Tuesday, January 31, 2012

melayu tak akan mampu tinggal di pp

'7,000 keluarga menumpang'
Wartawan Sinar Harian
31 Januari 2012
zainal
GEORGETOWN - Kira-kira 7,000 keluarga melibatkan 35,000 penduduk Pulau Pinang dikenal pasti masih lagi menumpang di tanah milikan orang lain kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana harga rumah yang semakin tinggi.

Golongan ini menumpang di tanah wakaf, tanah rizab kerajaan dan tanah swasta dikatakan hanya menunggu masa untuk diusir keluar dari perkampungan tradisi selepas tapak yang didiami dituntut semula oleh pemiliknya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, Kerajaan Negeri sepatutnya memberi fokus kepada masalah itu kerana mempunyai kuasa untuk melakukan pengambilan semula tanah.

“Walaupun hampir empat tahun Pulau Pinang diperintah oleh DAP namun Kerajaan Negeri dilihat gagal membina rumah kos rendah dan mampu milik untuk rakyat.

“Disebabkan tidak mampu memiliki rumah, ramai penduduk terutama Melayu terpaksa berhijrah ke Kedah dan Perak apabila tanah yang didiami diambil semula pemiliknya,” katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan kelengkapan sekolah kepada 1,400 pelajar di kawasan Parlimen Bukit Bendera di sini kelmarin.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.

Menurutnya, sebagai kerajaan yang dipilih rakyat, Ketua Menteri, Lim Guan Eng seharusnya menjaga kebajikan semua rakyatnya termasuk menyediakan perumahan mampu milik.

“Janganlah hanya menjaga golongan minoriti yang mampu memiliki rumah harga tinggi,” katanya.

Zainal yang juga Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, Kerajaan Pusat sedang dalam perbincangan untuk membeli beberapa bidang tanah untuk membina rumah kos rendah dan mampu milik untuk rakyat.

Usaha itu, katanya, akan membolehkan Kerajaan Pusat membina antara 2,000 hingga 3,000 unit rumah mampu milik beberapa kawasan termasuk di bahagian pulau pada peringkat permulaan.

“Kita hanya mampu bina sebahagian dengan peruntukan yang diberikan Kerajaan Pusat. Selebihnya Kerajaan Negeri harus mengambil tanggungjawab dengan memberi perhatian serius terhadap masalah perumahan.

“Umno sangat prihatin dengan keadaan mereka yang terpaksa menumpang di tanah orang. Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana kebanyakannya tidak mampu membeli tanah sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment