Anwar gembira dibebas dan pulih maruahnya
January 9, 2012
KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini menyifatkan keputusan itu adalah adil dan ia mampu membersihkan namanya serta keluarga.
Anwar yang ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta turut mengucapkan terima kasih kepada barisan peguam kerana bersungguh-sungguh sepanjang perbicaraan dan bersyukur kerana keluarga, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas sentiasa menyokongnya.
"Sekarang masih awal untuk menyatakan apa-apa kerana ruang untuk pendakwa meneruskan masih ada (membuat rayuan). Saya hanya bersyukur dengan apa yang didengar hari ini," katanya.
Isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut ditanya perasaannya hanya berkata "syukur Alhamdullilah" sebelum berlalu pergi menemui para penyokong.
Sementara itu beberapa pemimpin pembangkang yang turut hadir ke mahkamah menyatakan kegembiraan mereka atas keputusan itu.
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalannya Mohamad Sabu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menyifatkan keputusan itu sebagai satu langkah permulaan ke arah mengembalikan martabat dan kewibawaan badan kehakiman.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Khalid Ibrahim yang mengucapkan syukur dan menyifatkan ia keputusan yang menunjukkan kematangan institusi kehakiman.
Bekas Presiden Majlis Peguam Datuk S Ambiga yang turut ditemui berkata keputusan oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah adalah betul dan berharap tiada lagi isu 'liwat' diperkatakan.
Anwar, 64, mengaku tidak bersalah pada 7 Ogos, 2008 terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful, 26, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment