononnya merekalah pilihan terbaik dan ‘anugerah Tuhan’ bagi memimpin negara ini. Kalau mereka memerintah Malaysia akan menjadi negara serba sempurna dan rakyat hidup bahagia.

Tetapi sebelum rakyat terseret sama dengan janji-janji pembangkang yang tidak ubah seperti mimpi indah Labu Labi dalam filem arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, mereka perlu memikir sejenak apa yang berlaku sejak Mac 2008 apabila pembangkang mempunyai kuasa memerintah di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Cuba fikirkan apakah semua janji-janji di kesemua negeri itu sudah ditunaikan? Apakah negeri-negeri berkenaan jauh lebih baik daripada negeri-negeri yang berada di bawah Barisan Nasional (BN)?

Fikirkan juga munasabah atau tidak segala janji yang ditaburkan termasuklah terbaru mahu memberi kuasa autonomi kepada Sarawak, memberi jaminan keluarga di negara ini akan menerima gaji RM4,000 sebulan manakala semua warga emas akan mendapat RM1,000 sebulan.

Jangan lupa dan kajilah bagaimana sebahagian besar janji-janji yang dibuat oleh pakatan pembangkang di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang tidak ditunaikan sehingga kini.

Di Kedah seperti mana kata Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail segala janji yang dibuat semasa pilihan raya lalu oleh pakatan pembangkang hanya tinggal janji.

‘‘Pelbagai alasan diberikan berikutan kegagalan mereka untuk menunaikan janji, akhirnya yang menjadi mangsa ialah rakyat,’’ katanya ketika dihubungi.

Apa yang malang Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak terus berdolak-dalih jika ditanya kenapa banyak janji belum ditunaikan.

‘‘Sebab itulah tidak perlulah rakyat terpedaya pula dengan janji terbaru pembangkang semua itu bukan janji yang boleh ditunaikan sebaliknya satu pembohongan,’’ kata Mohd.Yusof.

Di Pulau Pinang pula, kepimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng bukannya menunaikan janji tetapi menjadikan janji yang dibuat ketika pilihan raya ibarat ‘tuba’ kepada rakyat.

Contoh paling mudah ialah kenaikan tarif air di negeri itu dan bagaimana penduduk Kampung Buah Pala diperbodohkan dengan sewenang-wenangnya.

Di Selangor lagi teruk, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim gagal untuk menunaikan sebahagian besar janji dalam manifesto pilihan raya 2008 yang menjadi senjata utama pembangkang menawan negeri itu.

Ini belum lagi mengambil kira pelbagai kemelut yang melanda termasuklah dalam isu mencuri pasir dan beberapa isu lain.

Di Kelantan, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih banyak mengeluarkan kenyataan politik berbanding memajukan negeri berkenaan.

Kalaulah di negeri-negeri tersebut pun banyak janji tidak mampu ditunaikan dan pemerintahan masih tunggang langgang serta penuh kekalutan, bagaimana mungkin janji-janji terbaru pakatan pembangkang mampu dilaksanakan?.

Sebenarnya, pembangkang menggunakan taktik 2008 untuk sekali lagi dipertaruhkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Dengan menyenaraikan ‘tawaran-tawaran’ yang antaranya menyentuh soal kewangan rakyat secara mendadak, mereka berharap rakyat akan menyebelahi mereka lagi.

Terbaru berjanji mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan sebanyak RM500 sebulan kepada setiap guru sebagai penghargaan.

Jangan lupa ini belum lagi termasuk janji sebelum ini untuk memberi RM1,000 sebulan kepada warga emas. Sebelum ini PKR, DAP dan Pas juga berjanji memberi imbuhan wang kepada rakyat jika mereka memerintah.

Tetapi cuba fikirkan apakah ia ditunaikan, contoh di Selangor antaranya yang dijanjikan ialah memberi bantuan RM50 sebulan bagi pendidikan pra sekolah, elaun khas ibu tunggal dan membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor. Namun semuanya tidak ditunaikan.

Oleh itu tidak perlulah lagi rakyat memeningkan kepala apatah lagi terpengaruh dengan janji-janji pembangkang kerana mereka seperti mana kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlalu gilakan kuasa sehingga sanggup menabur janji-janji palsu.

Rakyat harus faham, usaha untuk membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat bukan hanya bersandarkan kepada janji-janji kosong seperti dilakukan oleh pembangkang.

Sebaliknya, mengkaji sejauh manakah apa yang dijanjikan mampu ditunaikan atau tidak. Semua ini sudah dibuktikan oleh Najib yang melakukan perubahan dalam segala aspek demi memakmurkan negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Pembangkang boleh berjanji apa sahaja kerana tidak ada kuasa tetapi apabila sudah ada kuasa seperti mana di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor, mereka sendiri memahami untuk melaksanakan sesuatu ketika ada kuasa berbeza apabila bercakap ketika tiada kuasa.

Pembangkang tahu fakta ini tetapi sengaja menyembunyikannya kerana yang penting Pilihan Raya Umum Ke-13 seolah-olah perjuangan hidup mati mereka untuk menawan tampuk pemerintahan negara.

Selagi terdaya maka segala tipu muslihat politik akan digunakan bagi menyakinkan rakyat bahawa pembangkang perlu diberi peluang memerintah negara.

Tetapi pembangkang terlupa bahawa rakyat sudah bijak menilai. Senario 2008 sudah jauh berbeza, rakyat sudah semakin memahami kerakusan pembangkang untuk berkuasa melalui pendekatan matlamat menghalalkan cara.

Ketika BN melalui kepimpinan Najib membentangkan realiti melalui pelbagai program, pembangkang pula lebih banyak menawarkan fantasi. Sebab itulah pentadbiran di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang serta Kedah kelam-kabut serta carca-marba.

Oleh itu kita berhak bertanya siapakah sebenarnya mahu diselamatkan oleh pembangkang melalui janji yang dibuat, hendak menyelamatkan Malaysia atau hendak menyelamatkan pakatan pembangkang.

Justeru janganlah terpedaya atau terpengaruh dengan mimpi Labu Labi pembangkang yang akhirnya memungkinkan kemakmuran negara hancur dan kesejahteraan rakyat berkecai!

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Wednesday, December 22, 2010

Pendapat

Kuatkah pembangkang, lemahkah BN?

Oleh PENA

SEPANJANG 33 bulan selepas pilihan raya umum 2008, senario politik arus perdana sudah merentasi pelbagai rintangan. Walaupun di peringkat awal wujud andaian bahawa keadaan adalah tidak menentu tetapi selepas April 2009 sehingga kini, suasana sudah berubah. Ia membabitkan transisi kepimpinan dan kemudiannya disusuli dengan 'Doktrin Najib' sebagai asas transformasi nasional.

Malah, populariti Datuk Seri Najib Tun Razak melonjak naik sehingga 72 peratus berbanding dengan 56 peratus ketika mengambil alih teraju pentadbiran negara. Ia berbeza dengan pakatan pembangkang yang pada awalnya menerima sokongan daripada pelbagai kelompok berasaskan kepada harapan tinggi untuk menunjukkan ia merupakan pilihan yang konstruktif sebagai pesaing kepada Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun sokongan itu telah merudum walaupun penyokong tegar akan terus menyatakan ia masih mendapat mandat besar tanpa menyedari blok besar sokongan pada pilihan raya lalu adalah dari mereka yang melakukan undi protes dan pengundi atas pagar.

