Kebebasan apa yang mahasiswa perjuangkan?
DIEZA
Ampang, Selangor
SAYA amat kesal dengan tindakan sekelompok mahasiswa yang berdemonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini atas alasan memperjuangkan hak dan kebebasan pelajar yang dikatakan disekat oleh kerajaan.
Timbul satu persoalan di fikiran saya, kebebasan apa yang disekat? Saya juga adalah bekas mahasiswa universiti. Dalam tempoh empat tahun pengajian saya tidak nampak kebebasan sebagai pelajar disekat.
Kebanyakan pelajar masih bebas bergerak, bersosial mahupun menyertai organisasi yang ditubuhkan di dalam universiti.
Jadi kebebasan apa yang dituntut? Adakah kebebasan pelajar bergiat aktif di dalam politik itu sesuatu yang sangat wajib dan dituntut oleh agama?
Buat mahasiswa-mahasiswa berkenaan, kita bukan lagi berada di zaman reformasi sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pelajar. Era abad ke- 19 berbeza dengan era abad ke-21. Persaingan dan survival masyarakat, terutama bangsa Melayu dan agama Islam, adalah sangat penting demi meneruskan kelangsungan agama Islam, budaya dan juga ekonomi bangsa Melayu.
Apakah dengan mendapat kebebasan berpolitik di kampus segala aspek yang saya sebutkan tadi dapat diperjuangkan oleh mahasiswa berkenaan?
Realiti masyarakat Melayu pada masa kini adalah mereka sebenarnya lupa tentang adab Islam, akhlak yang baik dan juga pentingnya ilmu sebagai tunjang membangunkan bangsa dan umat Islam.
Kepada mahasiswa yang terlibat, seorang pemimpin akan menjadi lebih berkualiti jika mempunyai ilmu dan kefahaman yang sangat tinggi terhadap ilmu yang dipelajarinya.
Sehubungan itu, adalah lebih baik untuk mereka menumpukan perhatian terhadap penguasaan ilmu yang realitinya pada masa kini kita masih ketinggalan daripada bangsa yang lain.
Jika keadilan yang diperjuangkan, maka anda semua harus adil kepada diri anda sendiri, agama anda sendiri dan negara anda sendiri.
Sebagai anak Melayu beragama Islam, saya berasa sangat malu melihat tindakan mahasiswa-mahasiswa ini menghamburkan kata-kata kesat, berbaring di atas jalan raya yang jelas tidak melambangkan keperibadian Muslim yang baik.
Ilmu agama mengajar kita dengan akhlak, bukan dengan kebiadaban terhadap saudara sesama Islam mahupun bangsa lain. Insaflah, jangan kerana nafsu ataupun hasutan melulu daripada sesetengah pihak merosakkan masa depan anda semua.
Saya mengingatkan kepada semua ibu bapa, para pemimpin politik, para tenaga pengajar untuk sama-sama menggalakkan anak-anak kita supaya menggunakan peluang yang ada untuk menuntut ilmu sebaik-baiknya. Peluang untuk berpolitik dengan lebih matang akan terbentang luas selepas menamatkan pengajian.
No comments:
Post a Comment