Friday, January 6, 2012

terima keputusan mahkamah

Aduhai pembangkang, terima sahaja keputusan mahkamah

AQIEL ZAFRAN
Bandar Baru Bangi, Selangor

KEMPEN Bebaskan Anwar 901 kian kuat dilaungkan oleh pembangkang. Terbaru, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menyatakan akan turun pada 9 Januari ini.

Lihatlah betapa kerasnya hati pembangkang. Mereka seolah-olah tidak tahu membezakan mana baik dan mana buruk.

Ingin saya bertanya kepada pembangkang, benarkah sistem kehakiman di negara ini tidak telus? Jika benar mengapa pihak pembangkang seringkali mencari mahkamah untuk menyaman pihak tertentu? Akhbar Utusan Malaysia kerapkali menjadi mangsa saman mereka. Malah pembangkang jugalah yang pertama sekali akan membuat laporan polis jika ada sesuatu kes. Ini membuktikan mereka sebenarnya yakin kepada sistem perundangan negara.

Persoalannya apa yang ingin pembangkang lakukan pada 9 Januari ini? Adakah semata-mata ingin memberi sokongan aman kepada Anwar atau sebaliknya? Adakah pembangkang akan menerima keputusan mahkamah sekiranya tidak menyebelahi Anwar?

Kepada pembangkang, saya nasihatkan redha dengan apa sahaja keputusan mahkamah. Sekiranya Anwar didapati bersalah, biarlah beliau ke 'tempatnya'. Usahlah anda bersubahat dengan pesalah.

Jika benar sistem perundangan negara tidak telus, anda harus adil dalam semua perkara. Justeru protes dan berhimpunlah untuk membebaskan semua penjenayah di dalam penjara di seluruh negara.

Jadi, kenapa hanya protes kes Anwar? Siapa Anwar? Saya tidak nampak apa-apa keistimewaan yang ada padanya. Jauh sekali untuk melihat kebaikan yang dibawanya. Apa yang saya lihat, sejak dahulu hanya perpecahan umat Islam dan Melayu sahaja yang dibawanya.

Malah saya ketawa tak henti-henti apabila ada makhluk Allah yang naïf melabelkan Anwar sebagai 'pemimpin yang ditunggu-tunggu (Imam Mahdi)', setelah Nik Aziz dikatakan Nabi dan Lim Guan Eng dikatakan Khalifah Umar. Jadi di sinilah nampak dungunya hati pembangkang.

Tapi biarkanlah. Sekurang-kurangnya lengkaplah sudah jawatan tertinggi (umat pilihan) yang kesemuanya disandang oleh pembangkang. Justeru tidak hairanlah mengapa mereka ini tidak tahu membezakan antara kebaikan dan kejahatan seseorang pemimpin.

Yang nyata mereka kian jauh menyimpang daripada ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

No comments:

Post a Comment