Kuatkah pakatan pembangkang dan lemahkah BN dalam konteks persekitaran politik hari ini? Apakah faktor yang boleh dijadikan sebagai penanda aras untuk menunjukkan pakatan pembangkang kuat dan BN lemah? Sebanyak 13 pilihan raya kecil telah diadakan sehingga ke hari ini, bermula di Permatang Pauh dengan yang terakhir di Batu Sapi. Keputusannya masih seri dengan tidak berpihak kepada sesiapa. Walaupun pakatan pembangkang menang lapan kerusi berbanding dengan BN sebanyak lima kerusi, pertukaran pemenang hanya berlaku di kerusi Kuala Terengganu (BN-PAS), Hulu Selangor (PKR-BN), Sibu (BN-DAP) dan Galas (PAS-BN).

Kerusi lain merupakan status quo; kekal kepada parti yang menang pada pilihan raya umum lalu tanpa menafikan bahawa setiap kemenangan merupakan motivasi dan moral kepada parti yang bertanding. Sebanyak empat pilihan raya kecil diadakan pada tahun ini dengan tiga dimenangi oleh BN. Pola sokongan di kalangan pengundi Melayu dan India rata-rata berubah perlahan-lahan dan condong kepada BN. Tetapi majoriti pengundi Cina masih menunjukkan kesetiaan terhadap pembangkang.

Perubahan sokongan ini berkait rapat dengan kepimpinan Najib yang dilihat menunjukkan komitmen ke atas nilai kemasyarakatan untuk menjana transformasi bersama. Bersifat inklusif, ia merupakan suntikan kepada nilai kewibawaan dan legitimasi politik BN. Barangkali, apabila gagasan 1Malaysia dan pelan transformasi yang lain seperti Pelan Transformasi Kerajaan, NKRA, Model Ekonomi Baru, Pelan Transformasi Ekonomi dan RMK-10 menunjukkan hasil akhir yang lebih positif akhir tahun hadapan, ia akan mempunyai signifikasi ke atas BN dan Najib. Kerana buat masa ini, majoriti yang menunjukkan sokongan ke atas kepimpinan Najib masih mengambil sikap berhati-hati sebelum memberi reaksi secara terbuka kepada BN.

Cabaran besar adalah bagaimana untuk menukar minda masyarakat apabila pesaing BN sering mengaitkan apa sahaja kepincangan dalam sistem termasuk yang berlaku di Parlimen dengan BN. Serta menjayakan perubahan dalam masa 100 hari mentadbir pusat jika menang pada pilihan raya umum akan datang. Dengan kedudukan lebih stabil yang turut memberi keabsahan kepada pentadbiran beliau, kini Najib memberi tumpuanterhadap transformasi politik yang perlu dirungkai dalam gabungan besar BN yang jelas menerusi konvensyen BN baru-baru ini sehingga berubah pendekatan dari bersifat defensif kepada ofensif.

Beralaskan kepada konsep 1Malaysia yang telah menunjukkan tanda-tanda positif di beberapa pilihan raya kecil, apa yang diperlukan oleh BN adalah memastikan isu kepartian ditangani secara berhemah. Ia termasuk isu calon dan jentera parti. Kerana kekuatan BN bergantung kepada keupayaan menggembleng keseluruhan jentera secara holistik dan berpasukan dalam usaha merapatkan barisan sekiranya tidak mahu mengulangi kesilapan 2008.

Barangkali yang perlu diasah adalah untuk memujuk pengundi dalam isu kenaikan harga barang, jenayah, rasuah dan kesamarataan yang akan digunakan oleh pakatan pembangkang. Isu Teoh Beng Hock, pendakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) perlu diberi keadilan sewajarnya di mahkamah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Kelemahan lawan hanya bonus kepada BN dan bukan faktor penarik yang bersifat kekal. Muhasabah melalui amanat Najib boleh menjadi enjin untuk menerajui perubahan. Sekali gus menolak ungkapan 'berubah sekarang' yang cuba ditonjolkan oleh pakatan pembangkang.

Yang perlu diteliti adalah bagaimana gagasan kebangsaan akan dibekalkan kepada orang kampung di luar bandar? Adakah kemahuan, keperluan dan pemikiran mereka digalas dalam agenda besar nasional?

Bagi pakatan pembangkang, walaupun mahu menunjukkan kejaguhan sebagai alternatif kepada BN, rata-rata tidak dapat mengekalkan momentum ketika pesaingnya sedang mengemaskan jentera politik mereka. Krisis keyakinan dan kepercayaan melanda dan ketara ketika pemilihan parti PKR dan DAP yang baru berakhir. Secara berterusan, Anwar sedang berhadapan dengan krisis yang sekiranya berpanjangan boleh menyebabkan beliau dilihat sebagai liabiliti dan bukan lagi aset. Walaupun ada yang beranggapan ia akan menambah sokongan kepada pakatan pembangkang kerana sentimen populis.

Pada waktu yang sama, pendedahan Wikileaks, pendakwaan di mahkamah dan penggantungan di Parlimen akan dinilai oleh pemerhati politik tanah air. Yang menarik adalah bagaimana isu Wikileaks dan kemelut dalaman PKR diminimakan dari sebutan dan kritikan umum. Ia serta merta dialih perhatian terhadap isu penggantungan di Parlimen dan persediaan pakatan pembangkang menjelang PRU-13 pada konvensyen pakatan pembangkang baru-baru ini. Kelincahan percaturan politik secara terancang ini sepatutnya menyedarkan BN kedudukan mereka kerana yang melemahkan BN adalah 'jentera manipulasi kreatif' dan bukan kewibawaan kepimpinan.

Maka, konvensyen kebangsaan pakatan pembangkang dijadikan landasan untuk menunjukkan wujudnya 'solidariti'. Walaupun kepimpinannya akur wujud kelemahan dan masalah keyakinan ke atas parti gabungan mereka. Tinjauan sokongan yang dilakukan oleh pelbagai pihak menunjukkan pakatan pembangkang tidak lagi meraih sokongan sebagaimana yang dilihat 33 bulan lalu. Kerangka Common Policy Framework (CPF) dilihat tidak efektif atau perlahan yang boleh memberi kesan pentadbiran di Kedah dan Selangor. Dalam konteks ini, benarkah pakatan pembangkang kuat atau sekadar bergantung kepada kelemahan BN untuk mendapatkan sokongan simpati dari umum semata-mata.

Atau selepas hampir tiga tahun, mereka masih mahu menyalahkan pihak lain dan kurangnya pengalaman jika diteliti prestasi negeri-negeri yang ditadbir oleh mereka sehingga mengedarkan 'dokumen jingga' untuk melenyapkan sebarang kritikan.

Konvensyen BN berbeza dengan pakatan pembangkang. BN tidak perlu membincangkan 'kemuafakatan' tetapi memperkasakan ikatan tersebut. Ini kerana masing-masing sudah mempunyai pemahaman ke atas tingkah laku politik rakan dalam gabungan tersebut. Walaupun ada kalanya isu sensitif menyebabkan wujud rasa tidak setuju antara satu sama lain. Adakah parti komponen pakatan pembangkang mengenali gerak kerja sesama mereka serta pengembangan ideologi politik kepartian yang masih menjadi 'penghalang' kepada nilai 'solidariti' yang cuba dipamer melalui konvensyen mereka? Atau pemikiran sebagai 'pembangkang' terus menyukarkan pakatan pembangkang untuk bersetuju ke atas pendaftaran logo, manifesto dan perjuangan yang sama?

Dengan berakhirnya konvensyen pakatan pembangkang, ia akan menganggap sudah bermula satu era 'kebangkitan'. Sedangkan golongan yang tidak mempunyai ikatan kepartian mahu satu kepastian bukan dari kelemahan BN.

Tetapi adakah 'kerjasama kekal' dapat dibentuk atau ia akan bersifat retorik sahaja. Pencapaian sebenar di setiap negeri juga mahu dinilai walaupun konvensyen itu menunjukkan ia komited untuk berubah. Ketiga-tiga parti pasti boleh melihat siapakah yang mendapat lonjakan sokongan dari konvensyen itu dan bagaimana manipulasi politik memenangkan hanya satu dan bukan semua dalam pakatan pembangkang.

Calon, isu dan elemen kepartian akan mendasari PRU-13 kerana provokasi berlebihan hanya akan meningkatkan emosi pengundi tegar dan bukan pengundi dari kategori lain. Apabila kekuatan dan kelemahan dikaji, dibuat telahan secara jujur atau semata-mata mahu berkuasa, maka politics is the art of the possible menyebabkan para politikus bersedia untuk menggunakan apa sahaja mekanisme untuk pertahankan kepentingan diri dan bukan parti.

Pasca Mac 2008 menunjukkan bahawa politik tanah air tiba-tiba berada di persimpangan. Sama ada dijinakkan oleh 'berubah sekarang' ataupun meneruskan tradisi 'kestabilan dalam menerajui perubahan dari sistem sedia ada'. Pengundi yang rasional dan praktikal sudah tidak bergantung kepada emosi, kemarahan dan kekecewaan 2007-2008. Tetapi, keyakinan dan kepercayaan umum masih bergantung kepada sejauh mana pemimpin mempertahankan hak mereka dalam melahirkan masyarakat saksama yang boleh dilihat melalui cara berfungsi sebagai representasi politik yang dipilih.

Umum akan menentukan siapakah yang kuat atau lemah berdasarkan kepada keutamaan dan tafsiran masing-masing. Kerana politik juga kadang-kadang memuakkan segelintir rakyat yang dahagakan 'kematangan' dan 'politik bermoral atau berhemah'. Seiring dengan proses pembaharuan pasca Mac 2008 tanpa bersifat populis sepanjang masa.

PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia

Tuesday, December 21, 2010

Kerana Melayu


Kualiti siswa isu subjektif
Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TIADA BEZA...kejayaan adalah hak milik individu tanpa mengira kaum, latar belakang atau status.
TIADA BEZA...kejayaan adalah hak milik individu tanpa mengira kaum, latar belakang atau status.

SEJAK sekian lama mahasiswa Melayu dilemparkan pelbagai tanggapan negatif yang bukan saja mencalarkan maruah bangsa, malah mencacat celakan kredibiliti sistem pendidikan negara yang bertanggungjawab melahirkan graduan saban tahun.

Menolak ke tepi rasa tanggungjawab dan sensitiviti masyarakat, mereka dengan mudah memperlekehkan pencapaian graduan ini kononnya gagal bersaing, kelulusan hanya cukup makan selain terbabit dengan pelbagai gejala sosial.
sebelum selepas

* Foto

ILMU...pencarian ilmu bukan mudah dan memerlukan sokongan pelbagai pihak bagi melahirkan graduan cemerlang, berdaya saing serta mampu memenuhi piawaian majikan.
* Foto

TIADA DISKRIMINASI...semua berpeluang memperoleh pendidikan setara dan mengecapi pelbagai kemudahan serta keamanan negara tanpa prejudis.
* Foto

LUAH PENDAPAT...mahasiswa Melayu perlu menunjukkan kemampuan dan berani menyahut cabaran supaya tidak mudah diperkotak-katikkan mereka yang mempunyai propaganda tersendiri.

Stigma itu bukan saja mewujudkan pelbagai persepsi negatif, malah bagai memperkotak-katikkan harga diri mahasiswa yang berjuang di menara gading demi segulung ijazah.

Persoalannya, benarkah �mahasiswa Melayu begitu lekeh hingga mudah �mengaku kalah?

Apakah ia agenda pihak tertentu yang sengaja mencari publisiti murahan demi melunaskan hajat masing-masing?

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata bukan isu baru mahasiswa Melayu dilemparkan pelbagai tanggapan negatif.

Beliau berkata, sikap itu bukan saja boleh mencetuskan pelbagai masalah, malah menggugat sistem pendidikan negara yang telus memberi pendidikan tanpa mengira latar belakang individu.

“Sistem pendidikan negara tidak pernah membezakan antara satu sama lain, semua�nya berhak menerima pendidikan setara. Malangnya ada individu tidak melihat kelebihan itu, malah lebih senang membuat propaganda sendiri.

“Mahasiswa Melayu diperlekehkan tanpa usul periksa. Tindakan ini tidak adil kerana bukan saja menjatuhkan maruah, malah memberi kesan kepada institusi, keluarga, �masyarakat dan majikan.

“Ia tidak sepatutnya dipolitikkan kerana isu ini boleh menggagalkan usaha mencapai matlamat pembangunan jangka panjang,” katanya.

Isu prejudis terhadap mahasiswa Melayu sudah lama timbul antaranya membabitkan kuota kaum di universiti, pinjaman pendidikan dan penggunaan bahasa Melayu.

Ada juga tuduhan menyatakan mahasiswa Melayu memperoleh pelbagai keistimewaan hingga menjejaskan pencapaian di menara gading selain malas berfikir, teknik pembelajaran lemah serta mengamalkan budaya belajar di saat-saat akhir.

Mengulasnya, beliau berkata itu hanya persepsi semata - mata kerana pencapaian mahasiswa Melayu pada hari ini sangat mengagumkan setara bangsa lain tanpa memperoleh apa-apa keistimewaan.

Kualiti mahasiswa ini, katanya, bersifat subjektif dan tidak tertumpu kepada satu golongan semata-mata sebaliknya bergantung pada individu.

“Kualiti graduan Melayu lemah hanya persepsi dan khabar angin. Pencapaian graduan bersifat subjektif, ada cemerlang, begitu sebaliknya.

“Betulkan persepsi itu, buka minda dan lihat senario tanpa prejudis. Jika ada kelemahan, perlu diperbetulkan, bukan mengutuk demi kepentingan diri sendiri,” katanya.

Katanya, usaha melahirkan graduan yang menepati keperluan industri dan masyarakat bukan mudah dan menghadapi banyak.

“Ramai tidak melihat kesungguhan institusi, sebaliknya suka memperbesarkan isu remeh. Ini kerugian besar kepada anak bangsa kerana tidak mendapat sokongan padu masyarakat,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan majikan mengiktiraf kebolehan mahasiswa Melayu dan tidak timbul isu gagal bersaing.

“Ramai graduan Melayu membuktikan kecemerlangan dan menguasai pelbagai bidang pekerjaan atau berpendidikan tinggi.

“ Kemampuan graduan ini sudah lama diperakui hingga ke peringkat antarabangsa.
“Justeru, tidak wujud konsep diskriminasi pencapaian atau peluang berdasarkan bangsa, ia bergantung pada keupayaan masing-masing meraih kepercayaan majikan,” katanya.

Mengulas tindakan segelintir pihak menyalahkan institusi jika gagal melahirkan graduan Melayu cemerlang, beliau berkata, institusi bertanggungjawab menyediakan pelbagai peluang dan kemudahan, namun tidak menjamin kejayaan mereka.

“Apabila berlaku kemerosotan pencapaian, hanya universiti ditempelak dan dipersalahkan. Kami hanya menyediakan peluang, mahasiswa bertanggungjawab merencanakan masa depan.

“Justeru, berilah sokongan dan jangan memperbesarkan isu yang boleh mengganggu gugat masa depan generasi menara gading,” katanya.


INFO

Antara faktor utama �mengapa masyarakat sering memandang serong pada pencapaian �mahasiswa Melayu:

# Kurang matang pemikiran.

# Bersikap negatif dan memerlukan motivasi.

# Berjaya apabila suasana terkawal tapi boleh berubah kepada positif atau negatif jika berlaku kejutan budaya.

# Memerlukan banyak bantuan daripada �persekitaran dan tidak pandai berdikari.

# Belajar atau melakukan tugasan pada saat akhir, kurang peka, malas berfikir dan bersikap suka bertangguh.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Guan

Guan Eng semakin bersikap perkauman

MUNGKIN Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak tahu atau tidak faham dengan peribahasa Cina iaitu Cónglái bu xie le yi feng xìn, ér ni shì shengqì (never write a letter while you are angry). Kerana itu Guan Eng telah dikecam hebat dek kenyataan beliau semasa konvensyen pembangkang baru-baru ini.

Apakah pembaca lebih 200,000 naskhah sehari Utusan Malaysia boleh diperlekehkan sebagai bukan rakyat Malaysia tulen seperti tuduhan Guan Eng?

Inilah persoalan asas yang perlu direnungi bersama. Kita tentu marah kerana Guan Eng nampaknya telah membesarkan skop kebencian beliau yang kini bukan sahaja melibatkan parti Barisan Nasional (BN) dan UMNO, tetapi rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Dan sudah tentu kita tidak dapat lari daripada memikirkan bahawa Guan Eng semakin benci dengan kaum Melayu kerana orang Melayulah yang membaca Utusan Malaysia!

Adalah tidak adil apabila seorang cauvinis mempersoalkan kerakyatan seseorang warganegara hanya kerana membeli surat khabar Utusan Malaysia. Ia ternyata menyerlahkan lagi kebaculan dan keangkuhan Guan Eng yang semakin tidak sedar diri tentang kepincangan dan ketidakupayaan beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selama ini.

Realitinya, Guan Eng adalah seorang diktator yang tidak mahu menerima sebarang kritikan meskipunia bertujuan memperbetulkan sikap beliau yang rasis dan berat sebelah.

Malah, tuduhan Guan Eng yang mempertikaikan kerakyatan mana-mana pihak yang 'meraikan' tragedi 13 Mei juga merupakan satu tuduhan yang melulu dan tidak berasas.

Hakikatnya, tidak ada satu pihak pun yang mahu 'meraikan' tragedi 13 Mei. Tetapi pihak-pihak ini mahukan tarikh itu diingati terutamanya tentang betapa rapuhnya keamanan di antara kaum-kaum di negara ini jika sensitiviti di antara kaum-kaum tidak dijaga dengan nyawa dan raga.

Adalah tidak salah, malah patut digalakkan apabila ada pihak yang sentiasa prihatin dan saling ingat-mengingati sesama kita, rakyat Malaysia.

Kelantangan Guan Eng mempersoalkan isu 'meraikan' tragedi 13 Mei tentunya mendatangkan persoalan. Kenapa Guan Eng melenting? Apakah kerana beliau tidak mahu rakyat lebih berminat untuk mengetahui sebab-sebab berlakunya tragedi tersebut atau tidak mahu rakyat tahu tentang penglibatan aktif parti DAP yang mencetuskan tragedi 13 Mei?

Jika Guan Eng berfikiran rasional, beliau sepatutnya bersikap positif tentang tragedi tersebut kerana ia telah lama berlaku dan kita boleh berubah demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

DAP boleh berubah sama seperti sekarang yang mana parti tersebut sudah bersekongkol dengan Pas meski pun parti tersebut tidak mungkin akan bersetuju dengan perjuangan 'Islamik' Pas.

Seperkara lagi, Guan Eng ternyata tersalah langkah apabila menimbulkan isu 3R (Race, Religion dan Royal) yang kononnya diperalatkan oleh BN dan UMNO.

Tuduhan melulu beliau itu jelas menunjukkan seorang pemimpin DAP yang tidak pernah menghargai pencapaian dan kemakmuran yang telah dikecapi oleh Malaysia selama ini.

Apakah Guan Eng buta mata dan hati sehingga tidak nampak pencapaian ekonomi dan pendidikan bangsa beliau sendiri di negara ini?

Jika benar parti UMNO hanya mementingkan bangsa Melayu sahaja, tidak mungkin bangsa-bangsa lain yang menerajui ekonomi negara.

Selama ini, tidak pula timbul cetusan dan perbandingan di antara kaum-kaum yang deskruktif dan sehebat ini. Tetapi ia semakin menyerlah dan mendatangkan keresahan kita semua. Ini semua adalah hasil daripada modus operandi parti DAP sendiri dan diberi lampu hijau oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Parti DAP dan pakatan pembangkang yang berulang kali mengaitkan UMNO dengan 'ultra-Melayu' di setiap ceramah, perjumpaan dan sidang akhbar, jelas menunjukkan ulangan kepada modus operandi parti pembangkang sebelum ini yang melabelkan UMNO/BN sebagai parti rasuah.

Modus operandi sebelum ini mungkin hampir berjaya menimbulkan persepsi negatif terhadap parti UMNO dan BN. Tetapi kali ini, Guan Eng telah tersilap langkah.

Hari ini beliau bukan sahaja berdepan dengan UMNO dan BN sahaja tetapi rakyat Malaysia terutamanya kaum Melayu. Tetapi bak perpatah Melayu, terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya!

DR. NOVANDRI HASAN BASRI

Gelugor, Pulau Pinang

Cupak

Menang secupak, rugi segantang

Adalah tidak sihat kepada sebuah kerajaan apabila hanya mahu mendengar pujian semata-mata. Tentu sekali sama tidak sihatnya apabila yang tidak memerintah hanya tahu memperlekeh hasil positif kerajaan.

Begitu juga dalam hal mengkritik, ia adalah sihat sama seperti reaksi terhadap kritikan itu. Tetapi yang selalu berlaku ialah yang dikritik dan mengkritik terbelenggu dengan perilaku untuk memusnahkan. Mereka sengaja menempatkan diri sebagai seteru walaupun mengaku mewakili suara rakyat.

Inilah yang sedang dilakukan oleh pakatan pembangkang. Tidak pernah dalam sejarah 53 tahun Malaysia - sejak Mac 2008 - kita terpaksa makan, minum dan tidur dengan gembar-gembur politik. Semua hal dan peristiwa mahu disalut dengan kepentingan politik.

Lihatlah di Dewan Rakyat, yang sepatutnya menjadi tempat mulia menyuarakan hati nurani rakyat, didominasi dengan pertengkaran penuh keegoan dan aksi ala demonstrasi. Suara pemeriksa dan pengimbang jarang-jarang kedengaran. Mereka menggunakan tipu helah bersuara rakyat tetapi yang dijaja sebenarnya adalah kepentingan peribadi, kelompok dan nafsu memburu kekuasaan.

