Tuesday, January 17, 2012

br1m

‘Angpau Tahun Baru Cina’
KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
January 16, 2012
Keadaan-sesak-di-dalam-Dewan-Warisan,-Kangar-setelah-lebih-1,081-pemohon-BR1M-yang-layak-hadir-untuk
KANGAR - Tahun Naga memberikan tuah kepada kira-kira 700 penduduk Dun Indera Kayangan berbangsa Tionghua apabila memperoleh ‘angpau’ berjumlah RM500 menjelang Tahun Baru Cina melalui program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bermula semalam.

Warga emas, Chew Cheng Yap, 78, berkata, wang disumbangkan Kerajaan Pusat melalui program BR1M seumpama mimpi menjadi kenyataan memandangkan ianya dapat digunakan sebagai persiapan bagi menyambut Tahun Baru Cina.

Menurutnya, beliau sekeluarga amat menghargai pemberian Kerajaan Pusat yang disifatkannya amat prihatin dengan permasalahan rakyat.

“Banyak terima kasih kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana memberikan bantuan kepada seluruh rakyat Malaysia tidak mengira kaum, warna kulit dan agama.

“Wang tunai RM500 saya anggap sebagai ‘angpau’ sempena Tahun Baru Cina dan akan mengongsinya bersama keluarga tersayang,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian selepas menerima sumbangan RM500 melalui program BR1M di Dewan Warisan, di sini semalam.

Bagi ibu tunggal, Juliana Abu Bakar, 32, pula, wang berjumlah RM500 yang diperoleh dapat digunakan bagi memenuhi permintaan anak tunggalnya, Zakuan Mohd Zaki memiliki sebuah basikal untuk ke sekolah.

Menurutnya, Juliana yang bekerja di sebuah salun kecantikan tidak menyangka Kerajaan Pusat bermurah hati memberikan bantuan sedemikian rupa kepada seluruh rakyat yang mempunyai isi pendapatan rumah bawah RM3,000.

“Saya bersyukur kerana Kerajaan Pusat prihatin dengan permasalahan kami, terutama dalam menghadapi musim kenaikan harga barang dan berharap peruntukan RM500 ini akan meringankan bebanan kewangan saya sekeluarga.

“Selama ini, saya berasa sukar untuk menghantar anak ke sekolah pada waktu bekerja. Kini, dengan pembelian basikal diharap dapat membolehkan Zakuan ke sekolah tanpa menunggu saya,” katanya.

Kesemua penerima bantuan BR1M yang layak sudah memenuhi perkarangan Dewan Warisan, di sini seawal jam 7 pagi walaupun program dijadualkan bermula jam 8 pagi semalam. Suasana di dalam dewan menjadi amat sesak dan dipenuhi dengan penerima bantuan
yang tidak putus-putus hadir untuk menerima bantuan berjumlah RM500 yang diagihkan melalui enam kaunter yang disediakan.

Keadaan bagaimanapun terkawal apabila pegawai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan polis yang membantu pegawai Unit Pembangunan Daerah (UPD) serta Unit Pembangunan Insan (UPI) Pejabat Menteri Besar memastikan pemohon yang hadir beratur mengikut barisan ditetapkan.

Proses penyerahan bantuan BR1M akhirnya tamat pada jam 12.30 tengah hari semalam dan mengambil masa empat jam setengah untuk diselesaikan.

No comments:

Post a Comment