Kebebasan tidak dihargai
Oleh Mohamad Abdullah
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia.
LAPORAN sebuah portal berita yang mendakwa kononnya rakyat negara ini tidak membaca akhbar disebabkan oleh Sistem Pendidikan Malaysia yang buruk dan berita yang dibuat oleh para pemberita yang malas, kurang membuat analisis sehingga mendorong rakyat negara ini berhenti membaca akhbar.
Benarkah akhbar tidak lagi mendapat tempat dalam masyarakat. Jika benar kenapa pula kita bimbang, wujudkan sahaja bahan alternatif sesuai dengan keperluan yang ada. Daripada laporan tentang jualan akhbar, nampaknya ini juga berlaku.
"Rakyat tidak lagi percaya apa yang mereka baca kerana antaranya sesuatu berita itu begitu menyokong sesuatu rejim…" kata seorang ahli akademik. Malah seorang lagi ahli akademik mendakwa bahawa rakyat negara ini kurang memiliki literasi media, kurang berfikir dan menerima apa yang disogokkan yang semua ini berpunca daripada sistem pendidikan yang dikatakan merosakkan corak pemikiran masyarakat sehingga sentiasa bersetuju dengan apa yang disogokkan.
Ironisnya, jika rakyat tidak percaya, maka ia bukan lagi satu isu kerana akan memberi kelebihan kepada mereka yang mempunyai pandangan sebaliknya. Soalnya adakah akhbar sahaja yang hilang pembaca? Agaknya laporan yang mengatakan purata rakyat negara ini tidak membaca, dan hanya membaca 1 muka surat setahun beberapa tahun dahulu yang kemudiannya dikatakan bertambah tidak hanya merujuk kepada akhbar. Ini perlu dicari jalan penyelesaian.
Pengalaman lebih 20 tahun dalam perhubungan awam dan berpeluang bersahabat dan bekerja secara profesional dengan ramai rakan media, dakwaan yang mengatakan pemberita di negara ini malas dan tidak bijak membuat analisis sehingga menjadi punca akhbar hilang pembaca tentunya perlu disokong oleh data yang jelas dan fakta yang benar.
Mereka melapor, bertanya dan melihat sesuatu daripada kaca mata orang biasa yang memerlukan maklumat jelas. Ada ketikanya jika mereka melakukan analisis tertentu apatah lagi mengulas, bukan hanya dalam kalangan berita politik tetapi hal-hal lain pun akan mendedahkan mereka dengan kritikan, kemarahan dan sebagainya yang mendakwa pula tidak dilapor dengan betul dan tepat.
Harus juga difahami yang media arus perdana mahu pun media lainnya diikuti dan dibaca oleh semua lapisan orang dengan latar belakang yang pelbagai termasuk pendidikannya yang memerlukan laporan dibuat dalam bahasa yang mudah difahami berbeza dengan penulisan untuk jurnal akademik dan penerbitan yang dibaca oleh kumpulan yang khusus sebagai rujukan.
Jarang kita membuat analisis tentang corak sebenar pembaca media yang ada. Membuat tuduhan pembaca kita tidak cerdik dan menerima bulat-bulat apa yang disampaikan juga perlukan sokongan data dan fakta yang jelas. Ramai yang membaca dan seronok bercerita, tetapi bukan pula bermakna menerima bulat-bulat apa yang dikata.
Lihat sahaja kemenangan pilihan raya sebelum ini. Jika berita yang disiarkan diakhbar arus perdana diterima bulat-bulat tentunya semua kerusi pilihan raya akan dimenangi satu pihak sahaja. Begitu juga dengan banyak kes lain termasuk gejala sosial yang membimbangkan yang terus berlaku biar pun akhbar dan media umumnya mengutuk keras pelbagai perkara yang menjelekkan yang berlaku secara berterusan.
Oleh itu, analisis yang adil harus dibuat menggunakan fakta yang jelas dan melihat dari kepercayaan sendiri terhadap makna kebebasan dan pihak yang diyakini yang tentunya sentiasa menyokong apa yang dirasakan betul dalam perspektif sedemikian.
Dalam mana-mana profesion pun terdapat mereka yang malas dan tidak menunaikan amanahnya. Tetapi membuat kenyataan umum yang rata-rata pemberita di negara kita adalah malas tentunya amat tidak wajar.
Pengalaman mengendalikan sidang media tentang penemuan penyelidikan yang dihadiri oleh pemberita dari sebuah akhbar politik sedikit masa dahulu dan melihatnya meninggalkan pita rakaman lalu menghilangkan diri dan datang semula sejam kemudian sebenarnya antara segelintir kecil peristiwa yang menunjukkan betapa ia lebih bersifat peribadi daripada memberikan satu kesimpulan umum dalam kalangan rakan media bukan arus perdana.
Di mana sebenarnya terdapat media dan akhbar yang benar-benar bebas? Akhbar-akhbar di negara yang mencanangkan kebebasan sekali pun corak pemberitaannya tetap terikat dengan nilai dan pegangan yang mereka percaya.
Umat Islam, negara Islam dan apa sahaja yang berkait dengan Islam amat jarang dilaporkan dengan adil, malah semua orang tahu yang ia dilabelkan dengan segala macam daripada kemiskinan hinggalah kepada keganasan, seolah-olah tidak ada satu pun yang baik tentang Islam.
Portal berita, blog peribadi malah media yang dikuasai dengan jelas oleh sesebuah parti politik di negara ini hampir keseluruhannya melaporkan dan memberikan ruang terhadap idealismenya, mempertahankan apa yang dilaporkannya sebagai betul dan tepat dan tidak juga memberikan ruang kepada pihak dianggapnya sentiasa tidak "benar" untuk memberikan pandangan. Hakikatnya, tidak ada kebebasan media yang hakiki dalam erti kata sebenarnya.
Media arus perdana negara malah sering memberikan ruang untuk para akademia bercakap dan memberikan pandangan. Manakala media-media termasuk yang dimiliki oleh parti politik juga mendapat peluang dan kebebasan yang sama kerana mereka mempunyai idealisme yang sama.
Namun apabila kita berada dalam sesuatu organisasi amat wajar menghormati nilai organisasi dan institusi yang mana kita berbeza dan dapat membezakan diri antara pandangan peribadi dengan pandangan institusi. Dalam keluarga sendiri pun, kita tidak bebas untuk memburukkan ahli keluarga apatah lagi ibu bapa. Jika itu berlaku, ia dianggap sangat tidak beradab.
Semua ini saling berkait. Jika kita seorang bijaksana, gunakanlah kreativiti yang ada untuk menyatakan pandangan dan kebijaksanaan jugalah untuk melakukan perubahan. Tentunya kebebasan harus datang bersekali dengan akauntibiliti dan tanggungjawab. Juga harus bersama-sama adab dan akal budi yang tinggi. Mengambil satu dua kes terpencil sebagai asas untuk memberikan kenyataan umum, tentunya bukan kaedah yang betul dalam mengkritik.
Hakikatnya, kita tidak pernah bebas secara mutlak dalam apa jua pun. Kita ada agama, adat, adab dan segala nilai bersama yang harus digunakan sebagai asas untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan.
Hakikatnya juga terdapat ramai yang begitu taksub terhadap seseorang pemimpin, kepercayaan peribadi dan pegangan politik atau pun keyakinan terhadap sesuatu yang dipercayainya dalam memberikan penilaian hingga buta terhadap apa yang di depan mata lalu melihat orang lain dengan segala kekurangan dan kelemahannya.
Sedangkan kita juga diajar tentang pentingnya untuk menghormati keperbagaian dan menerimanya sebagai asas dalam pembangunan nilai hidup untuk kesejahteraan masyarakat dan dunia seluruhnya.
Malah, jika kita anggap sistem pendidikan lemah, maka kita juga adalah sebahagian daripada sistem itu dan harus bersama-sama membaikinya. Perbaikilah dari dalam dan lakukan perubahan yang diinginkan.
Secara bijaksana berusahalah untuk memujuk, membentuk dan mempengaruhi mereka yang berkaitan termasuk siswa-siswi di universiti untuk melakukan perubahan dan memastikan mereka nantinya juga mampu melakukan perubahan tanpa mengetepikan nilai utama masyarakatnya dalam bidang yang mereka ceburi.
Jika ingin melakukan perubahan terhadap apa yang kita percayai dan yakini lakukanlah dengan penuh kebijaksaan melalui ilmu yang ada. Bangunkan kepercayaan dan keyakinan untuk menjadi contoh yang boleh diikuti dan nantinya menghasilkan generasi baru yang berupaya meningkatkan kehebatan profesion yang mereka ceburi.
Pada Disember 2002, Persidangan Agong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang menerima pakai Resolusi 57/254 untuk melaksanakan UN Decade of Sustainable Development (DESD) 2005 - 2014 menegaskan tentang nilai utama dalam menjaga kesejahteraan sejagat iaitu menghormati orang lain dan menghormati planet yang telah menyediakan kita segala sumber kehidupan, flora dan fauna yang mencabar kita untuk menerima tingkah laku dan amalan baru untuk kelangsungan dan kelestarian masa hadapan (Tomorrow Today, UNESCO 2010).
Amalan baru itu tentunya menuntut kita untuk menghormati orang lain seperti mana kita menuntut orang lain menghormati dan bertindak mengikut apa yang kita fikirkan betul. Seperti mana kita mengharapkan satu kebebasan dalam konteks dan kerangka yang kita percaya, orang lain juga menuntut perkara yang sama dan ini juga perlu dihormati.
Kebijaksaan dan cara kita menanganinyalah yang akan menentukan apa yang kita percayai dapat diterima dan dihormati pihak yang bertentangan. Kita juga diajar untuk menghormati dan menghargai kepelbagaian di mana sahaja sebagai kunci keamanan yang kita nikmati selama ini.
Yang paling penting, hormati juga kebebasan yang sedia ada, walau pun tidak sepenuhnya demi faedah kelangsungan masyarakat dan negara kerana jika kebebasan yang ada pun hilang, maka nikmat kesejahteraan yang ada ini pun tidak akan bermakna lagi.
No comments:
Post a Comment