Perkasa: Laporan Audit lemah, isu NFC dieksploitasi
Oleh: NORJIMI AZMI LATIF
Tarikh: January 22, 2012
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencabar National Feedlot Corporation (NFCorp) mendedahkan kelemahan yang dilakukan pegawai-pegawai yang mengendalikan urusan Laporan Ketua Audit Negara 2010 sehingga merosakkan reputasi syarikat berkenaan dan menjejaskan imej kerajaan.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, laporan itu sesuai diguna pakai dalam kementerian dan agensi kerajaan tetapi tidak untuk syarikat swasta.
Beliau berkata, pegawai yang membuat audit mungkin keliru dengan beberapa perkara, antaranya, National Feedlot Corporation atau NFCorp adalah milik Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail manakala National Feedlot Corporation atau NFC adalah dimiliki syarikat kerajaan dan pada masa yang sama mengusahakan ladang satelit.
“Mohamad Salleh menerangkan kepada kami yang NFCorp mempunyai Auditor General Internal Report dan membuat audit dalaman syarikatnya. NFCorp pernah diberi lima bintang oleh Jabatan Audit Negara.
“Untuk itu, saya mendesak supaya Ketua Audit Negara, (Tan Sri Ambrin Buang) memberi penjelasan mengenai kekeliruan ini dan menjawabnya secara terbuka,” katanya pada sidang media hari ini.
Hadir sama 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), seperti Majlis Usahawan Malaysia, Persatuan Anak-anak Kelantan Malaysia, Kelab Che Deet, Majlis Perundingan Melayu, Persatuan Pemikir Profesional Malaysia, Gerakan Pelajar Melayu Semenanjung dan Persatuan Blogger.
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, kekeliruan ini menyebabkan pembangkang mengeksploitasi isu untuk meraih sokongan politik daripada rakyat walaupun ia berat sebelah dan tidak benar.
“Pembangkang menggunakan pelbagai media baru untuk mengelirukan semua orang sehingga tidak dapat membezakan mana satu syarikat milik suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan agensi kerajaan.
“NFC yang dimiliki kerajaan yang memperuntukkan RM75 juta untuk projek fidlot dan NFCorp yang dimiliki Mohamad Salleh hanya melabur RM13 juta dalam kemudahan infrastruktur," katanya.
Beliau berkata, tidak timbul masalah pelaburan yang dilakukan NFCorp yang membeli kondominium mewah di Bangsar bernilai RM10 juta kerana perjanjian antara kedua-dua pihak tidak menyatakan syarat untuk membenar atau tidak berbuat demikian.
Sebagai syarikat swasta yang mencari pelaburan yang menguntungkan, kata Ibrahim, itu hak NFCorp kerana menggunakan wang poket sendiri dan tidak melibatkan wang kerajaan.
“Begitu juga dengan pusat penyembelihan dan ladang satelit telah dilakukan oleh pihak kerajaan (NFC) sebagaimana dalam perjanjian ditandatangani dan NFCorp (milik Mohamad Salleh) tidak mempunyai kuasa berbuat demikian ,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan berlaku penyalahgunaan kad kredit syarikat untuk tujuan pengembaraan dan hiburan, menurut Ibrahim, wang itu adalah milik NFCorp dan keluarga.
“Mereka berhak untuk berbelanja kerana wang itu bukan diambil dari projek fidlot. Lagipun, anak-anaknya sendiri yang menguruskan syarikat di luar negeri menggunakan kemudahan ini.
“Tidak timbul mereka salah guna wang untuk urusan perniagaan,” katanya.
Menurutnya, Mohamad Salleh juga memberi penjelasan mengenai dakwaan memiliki kereta berjenama Ferari yang dibeli dengan wang kerajaan sebagai satu pembohongan.
“Mereka hanya ada sebuah kereta Mercedes Benz, itu pun didaftar atas nama syarikat, bukan individu dan kegunaan untuk tujuan perniagaan,” katanya Ibrahim.
No comments:
Post a Comment