Mereka bersuara tidak diberi keadilan tetapi realitinya merekalah yang meranapkan keadilan. Mungkinkah adil bagi mereka jika boleh sesuka hati menyalahgunakan Dewan yang mulia? Mungkinkah adil bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), Azmin Ali (PKR - Gombak); R Sivarasa (PKR - Subang) dan Karpal Singh (DAP - Bukit Gelugor) jika boleh berbuat apa sahaja perbuatan yang melanggar peraturan.

Bagaimana pula wakil rakyat di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor yang juga telah dikenakan tindakan gantung daripada menghadiri sidang Dewan? Apakah itu bukan keadilan atau ia menggambarkan demokrasi telah runtuh?

Lihatlah di Dewan Undangan Negeri Perak, kerajaan yang disahkan oleh mahkamah dan Perlembagaan serta diperkenan oleh Sultan, terus-menerus dikata tidak sah. Mereka tetap bangga menggunakan perkataan perampas, sedangkan pertukaran kerajaan berlaku kerana sikap mereka sendiri.

Lihatlah politikus yang melenting dicap rasis, sedangkan mereka mudah menuduh orang lain sedemikian. Mereka berkata memperjuangkan kebebasan dan ketelusan tetapi media disekat daripada melaporkan perkara sebenar. Malah peruntukan negeri digunakan untuk menggerakkan propaganda parti, bukannya menyebar maklumat mengenai program kerajaan negeri.

Mereka marah dan tangkas mengumpulkan rakyat kononnya bagi menjelaskan fitnah dan konspirasi tuduhan liwat, sedangkan mahkamah telah memutuskan ia pernah berlaku tetapi tidak disabitkan kesalahan kerana masalah teknikal. Kumpulan ini juga marah digelar komunis tetapi sesenang hati mengata pemimpin lawan bukan rakyat Malaysia sebenar.

Dan terbaru, mereka melancarkan program 100 hari yang kononnya akan dilaksanakan jika PKR, Pas dan DAP berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak. Ia adalah janji terbaru pakatan pembangkang untuk melaksanakan reformasi menyeluruh pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan.

Rupa-rupanya dalam sinikal memperlekeh Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan pembaharuan lain yang kini sedang rancak digerakkan, mereka cuba 'menculik' program negara dan rakyat itu. Mereka menjanjikan 'dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan program itu."

Cuba kita imbas antara program 100 hari itu yang tujuannya mengajak rakyat Malaysia, pengundi yang berdaftar supaya 'ubah sekarang, selamatkan Malaysia':

* Reformasi institusi penting negara seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pejabat Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.

* Mansuhkan ISA, mengarahkan Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk menyempurnakan pengambilalihan aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol.

* Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

* Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan sebanyak RM500 sebulan kepada setiap guru sebagai penghargaan.

* Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan dan menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

* Membatalkan Felda Plantations bagi membuka ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga FELDA dan menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20 peratus.

* Menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di Sabah.

Sebahagian besar daripada reformasi yang diimpikan untuk dilaksanakan pada hari pakatan pembangkang menawan Putrajaya itu, kini sudahpun digerakkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Mereka pun sedar perkara itu kerana sama ada di podium ceramah, Dewan dan media, merekalah antara pihak yang berterusan memperlekeh program mahupun projek transformasi berkenaan.

Kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak telah berubah. Perubahan yang mengutamakan kehendak rakyat dan memperkasakan sistem penyampaian kerajaan sedang dilaksanakan, bukan lagi sekadar impian di atas kertas. Cuma, tentu sekali cara dan pendekatannya berbeza dengan reformasi pakatan pembangkang itu.

Lihatlah semasa BN mengakui era kerajaan tahu segala-galanya telah berakhir, pakatan pembangkang pula berfikir sebaliknya. Projek-projek dalam ETP umpamanya yang digarap hasil gabungan minda pelbagai pihak, telah pun disebarkan kepada umum melalui hari terbuka. Orang awam termasuk pembangkang boleh mengkritik, malah memperbetulkan jika masih ada kepincangan. Kerajaan sentiasa mengalu-alukan kritkan membina.

Jelaslah program impian 100 hari yang mereka uar-uarkan pada konvensyen pekatan pembangkang Ahad lalu, bukanlah perkara baru. Begitulah cekapnya politikus 'menculik' program-program yang kini sedang dilaksanakan dan kemudian mengaku pula ia adalah perjuangan mereka.

Mungkin benar seperti nasihat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa berucap pada konvensyen pakatan pembangkang itu bahawa "janganlah kita untung secupak tetapi rugi segantang dalam pertimbangan..."

Masih banyak kelemahan di negeri-negeri yang mereka tadbir - Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan. Perbaiki yang itu dulu dan tunjukkan prestasi. Perhalusilah ucapan Abdul Hadi bahawa 'pakatan pembangkang perlu bermuhasabah diri dengan pencapaian selama ini ketika memerintah beberapa negeri, selain menilai kelemahan dasar dan pelaksanaan masing-masing.

Tanpa diragui, pemimpin adalah pemain utama untuk membangun mahupun menghancurkan agama, bangsa dan negara. Baik pemimpin, baiklah negara. Jahat pemimpjn, ranaplah bangsa. Fikirkanlah.

Sunday, December 19, 2010

Perubahan

Lihatlah lima realiti perubahan

Perubahan. Adakah benar masyarakat berubah? Negara berubah? Dunia berubah? Atau sebenarnya tidak ada perubahan. Apa yang dirasakan perubahan itu adalah sebenarnya pergantian manusia yang ada dalam masyarakat, negara dan dunia.

Manusia sendiri tidak berubah. Apa yang dilihat sebagai perubahan adalah proses pergantian sel-sel tubuh badannya, dari kanak-kanak, sel-selnya berganti dan jadilah ia remaja, dewasa dan akhirnya tua,

Perubahan fizikal tubuh manusia ini menyebabkan seseorang itu dirasakan berubah. Dari lemah ketika kanak-kanak, menjadi kuat semasa dewasa, dan selanjutnya lemah ketika tua.

Keadaan fizikal inilah yang menyebabkan manusia itu dilihat sebagai berubah. Perangainya, kelakuannya dan bagaimana ia berinteraksi dengan alam sekelilingnya. Tetapi apa yang tidak menerima kesan daripada perubahan sel itu, maka ia tetap seperti itu.

Dalam otak, ada sel ingatan yang mati, maka hilanglah ingatannya terhadap sesuatu perkara. Tetapi bagi sel yang terus hidup, maka ingatan di dalamnya juga kekal, iaitu untuk sementara waktu individu itu bernyawa.

Maka akhirnya fizikal manusia sampai ke penghujungnya untuk berfungsi, hilanglah satu nyawa. Secara bergiliran manusia akan meninggalkan dunia.

Tentulah penggantinya tidak serupa. Anak-anak dan cucu-cucunya tidak serupa. Maka dengan silih berganti, tentunya masyarakat berubah.

Generasi berganti generasi. Apabila perubahan itu berlaku, maka pada hakikatnya ia merupakan hasil daripada perbezaan generasi.

Tentulah generasi yang terkemudian tidak serupa dengan yang terdahulu. Maka keadaan ini dilihat seolah-olah bahawa perubahan tidak dapat dielakkan. Sedangkan apa yang berlaku dalam masyarakat bukannya perubahan tetapi adalah pergantian generasi. Iaitu generasi sekarang adalah berbeza daripada dahulu.

Maka menjelang berakhirnya tahun 2010 ini, saya ingin menarik perhatian kepada lima realiti yang dilihat sebagai perubahan.

Pertama mengenai akhbar. Kedua mengenai politik. Ketiga mengenai daya saing negara. Keempat mengenai kuasa besar. Kelima mengenai perubahan iklim.

