Arahan pengurusan pasar raya tidak munasabah
K.S. KHOO
Puchong, Selangor
SAYA merujuk kepada Forum Utusan Malaysia bertarikh 18 Januari 2012 (Rabu).
Saya seorang bukan Islam yang sekurang-kurangnya mengetahui sensitiviti orang Islam mengenai daging babi yang dikategorikan haram.
Maka, orang bukan Islam perlu prihatin untuk menghindarkan penjualan, penggunaan dan pemakanan daging babi di hadapan orang Islam sebagai langkah untuk menghormati sensiviti orang Islam di negara kita.
Dalam insiden yang dihadapi Juruwang Teraniaya yang bekerja di sebuah pasar raya di Kamunting, Taiping, saya turut menaruh malu serta kesal dengan sikap pihak pengurusan atasan pasar raya itu yang kononnya meletakkan pelanggan di tempat utama, sebaliknya telah membelakangkan suasana harmoni dan tolak-ansur yang kita kecapi selama ini. Sebagai pengusaha perniagaan yang mengutamakan keuntungan, tidak dapat dinafikan bahawa organisasi perniagaan perlu mengutamakan permintaan pelanggan memandangkan persaingan kian sengit bagi perniagaan pasar raya.
Namun, apabila permintaan pelanggan jelas bercanggah dengan suasana harmoni dalam konteks masyarakat majmuk (seperti insiden dalam kes ini), maka menjadi tanggungjawab pihak pengurusan atasan pasar raya untuk menilai baik buruk langkah yang bakal diambilnya.
Saya berpendapat tindakan pengurusan atasan pasar raya dalam menegur dan mengugut pekerja Islam untuk memegang daging babi tanpa lapik merupakan arahan yang bukan sahaja tidak adil, malahan tidak munasabah terhadap pekerja Islam. Tindakan pihak atasan ini turut bercanggah dengan kontrak pekerjaan yang sedia termeterai antara majikan dengan pekerja.
Akta Kerja 1955 jelas menyenaraikan kewajipan majikan dan pekerja. Terma kontrak tersurat mewajibkan majikan membayar gaji sebagai balasan untuk pekerja yang menunaikan tanggungjawabnya di tempat kerja, membayar elaun lebih masa, memberi cuti rehat, cuti sakit dan sebagainya kepada pekerja. Manakala terma tersirat majikan adalah tidak menimbulkan suasana tegang di tempat serta tidak mengarahkan pekerja membuat tugas yang menyalahi undang-undang.
Dalam kes ini, tindakan majikan menegur dan mengugut pekerja Islam untuk memegang daging babi jelas melanggar terma kontrak tersirat majikan yang mengkehendaki majikan untuk tidak menimbulkan suasana tegang di tempat kerja. Keprihatinan majikan terhadap sensitiviti pekerja Islam terutamanya dalam hal makanan haram haruslah diberi perhatian.
Dalam konteks ini, majikan telah memecah terma kontrak tersirat yang membolehkan pekerja yang terkilan membatalkan kontrak pekerjaannya, lantas menuntut pampasan terhadap majikan seolah-olah dirinya telah dipecat.
Pada masa yang sama, insiden ini juga harus dilaporkan kepada kesatuan sekerja bagi membolehkan isu ini dipanjangkan demi perhatian pihak berkuasa. Harapannya adalah untuk mengelakkan insiden sama terjadi bukan sahaja di organisasi yang sama, malahan ia turut menjadi iktibar di organisasi lain.
Mengikut kod penjualan makanan haram di pasar raya, ia seharusnya diasingkan di suatu ruang di mana juruwang bukan Islam harus ditugaskan untuk urusan pembayaran. Dalam insiden ini, majikan telah melanggar kod etika penjualan makanan haram yang sekaligus membolehkan lesen perniagaannya digantung oleh pihak berkuasa.
No comments:
Post a Comment