Sebagai seorang yang berkecimpung dalam dunia penerbitan akhbar, majalah dan buku selama 30 tahun maka seringlah diajukan soalan bolehkah akhbar arus perdana kembali gemilang seperti dahulu.

Akhbar harian ringan dan picisan tidak termasuk dalam kategori ini.

berita

Maka saya jawab bahawa ketika saya berusia 15 tahun, saya menjimatkan wang belanja sekolah saya untuk membeli akhbar seminggu sekali, itulah yang saya mampu ketika itu. Saya beli The Sunday Times dan Mingguan Malaysia. Oleh kerana saya kekurangan wang, saya beli Mingguan Malaysia second hand pada hari Isnin daripada kawan saya dengan separuh harga.

Hari ini ketika saya membawa semua akhbar arus perdana bahasa Melayu dan Inggeris pulang ke rumah setiap hari, tidak ada seorang pun anak saya menyentuhnya. Mereka mendapatkan semua berita daripada komputer.

Generasi yang membaca akhbar, majalah dan buku akan semuanya meninggal dunia. Tetapi anak-anak dan cucu-cucunya hanya membaca di komputer dan telefon pintar. Itu realiti pertama.

Dengan kesedaran tentang perbezaan generasi, maka berlumba-lumbalah parti politik hendak mendapatkan sokongan generasi baru. Satu-persatu generasi lama meninggal dunia.

Maka generasi baru mempunyai fikiran berbeza mengenai politik. Berhujah dengan mereka adalah seperti menasihati anak-anak sendiri. Mereka dengar dan adakala tanya soalan dan minta kita cerita tentang kisah-kisah lama.

Itu saja. Yang lain daripada itu, mereka mempunyai fikiran sendiri. Mereka baca macam-macam melalui Internet. Daripada Twitter, facebook, YouTube hinggalah ke WikiLeaks. Akhirnya hanya mereka yang menentukan masa depan sendiri. Kita hanya menyediakan apa yang termampu untuk kebahagiaan mereka.

Akhirnya mereka akan menggantikan tempat-tempat kita dalam masyrakat, negara dan dunia. Pada masa itulah mereka akan membuat keputusan, mungkin ia jauh daripada apa yang kita harapkan. Tetapi mungkin apa yang dilakukannya adalah sesuai untuk dunia mereka. Itu realiti kedua.

Realiti ketiga dan keempat pula merujuk kepada daya saing negara-negara di dunia.

Generasi berganti generasi berlaku bukan saja di Malaysia, tetapi tentunya di seluruh dunia. Di negara lain, yang dahulunya didiami oleh generasi lemah sudah pula digantikan dengan generasi yang lebih kuat dan dinamik.

Apa yang berlaku nanti, adakah generasi baru Malaysia mampu bersaing dengan generasi seangkatannya dari negara lain, umpama dari Indonesia, Vietnam, India dan China?

Dengan penduduk ramai, bermakna pasaran besar, mereka mampu memecut pembangunan dan kemajuan negara masing-masing.

Kalau sejak 20 dan 30 tahun lalu, Malaysia pesat membangun tetapi pada masa akan datang persaingan dalam sistem modal global, negara ini harus mencari kedudukan yang boleh diterima sebagai rakan kongsi pembangunan negara-negara besar itu.

Itulah realiti ketiga. Indonesia mampu bangkit lebih daripada negara-negara lain di Asia Tenggara. Jika itu berlaku, maka Bahasa Indonesia akan turut bangkit .

Bahasa Indonesia adalah bahasa Melayu versi Indonesia. Maka tentu Bahasa Malaysia akan turut maju jika negara ini ikut dipertautkan dengan kemajuan ekonomi Indonesia.

Realiti keempat ialah persaingan kuasa besar di peringkat global. Jika generasi baru China dapat menyaingi golongan muda Amerika Syarikat dalam pelbagai bidang, maka kepesatan negara komunis itu akan akhirnya menjadikannya sebuah kuasa besar.

Tetapi semua generasi akan datang harus menghadapi realiti kelima iaitu perubahan iklim.

Kuda

Tungganglah

Bisik-Bisik Mingguan AWANG SELAMAT

Apa lagi muslihat DAP? Banyak sebenarnya. Salah satu yang boleh dibaca ialah sokongan kepada Anwar Ibrahim. Awang tertarik dengan kenyataan Ahli Parlimen bebas, Zulkifli Noordin bahawa para pemimpin DAP tahu Anwar terlibat dengan kegiatan liwat. Namun mereka tetap menyokong Anwar kerana mahu menjadikannya sebagai kuda tunggangan.

Menurut Zulkifli, berdasarkan laporan hansard Parlimen bertarikh 22 Oktober 1997, Karpal telah mengemukakan bukti beliau mempunyai dokumen akuan bersumpah beberapa orang yang mendakwa diliwat oleh Anwar. Beliau juga pernah meminta Anwar bertaubat dan menggesa supaya berundur kerana tidak layak lagi menjadi pemimpin. Tetapi DAP tiada pilihan kerana Anwar masih menjadi harapan terbaik mencapai agenda besar parti itu. Kepada Lim Kit Siang, Guan Eng mahupun Karpal, tungganglah Anwar semahu-mahunya. Dia memang boleh ditunggang. Apatah lagi, Anwar sangat terdesak untuk terus mendapatkan sokongan kaum Cina yang dijana oleh DAP. Ini menjadikan pakatan pembangkang lebih dicorakkan oleh DAP dan PKR sementara Pas menjadi picisan dan pak turut. Tidak hairanlah permuafakatan tersebut diumpamakan oleh Zulkifli sebagai pakatan syaitan. Ia merugikan umat Islam dan menggugat kepentingan agama. Konvensyen pakatan pembangkang yang berakhir hari ini, akan menjadikan DAP lebih dominan dan semakin sukar digugat. Itulah kebodohan politik Melayu.

Kisah

DAP, rasis, Kuan Yew dan Anwar

Bisik-Bisik Mingguan AWANG SELAMAT

Beberapa pemimpin DAP melenting apabila Awang menyifatkan DAP adalah parti paling rasis di dunia dalam satu tulisan menerusi ruangan ini awal November lalu.

Mereka marah dan ada yang mencabar Awang agar tampil berdebat tetapi untuk apa dilayan.

Yang penting Awang tidak berganjak daripada pandangan itu. Tidak boleh disangkal lagi, DAP memang parti rasis walaupun cuba berselindung atas slogan demokrasi.

Hakikatnya, DAP lebih menumpukan perjuangan untuk kaum tertentu sahaja. Itulah agenda besar parti tersebut yang matlamat akhirnya untuk membawa Malaysia menuju negara republik. Laungan kononnya parti itu mengutamakan rakyat Malaysia dahulu, kaum kemudian - hanyalah sandiwara.

Bukan setakat agenda dan hala tuju, jawatan utama dalam DAP sejak dahulu lagi dikuasai oleh satu kaum walaupun mendakwa parti itu dianggotai pelbagai kaum.

Pemimpin-pemimpin kaum India dalam DAP misalnya tidak mendapat tempat sewajarnya meskipun peranan mereka cukup signifikan. Kegagalan Naib Pengerusi DAP Perak, M. Kulasegaran mempertahankan jawatannya baru-baru ini menjadi bukti. Beliau adalah mangsa muslihat politik kaum dalam DAP yang sebenarnya cukup tebal.

Terbaru, pelantikan Chow Kon Yeow sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang mencetuskan persoalan. Sepatutnya Jagdeep Singh dilantik kerana mendapat jumlah undi tertinggi dalam pemilihan anggota jawatankuasa negeri.

Begitu juga kedudukan Timbalan Ketua Menteri, Prof. Dr. P. Ramasamy, yang dilihat sekadar kosmetik. Ternyata, pemimpin India dalam DAP dipinggirkan secara sistematik. Lalu Awang ingin bertanya buat kesekian kalinya kepada Setiausaha Agung yang juga Ketua Menteri, Lim Guan Eng, siapa yang sebenarnya rasis?

Itu belum menyentuh tentang nasib segelintir Melayu dalam DAP, lagi menyakitkan hati. Mereka hanya menjadi boneka untuk dipergunakan sebagaimana dilakukan pemimpin utama PAP Singapura, Lee Kuan Yew menjinakkan Melayu suatu masa dahulu. Berdasarkan sejarah, PAP dan DAP daripada benih perjuangan yang sama. Kini strategi PAP digunakan oleh DAP. Parti tersebut sedang memperhebatkan usaha menarik seramai mungkin Melayu menjadi ahli dan penyokongnya.

Cubalah kita renungkan kembali kepada dekad 1960an. Apakah beza pendekatan yang digunakan oleh PAP dahulu dan DAP sekarang, jawapannya - sama sahaja. Pada waktu itu, Kuan Yew dalam usaha mendapatkan sokongan Melayu melakukan apa sahaja yang menjadi harapan orang Melayu. Beliau banyak berinteraksi dan mendampingi orang Melayu. Malah aktif melawat masjid dan surau sambil memberi ucapan yang manis-manis bagi melegakan orang Melayu. Apabila Kuan Yew dan PAP semakin kukuh berkuasa, akhirnya Melayu tidak lagi diberi perhatian yang sama dan mula diabaikan. Di Singapura, azan dari masjid dan surau pun perlu diperlahankan walaupun dulu Kuan Yew tidak kisah dengan suara azan yang kuat berkumandang. Orang Melayu juga tidak berpeluang menyandang jawatan utama dalam agensi dan jabatan penting kerajaan termasuk pasukan keselamatan. Untuk menjadi juruterbang pesawat pejuang apatah lagi. Kuasa undi Melayu dilemahkan dengan pelbagai cara termasuk penempatan semula. Janji-janji untuk membantu Melayu tidak bertahan lama. Pernah termaktub dalam perlembagaan asal pembiayaan penuh kepada pelajar Melayu dari sekolah rendah hingga universiti. Bagaimanapun ia dihentikan pada tahun 1994. Biasiswa presiden juga pernah diwujudkan puluhan tahun lalu tetapi hanya dua pelajar Melayu yang dapat.

Cari pula jawapan berapa orang menteri Kabinet Melayu di republik itu ketika ini - tidak seperti peringkat awal. Dokumen sejarah turut ditulis semula mengikut aspirasi PAP agar Melayu tidak kelihatan dominan peranannya.

Yang nyata, di sebalik segala pengorbanan dan sokongan Melayu, kaum itu akhirnya dikhianati dan diragui. Dalam laporan National Geographic, Kuan Yew mengkritik orang Melayu dengan mendakwa kaum itu tidak prihatin untuk membantu kaum lain jika negara ditimpa kebuluran. Maknanya, Melayu tidak boleh diharapkan dan tidak boleh dipercayai sedangkan Melayu merupakan bangsa yang paling pemurah dan bertolak ansur. Banyak lagi penghinaan Kuan Yew kepada Melayu. Mesejnya, itulah juga risiko yang menanti Melayu apabila DAP berkuasa penuh nanti. Sekarang ini pun gerakan untuk melemahkan Melayu semakin menjadi-jadi. Tetapi malangnya ada pemimpin pembangkang Melayu seperti Anwar Ibrahim yang menjadi pengkhianat bangsa. Mursyidul Am Pas, Nik Aziz pula tidak sedar diri dan asyik mengikut rentak DAP. Malu rasanya ada pemimpin Islam dan Melayu yang seperti itu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Diperalat

DAP peralatkan Anwar

Oleh Zulkifli Bin Noordin

Pendedahan WikiLeaks baru-baru ini mengenai Bahagian Risikan Australia dan Singapura bahawa mereka mempunyai "bukti teknikal" kegiatan homoseksual dan liwat Anwar yang ditabal oleh isterinya sebagai pemimpin anugerah tuhan ini sangatlah serius. Apakah bukti teknikal yang mereka ada? Saya berbincang dengan beberapa rakan diplomat dan anggota risikan baru-baru ini, mereka menyatakan bila perkataan "bukti teknikal" digunakan di dunia diplomasi, itu bermakna mereka ada bukti saperti video, gambar, dan lain-lain. Na'uzubillah!

Persoalan besar yang timbul ialah, jika benar berita itu (ingat Al Hujurat: 6), dan jika benar mereka ada "bukti teknikal" tersebut, ia meletakkan keselamatan negara dalam keadaan terdedah kepada ancaman negara luar jika pemimpin anugerah tuhan ini menjadi pemimpin negara, na'uzubillah min zalik. Kerana mereka boleh mengugut dan menekan pemimpin anugerah tuhan ini bila-bila masa dengan "bukti teknikal" tersebut.

Kedua, kenyataan dalam pendedahan WikiLeaks bahawa mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew mengetahui tentang kegiatan homoseksual dan liwat pemimpin anugerah tuhan ini juga menarik perhatian saya. Ini adalah kerana sebaik selesai Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 12) pada 8 Mac 2008, Lee Kuan Yew telah mengadakan lawatan ke Malaysia dan antara lain mengadakan perjumpaan dengan Lim Kit Siang, anak lelakinya dan beberapa pemimpin DAP.

Kita semua tahu hubungan rapat Lim Kit Siang, anak lelakinya, Karpal Singh, dan lain-lain pemimpin DAP dengan Lee Kuan Yew. Sehinggakan Lim Kit Siang sanggup memecat seorang tokoh pejuang dan aktivitis DAP yang terkenal, Fan Yew Teng hanya kerana Fan Yew Teng menentang parti Lee Kuan Yew, PAP dalam satu sidang sosialis dunia satu masa dahulu. Fan Yew Teng telah pun meninggal dunia di Bangkok baru-baru ini.

Persoalan besar yang timbul sekarang ialah masakan begitu baik Lee Kuan Yew tidak memaklumkan kepada Lim Kit Siang, Karpal Singh dan lain-lain tentang maklumat dan "bukti teknikal" kegiatan homoseksual dan liwat yang Bahagian Risikan Singapura ada? Saya cukup pasti dengan politiking licik bak belut Lim Kuan Yew, sudah pasti dia akan memaklumkan dan berkongsi maklumat dengan kawan-kawannya. Mungkin juga mengatur strategi terbaik untuk menggunakan maklumat dan bukti tersebut untuk kepentingan sempit mereka.

Saya cukup yakin kepimpinan DAP tahu mengenainya. Sebagai contoh, Karpal Singh, Pengerusi DAP sejak 1997 telah membangkitkan isu berkenaan kegiatan homoseks dan liwat Anwar. Mengikut lapuran Hansard Parlimen bertarikh 22 Oktober 1997, Karpal Singh telah mengemukakan bukti kononnya beliau mempunyai dokumen akuan sumpah beberapa orang yang mendakwa diliwat oleh Anwar. Karpal Singh mendesak supaya kerajaan menyiasat sepenuhnya kes liwat tersebut.

Begitu juga pada tahun yang sama, Karpal Singh membuat ucapan terbuka di satu majlis anjuran DAP di Hotel Federal dan beliau menyatakan bahawa beliau ada bukti Anwar terlibat dalam kes meliwat.

Wee Choo Keong semasa berbahas dalam Parlimen (ketika membahas usul menggantung Anwar) menyatakan bahawa beliau mendengar sendiri ucapan Karpal Singh tersebut. Dan Wee Choo Keong menyatakan bahawa sememangnya kepimpinan DAP tahu tentang kegiatan homoseks dan liwat Anwar (Wee pada masa itu adalah Ketua Penerangan DAP Pusat).

Membela

Semasa saya menjadi peguam membela Anwar dalam kes menyalahgunakan kedudukan sebagai Timbalan Perdana Menteri menggunakan Unit Cawangan Khas Polis untuk mendapatkan surat akuan palsu daripada Azizan dan Ummi Hafilda, Peguam Negara mendedahkan penglibatan Karpal Singh sebagai peguam mewakili Azizan dan Ummi Hafilda, dan bercadang memanggil Karpal Singh sebagai saksi.

Malahan setelah tragedi pembohongan 16 September 2008 terbongkar, Karpal adalah antara kepimpinan DAP yang sangat kecewa dan marah dengan Anwar. Lalu Karpal Singh membuat kenyataan meminta Anwar bertaubat dan mendesak Anwar supaya berundur dengan kenyataan "Anwar tidak layak lagi menjadi pemimpin".

Jadi daripada rentetan peristiwa ini, adalah sangat jelas sebenarnya kepimpinan DAP saperti Lim Kit Siang dan anak lelakinya, Karpal Singh dan lain-lain sangat mengetahui kegiatan homoseks dan liwat Anwar, apatah lagi mentor mereka Lee Kuan Yew jelas didedahkan dalam WikiLeaks mengetahui mengenainya dan ada "bukti teknikal" yang menyebabkan Lee Kuan Yew percaya Anwar terlibat dengan kegiatan homoseks dan liwat.

Persoalan pokok yang saya tertanya-tanya ialah, mengapa dengan pengetahuan saperti itu, kepimpinan DAP masih bersama dan kelihatan menyokong Anwar? Jawapannya jelas. Pada saya, Anwar adalah kuda tunggangan terbaik bagi kepimpinan DAP untuk mendapat kuasa dalam negara ini. Melalui Anwar, kepimpinan DAP melihat cita-cita dan nafsu mereka untuk memerintah negara umat Islam ini ada peluangnya. Apa yang saya khuatir ialah mereka menggunakan pengetahuan, maklumat dan mungkin "bukti teknikal" mengenai kegiatan homoseks dan liwat Anwar itu sebagai bahan political leverage.

Peribadi

Ini kerana Anwar, dengan masalah peribadi yang dia hadapi, bersedia berbuat apa sahaja untuk menjadi Perdana Menteri. Mungkinkah untuk menutup masalah peribadinya itu? Apakah kerana itu maka Karpal Singh sebagai peguam Anwar sengaja membiarkan kes Anwar tertangguh, kerana lagi lama ia ditangguh, lagi banyak ia memberi kebaikan kepada kepimpinan DAP untuk memenuhi agenda mereka. Apakah kerana itu kita melihat Anwar saperti Melayu yang sudah hilang akal dan kewarasan, menjual segalanya termasuk menjual nama Allah untuk disyirikkan oleh kafir, mempertikai ketuanan Melayu yang dia sendiri menjadi juaranya semasa menjadi pemimpin UMNO, dan sanggup menjual jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada manusia cauvinis dan rasis Lim Kit Siang, serta menjual Pulau Pinang kepada anak lelaki Lim Kit Siang?

Dan bagi tujuan itu, kepimpinan DAP akan terus menyokong dan mendokong Anwar, walaupun mereka tahu mereka sedang menyokong dan mendokong biawak hidup. Bukankah ini sesuatu yang sangat merbahaya bagi umat Islam, bangsa Melayu dan rakyat Malaysia, mempunyai pemimpin yang boleh diperas ugut dan diperkudakan oleh golongan cauvinis, rasis dan ekstrem walaupun pemimpin itu diisytihar dan ditabal sebagai anugerah tuhan. Keselamatan negara akan terdedah kepada unsur ugutan. Apakah itu jenis kerajaan dan kepimpinan yang dikehendaki oleh negara ini?

Pada saya, sebenarnya kedua-dua pemimpin DAP dan Anwar saling menggunakan dan memperkudakan demi kepentingan politik sempit dan cauvinis mereka. Tetapi yang paling menyedihkan dalam isu ini ialah kedudukan PAS. Apa peranan mereka? Apa yang saya nampak, akibat daripada kerakusan segelintir "pak janggut" dan golongan penyembah Anwar dalam Pas, mereka telah mengheret Pas dalam satu percaturan politik yang sangat kotor dan jijik. Bagi golongan ini, kepimpinan Pas bawah Haji Hadi adalah kolot dan kekampungan. Tak moden, lekeh dan selekeh. Mereka sanggup mengkhianati dan mengenepikan kepimpinan Pas. Hanya semata-mata kerana penyokong sudah menjadi kelkatu yang terpukau dengan kilauan cahaya Putrajaya.

Pada saya , "pak janggut" ini bukan sahaja sudah sesat, tetapi menyesatkan. Mereka rela, malahan secara aktif membiarkan Pas diperkudakan oleh kepimpinan DAP dan Anwar. Sehingga mereka memperdaya kepimpinan dan ahli Pas untuk bersetuju menandatangani Perjanjian Persefahaman Pakatan Pembangkang pada 18 Disember 2009 bahawa jika Pakatan Pembangkang memerintah, penubuhan negara Islam dan perlaksanaan undang-undang Islam adalah tidak termasuk didalam agenda Pakatan Pembangkang. Dan sehingga kini tiada sebarang Muktamar Khas dibuat untuk membolehkan para ulama, kepimpinan dan ahli akar umbi Pas berbahas dan berbincang untuk sama ada bersetuju menerima gagasan Pakatan Syaitan yang menolak Islam dengan jelas dan nyata itu. Kemungkinan besar para ulama, kepimpinan dan ahli akar umbi Pas tidak tahu pun kewujudan Perjanjian Syaitan itu!

Saya berdoa dan berharap agar para ulama, kepimpinan dan ahli akar umbi Pas menyedari bahawa sebenarnya mereka sedang diheret selangkah demi selangkah, sejengkal demi sejengkal oleh para pak turut yang sesat lagi menyesatkan ini, untuk terjerumus ke dalam lubang biawak. Nasihat ikhlas saya, janganlah kita menjadi buta sebagaimana pengikut Fira'un, janganlah kita menjadi pekak saperti pengikut Namrud, janganlah kita menjadi bisu saperti pengikut Attarturk, dan janganlah kita menjadi terlalu taksub saperti pengikut Abu Jahal dan Abu Lahab. Kembalilah ke pangkal jalan. Kembalilah kepada perjuangan Islam berdasarkan al Quran dan sunah. "Bantulah agama Allah, nescaya Allah akan membantu kamu."

Yang baik itu datangnya daripada Allah, yang tidak itu adalah kelemahan saya sendiri. Semoga Allah terus memberikan petunjuk dan hidayah serta keampunan kepada saya dan kesemua umat Islam.